YB Dato’ Haji Husam Musa semalam membentangkan Bajet surplus buat pertama kali untuk Kerajaan Negeri Kelantan sejak 2008. Ini beerti pada tahun 2013, Kerajaan PAS Kelantan tidak lagi layak menerima Geran Kekurangan Akaun Mengurus daripada Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, hampir setiap tahun Kerajaan PAS Kelantan terpaksa bergantung kepada Geran Kekurangan Akaun Mengurus dari Kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat untuk menampung perbelanjaan membayar gaji kakitangan Kerajaan PAS Kelantan kerana kegagalan mereka menambah hasil negeri. Geran tersebut sebelum ini hanya turut dituntut oleh Kerajaan Negeri Perlis sahaja. Bagaimanapun hampir 95% dari jumlah kesuluruhan geran tersebut terpaksa diberikan kepada Kerajaan PAS Kelantan kerana masalah kewangan Kerajaan PAS Negeri yang sentiasa gagal menambah hasil negeri.

Geran Kekurangan Akaun Mengurus disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Persekutuan bagi memastikan pengurusan Kerajaan Negeri tidak terganggu akibat ketiadaan wang untuk membayar gaji dan sebagainya.

Namun begitu, bajet lebihan atau surplus yang dibentangkan Husam ini diyakini bersifat sementara sahaja kerana lebihan itu bukan dari peningkatan hasil negeri. Sebaliknya peningkatan itu adalah dari hasil angan-angan Husam untuk menakluk medan gas Bunga Kamelia yang jaraknya lebih 70 batu nautika dari Pantai Negeri Kelantan.

Medan gas Bunga Kamelia terletak di dalam perairan antarabangsa dan memandangkan Kelantan tidak diiktiraf sebagai sebuah wilayah berdaulat dan bukan penandatangan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) maka Kelantan tidak mempunyai hak ke atas medan gas tersebut.

Mengikut konvesnyen UNCLOS, hak wilayah laut sesebuah negara berdaulat lebarnya hanya 12 batu nautika dari tahap air surut. Selepas itu jika tiada sebarang tuntutan lain, ia boleh menambah sebanyak tidak lebih dari 12 batu nautika lagi. Ini bererti, hak maksimum lebar perairan wilayah sesebuah negara berdaulat hanyalah tidak lebih 24 batu nautika. Selepas itu ialah perairan antarabangsa.

Malaysia sebagai penandatangan dan juga pengesah kepada UNCLOS kemudiannya di beri hak ekonomi eksklusif (EEZ) sesehingga jarak tidak lebih 200 batu nautika dari pantai negara ini. Hak ekonomi eksklusif ini tidak bererti Malaysia boleh melebarkan kedaulatan undang-undangnya di wilayah laut antarabangsa itu melainkan yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Untuk tujuan itu Malaysia telah meluluskan Akta 311 Exclusive Economic Zone ACT 1984. Ianya bertujuan meregulisasi aktiviti di EEZ dan di pelantar benua serta hal-hal berkaitan dengannya.

Di bawah EEZ, Malaysia diberi hak ekonomi ke atas segala kandungan di lautan dan juga di pelantar benua termasuk segala bentuk mineral, hidrokarbon, hasil marin dan segala bentuk organisme di zon itu.

Semua pihak lain, selain yang diberi hak oleh Kerajaan Malaysia tidak boleh membuat sebarang eksplorasi, aktiviti mencari, ekskavasi dan penggerudian dan aktiviti kajian saintifik marin.

Lautan di dalam EEZ juga adalah wilayah perikanan milik Malaysia.

Di dalam erti kata lain, hak terhad di EEZ adalah milik Kerajaan Persekutuan.

Medan gas Bunga Kamelia terletak lebih 70 batu nautika dari pantai Kelantan. Ia jelas terletak di perairan antarabangsa tetapi masih di dalam EEZ Malaysia. Oleh itu jelas bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak memiliki sebarang hak di dalam perairan tersebut.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan boleh menggunakan kuasa Perdana Menteri seperti yang diberikan oleh Akta 144 Akta Kemajuan Petroleum 1974 untuk mengarahkan Petronas membuat apa-apa yang difikirkan perlu seperti membayar Wang Ehsan kepada Negeri Terengganu dan Negeri Kelantan. Perdana Menteri telah memberikan Wang Ehsan kepada Kelantan menerusi pengumuman pada 4 November 2009.

Perdana Menteri boleh dengan kuasa yang diberikan oleh akta 144 untuk memberikan juga Wang Ehsan kepada rakyat Kelantan berdasarkan aktiviti di medan gas Bunga Kamelia sejajar dengan keprihatinannya sebelum ini. Bagaimanapun operasi di Bunga Kamelia, sama seperti di Bumi Selatan bukanlah termaktub pada perjanjian suratcara 9 Mei 1975 antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS. Ini kerana ianya bukan hak negeri Kelantan sebelum ini.

Oleh kerana ia bukan termaktub kepada perjanjian suratcara 9 Mei 1975, maka Kerajaan PAS Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menuntutnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, nampaknya, mulai 2013 nanti, Kerajaan PAS Kelantan terpaksalah menuntut semula Geran Pemberian Kekurangan Akaun Mengurus daripada Kerajaan Barisan Nasional di pusat. Kalau tidak tidak berasaplah dapur kakitangan kerajaan negeri.

Husam pun telah berkata, tujuan dimasukkan tambahan RM200 juta yang kononnya royalti dari Telaga Kamelia hanya sekadar melonjak harapan, ianya hanya politik semata-mata.

“Ini bertujuan melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak mereka serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas khususnya di Telaga Kamelia yang memulakan pengeluaran Mac 2013,” – Husam Musa