Disediakan oleh Mohd Zakri, Wan Khairul Ihsan & Syed Azidi

 Adalah ekstrak dari Akta-Akta dan juga perjanjian yang berkaitan bagi menilai kesahihan tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan PAS Kelantan.

 

Akta 56 Kanun Tanah Negara 1965

 Tafsiran

  • Kanun Tanah Negara (KTN) adalah satu sistem tanah yang seragam dalam negeri-negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • “Tepi pantai” ertinya semua tanah yang ada di antara pinggir laut dan tikas air surut. Dari pasang perbani biasa.
  • “Tanah”

a)    permukaan bumi dan segala benda yang menjadi permukaan bumi tersebut;

b)   bumi di bawah permukaan bumi dan segala benda di dalamnya.

c)     segala tumbuh-tumbuhan dan lain-lain keluaran semulajadi, sama ada atau tidak memerlukan penggunaan buruh secara berkala untuk pengeluarannya, dan sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi;

d)    segala benda yang bercantum kepada bumi atau yang terpasang dengan kekal kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi, sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi; dan

e)    tanah yang diliputi air;

  • “Pinggir laut” ertinya tikas air pasang dari pasang perbani biasa.
  • “Negeri” ertinya mana-mana Negeri dengan mana akta ini terpakai.
  • “tanah Kerajaan” ertinya semua tanah di dalam negeri itu (termasuk sebanyak mana dasar mana-mana sungai, dan tepi pantai serta dasar laut, seperti yang adalah dalam lingkungan wilayah Negeri itu atau batas perairan wilayah) selain dari –

a)    tanah bermilik;

b)   tanah rizab;

c)     tanah lombong;

d)    mana-mana tanah yang, di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan hutan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta ini), buat masa itu adalah hutan simpanan;

  • “perairan wilayah” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam subseksyen (2) seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No.7/1969.

 

Hak Laut Negeri Dan Hak Laut Pusat

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No. 7 1969

  • Seksyen 3 – Lebar perairan wilayah. – (1) Lebar perairan wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika dan lebar itu adalah untuk segala maksud melainkan di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Celebes yang diukur berdasarkan artikel 3,4,6,7,8,9,10,11,12 dan 13 Konvensyen Geneva untuk perairan wilayah dan zon bersempadanan (1958).
  • Seksyen 4 (2) Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83), Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95), Kanun Tanah Negara (Akta 56/65) dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

Nota: Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 24 November 2011 oleh Dewan rakyat dan 20 Disember 2011 oleh Dewan Negara. Segala hala berkaitan laut wilayah telah digubal di dalam Akta Laut Wilayah 2012 yang diwartakan pada 22 Jun 2012.

Akta 750 Akta Laut Wilayah 2012

  • “DAN BAHAWASANYA Konvesyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut telah dibuat dibuat di Montego Bay pada 10 Disember 2982.”
  • “DAN BAHAWASANYA Malaysia telah mendepositkan surat cara ratifikasinya pada 14 Oktober 1996 dan oleh yang demikian mengikut perkara 308 Konvensyen, Konvensyen tersebut mula berkuat kuasa setakat yang berkenaan dengan Malaysia pada 14 November 1996.”
  • Had laut Wilayah 3 (1) – Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika bagi segala maksud.
  • 3 (3) – Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83), Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95), Kanun Tanah Negara (Akta 56/65) dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.
  • 4 – Kedaulatan berkenaan dengan laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya dan tanih bawahnya, terletak hak pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.
  • 6 – Apa-apa sebutan yang dibuat dalam mana-mana undang-undang bertulis, perkiraan atau surat cara yang lain mengenai ‘perairan wilayah’ hendaklah setakat yang sebutan itu menyentuh undang-undang persekutuan bererti “laut wilayah” dan hedaklah ditafsirkan tertakluk kepada peruntukan Akta ini.
  • Perdana Menteri boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi menguatkuasakan peruntukan Akta ini sepenuhnya.

Akta 83 Akta Pelantar Benua 1966

Tafsiran

  • “pelantar benua” ertinya dasar laut dan tanah bawah di kawasan bawah laut yang bersempadanan dengan pantai Malaysia tetapi di luar had perairan wilayah Negeri, yang permukaanya terletak sedalam tidak lebih daripada dua ratus meter di bawah permukaan laut, atau jika kedalaman air di luar sempadan itu membolehkan pengeksploitasian sumber alam di kawasan tersebut, terletak lebih dalam lagi;
  • “petroleum” termasuklah apa-apa minyak galian atau hidrokarbon relatif dan gas asli yang wujud dalam keadaan semula jadinya di dalam strata, tetapi tidak termasuk arang batu atau batu syal bitumen atau longgokan berstrata lain yang daripadanya minyak boleh dikeluarkan dengan cara penyulingan membinasa.

Hak berkenaan pelantar benua

  • 3 – Segala hak berkenaan dengan penjelajahan pelantar benua dan pengeksploitasian sumber alamnya dengan ini terletak hak pada Malaysia dan bolehlah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan.

Perlombongan di dalam pelantar benua

  • 4 (1) – Tiada seorang pun boleh menjelajah, mencari gali atau menggerek atau menjalankan apa-apa operasi bagi mendapatkan petroleum di dalam dasar laut atau tanah bawah pelantar benua kecuali di bawah dan mengikut Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95).

Peraturan-peraturan

  • 6 (2) – Dalam seksyen ini (6 (1) (a) hingga (l)) istilah ‘pelantar benua” termasuklah dasar laut dan tanah bawah bagi kawasan bawah laut di dalam had perairan wilayah bagi Negeri-Negeri.

Hak Perlombongan Petroleum

Akta 95 Akta Perlombongan Petroleum 1966

  • Suatu Akta bagi membuat peruntukan berkenaan dengan perlombongan petroleum dan mengenai perkara yang berkaitan dengannya.

Tafsiran

  • “pantai pasang surut” ertinya semua bahagian tanah yang terletak di antara pinggir laut dengan tikas air surut bagi pasang perbani biasa;
  • “pelantar benua” mempunyai erti yang diberikan kepadanya oleh seksyen 2 Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83).
  • “tanah” (terma dalam naskah Bahasa Inggeris – “land”), berhubung dengan Negeri di Semenanjung Malaysia, ertinya mana-mana kawasan tanah di daratan dan termasuklah tanah di luar pesisir yang bersempadanan dan berdampingan dengan tanah di daratan, dan berhubung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, ertinya kawasan tanah di luar pesisir sahaja;
  • “tanah di daratan” (terma dalam naskah Bahasa Inggeris – “on-shore land”) termasuk pantai pesisir depan dan kawasan bawah laut di bawah perairan wilayah Negeri;
  • “tanah di luar pesisir” (terma dalam naskah Bahasa Inggeris – “off-shore land”) ertinya kawasan pelantar benua.

Pihak Berkuasa Petroleum

  • 4 (3) (a) – berhubung dengan sesuatu permohonan berkenaan dengan sesuatu kawasan tanah di daratan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri di mana kawasan tanah di daratan itu terletak; dan
  • 4 (3) (b) – berhubung dengan sesuatu permohonan berkenaan dengan sesuatu kawasan tanah di luar pesisir (off-shore land – pelantar benua), Yang di-Pertuan Agong.

Pemansuhan dan kecualian

  • 13 (1) Segala sebutan mengenai lesen mencari gali minyak dan pajakan melombong minyak dalam Enakmen Pelombongan bagi Negeri dalam Semenanjung Malaysia (N.M.B. Bab 147 (negeri Melayu Bersekutu), J. No. 69 (Johor), K, No. 67 (Kedah), Kn. 10/1939 (Kelantan), Ps. 1/1340 (Perlis), Tr. 51/1356(Terengganu)) hendaklah disifatkan selah dimansuhkan.
  • 13 (2) Ordinan Pelombongan Sabah (Ord. 20/1960), Ordinan Pelombongan Minyak Sarawak (Bab 85) dan mana-mana undang-undang Negeri lain yang berkuat kuasa di Sabah atau Sarawak yang berhubungan dengan pelombongan hendaklah terus berkuat kuasa kecuali yang berhubungan dengan pengeksplorasian, pencarigalian atau perlombongan petroleum di tanah di luar pesisir dan peruntukan-peruntukan Ordinan tersebut dan mana-mana undang-undang sedemikian setakat yang berhubungan dengan pengeksplorasian, pencarigalian atau perlombongan petroleum di tanah di luar pesisir hendaklah disifatkan telah dimansuhkan.

Penyerahan Hak Istimewa Eksklusif Kepada PETRONAS

Akta 144 Akta Kemajuan Petroleum 1974

  • Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi pengeksplorasian dan pengeksplotasian petroleum sama ada di pantai (terma dalam naskah Bahasa Inggeris – “onshore”) atau di luar pantai (terma dalam naskah Bahasa Inggeris – “offshore”) oleh suatu Perbadanan yang padanya akan diletakhakkan seluruh pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif berkenaan dengan petroleum tersebut, dan untuk mengawal pernjalanan aktiviti penggunaan dan pemajuan yang berhubungan dengan petroleum dan keluarannya.

Perbadanan

  • 3 (1) – Walau apapun peruntukan seksyen 22 Akta Syarikat 1965, yang berhubungan dengan nama syarikat, Perbadanan itu hendaklah dinamakan Petroleum Nasional Berhad atau ringkasnya PETRONAS.
  • 3 (2) – Perbadanan itu hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

Pembayaran wang tunai oleh Perbadanan

  • 4 – Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diletakhakkan padanya menurut Akta ini, Perbadanan itu hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan.

Kecualian

  • 8 (1) – Akta Melombong (Perlombongan) Petroleum 1966 (Akta 95), tidak terpakai bagi Perbadanan, kecuali seksyen 14.

 

Perjanjian Antara PETRONAS Dengan Kerajaan-Kerajaan

Perjanjian PETRONAS dengan Kerajaan Persekutuan pada 26 March 1975,

  • 1 (1) “PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang di dapati, diperolehi  dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontraktor-kontraktornya dalam tempoh yang diperuntukan dalam Fasal 2.”
  • Naskah Bahasa Inggeris, 1 (1) PETRONAS shall pay to the GOVERNMENT cash payment in the form of yearly sum amounting to the equivalence of 5% of the value of the petroleum won, saved and sold by PETRONAS or its agents or contractors during the period provided in clause 2 of this agreement.

Nota: perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan tidak menyebut kawasan yang perlu di bayar tetapi menyebut “won, saved and sold by PETRONAS…”.

Perjanjian PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Sabah pada 14 Jun 1976,

  • 1 (1) “PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang di dapati dan diperolehi dari kawasan di SABAH dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontraktor-kontraktornya dalam tempoh yang diperuntukan dalam Fasal 2.”
  • Naskah Bahasa Inggeris, 1 (1) PETRONAS shall make to the GOVERNMENT cash payment in the form of yearly sum amounting to the equivalence of 5% of the value of the petroleum won and saved from areas in SABAH and sold by PETRONAS or its agents or contractors during the period provided in clause 2 of this agreement.

Nota: perjanjian dengan Kerajaan Sabah menyebut kawasan perlu dibayar sebagai yang di dapati dan diperolehi “from areas in Sabah”.

Perjanjian PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975,

  • PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di KELANTAN dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukan dalam Fasal 2.
  • Naskah Bahasa Inggeris, 1 (1) PETRONAS shall make to the Government cash payment in the form of yearly sum amounting to the equivalence of 5% of the value of the petroleum won and saved in KELANTAN and sold by PETRONAS or its agents or contractors during the period provided in Clause 2.

Nota: perjanjian dengan Kerajaan Kelantan menyebut kawasan penemuan yang perlu dibayar sebagai yang didapati dan diperolehi “in Kelantan” dan berbeza dengan perjanjian Sabah yang menyebut kawasan yang perlu dibayar sebagai yang di dapati dan diperolehi “from areas in Sabah”.

 

Saman Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi 

Kerajaan Negeri Kelantan telah menyaman PETRONAS di Mahkamah Tinggi kerana didakwa mungkir janji. Mahkamah membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS supaya hakim memutuskan saman itu ditentukan secara isu perundangan.

i.         Sama ada Kerajaan Kelantan mempunyai hak dibawah undang-undang berhubung minyak dan gas yang dimenangi (won) dan tersimpan (save) di pelantar benua seperti yang ditakrifkan dibawah Akta Pelantar Benua 1966;

ii.         Sama ada Kerajaan Kelantan berhak bagi pembayaran bagi minyak dan gas.

 

Penubuhan Jawatankuasa Khas 

Pada 4 Ogos 2012 Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas,

  • Bagi mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur;
  • Membuat kajian menyeluruh berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia;
  • Menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan.

Menerusi Jawatankuasa Khas ini tuntutan Kerajaan Kelantan terhadap wang ehsan bagi beberapa medan gas dari hasil dimenangi, tersimpan dan dijual dibayar kepada Terengganu akan diselesaikan. Ini kerana tidak ada sempadan laut antara negeri-negeri di Malaysia maka penyelesaiannya perlu dibuat oleh Jawatankuasa Khas ini.