Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, YA Dato’ Sri Mariana Yahya pagi ini memerintah saman fitnah Bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan ke atas Syed Azidi dibatalkan tanpa kebebasan menfailkan semula. Hakim juga mengarahkan YB Husam Bin Musa membayar kos sebanyak RM40,000 kepada pengasas blog Kickdefella.

Husam menfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap Syed Azidi pada tahun 2011 kerana mendakwa Syed Azidi telah menfitnah beliau dalam 3 artikel yang diterbitkan di blog Kickdefella. Perbicaraan bermula pada Disember 2012 dengan Husam sempat memanggil 3 orang saksi memberi keterangan. Bagaimanapun perbicaraan terus tertangguh beberapa kali bila Husam sendiri gagal hadir memberi keterangan atas pelbagai alasan kerja dan kesihatan.

Perbicaraan patut disambung semula pada hari isnin lepas, bagaimanapun Husam telah mengarahkan peguamnya memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hasratnya untuk menarik balik saman fitnah keatas Syed Azidi dengan kebebasan menfailkan semula saman tersebut.

Peguam Dato’ Jahaberdeen Mohd Yunoos yang mewakili Syed Azidi memberitahu wartawan diluar Mahkamah, pihaknya telah membantah permohonan Plaintif. Hakim bersetuju dengan bantahan itu dan kemudianya memerintah saman dibatalkan.

Rakan-rakan di blog Kickdefella ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Guaman Syed Azidi serta Datuk Hafarizam Harun dan Dato’ Firoz Jamaluddin kerana bersedia mengambil kes ini. Terima kasih juga kepada para pembaca blog ini di atas kata kata semangat dan doa yang diberikan.