Kelas bergerak saya bermula dari Mahkamah 600 Di Palace of Justice di Nuremberg kemudian ke Direktorium Zentrum untuk melihat propaganda Nazi. Selepas itu kami tinggalkan Kota Nuremberg dan menuju ke Dresden.

Di Dresden kami lihat legasi peninggalan 3 era, pertama era Nazi di mana di hari-hari akhir Perang Dunia Ke 2, melihat kota itu diratakan oleh serangan udara dan artileri tentera bersekutu. Kemudian kami lihat legasi Perang Dingin bila kota itu berada di dalam Jerman Timur. Akhir sekali era Demokrasi yang membina semula kota itu menjadi sebuah kota yang indah.

Dari Dresden kami bertolak ke Republik Czech untuk memahami bagaimana propaganda Nazi direalisasikan. Kami tiba di Terazin pada petang dingin musim bunga. Kedinginan itu juga membawa kepada kesayuan melihat peninggalan kezaliman Nazi. Terazin sebuah kubu tentera sebelum perang dunia ke 2 menjadi Ghetto untuk umat Yahudi di Eropah Timur. Sepanjang 1939-1945, lebih 150,000 Yahudi dihantar ke Terazin. Hitler juga menghantar jentera propagandanya untuk merakamkan filem dan foto kehidupan yahudi di Ghetto itu bagi meyakinkan dunia dengan propaganda Hitler. Filem dan foto itu menunjukkan aktiviti harian yang indah dan serba sempurna. Hakikatnya, hari jumlah yahudi yang dihantar ke Terazin, hanya 10,000 yang selamat di akhir 1945. Kebanyakannya menemui maut kerana kehidupan yang amat daif atau menemui ajal di pusat penghapusan di Auschwitz.

Kelas kami akan berakhir di Krakow, Poland dengan lawatan ke Kilang Oscar Schindler.

Banyak yang dipelajari di dalam tempoh ini. Tetapi, kedinginan musim bunga di Kota Prague terasa hangat bila membaca kenyataan Tun Daim Zainuddin. Walaupun pedas tetapi saya sependapat sepenuhnya dengan pandangan Daim.

Sejak pilihanraya Mac 2008, gerakan membawa perubahan pada UMNO dan BN sudah bermula, UMNO mengambil pandangan serius tentang media baru dan berpuluh bahkan mungkin beratus konvensyen media baru diadakan. Akhirnya muncullah beberapa nama yang menjadi gergasi dunia siber. Malangnya ia mula menjadi pentas syok sendiri dan ‘berkhutbah kepada pengikut sendiri’. Tindakan berdasarkan strategi yang salah membawa elemen kurang manis dikaitkan dengan UMNO.

Engagement yang negatif terhadap pandangan dan isu yang dibawa oleh jentera pembangkang selalu amat cetek dan memalukan. Tetapi bersorak gembira orang-orang UMNO. Akhirnya kita hanya meyakinkan orang yang sudah yakin dengan kita dan ini melahirkan keyakinan berlebihan.

Apakah UMNO memahami apa perubahan yang dianjur oleh Presidennya dan yang dikehendaki oleh rakyat jelata? Rata-rata pemimpin dan akar umbir bercakap pasal perubahan tetapi yang ada hanya perubahan dari segi kosmetik. Sebaliknya gerakan UMNO berubah dari progressif menjadi regressif.

Apakah struktur dan hulubalang di dalam UMNO membenarkan perubahan sebenar berlaku di dalam UMNO?

Percayalah, walaupun apa sekali kritikan yang diberi kepada UMNO, tetapi begitu ramai orang-orang Melayu yang yakin bahawa hanya UMNO yang dapat menuruskan perjuangan anak bangsa di landasan yang betul. Usahlah dihampakan keyakinan ini yang berlandaskan persetujuan dan persamaan ideologi ini.

Janganlah kita terus angkuh dan leka dengan realiti sebenar. Kelekaan dan keangkuhan boleh membawa malapetaka kepada kita. Kelekaan dan keangkuhan itulah yang membawa manusia ke Terazin dan berakhir dengan ajal di Auschwitz.