Mereka yang berkecimpung di dalam industri penerbitan program televisyen terutama dari waktu awal penubuhan ASTRO lagi tentu arif dengan nama dan perangai Ralph Marshall. Beliau merupakan orang kepercayaan Jutawan Ananda Krishnan.

Rais Yatim, gagal transformasikan industri penyiaran.

Semalam The Malaysia Insider memetik pihak berkuasa Indonesia yang meletakan secara rasmi Ralph Marshall di dalam senarai orang yang dikehendaki kerana dakwaan penipuan dan pengubahan wang haram. Polis Republik Indonesia dikatakan telah memasukan nama Ralph Marshall ke dalam senarai ‘daftar pencarian orang’ pada 22 April lalu.

Peguam Astro dari firma Soemadipradja & Taher bagaimanapun bertegas bahawa Ralph Marshall tidak akan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Indonesia. Tindakan untuk tidak menyerahkan diri ini bererti anak guamnya enggan membersihkan namanya dari pertuduhan yang dibuat.

Ralph Marshall - Banyak khabar angin tentangnya satu ketika dahulu.

Sebelum ini, Ralph Marshall juga disebut terlibat di dalam kontroversi firma telekomunikasi Aircell di India yang turut melibatkan Menteri Telekomunikasi India. Central Bureau of Investigation di India telah pada 10 Oktober 2011 menfailkan pertuduhan rasuah terhadap Ralph Marshall, Ananda Krishnan dan keluarga Menteri Telekomunikasi India. Menurut The Malaysian Insider, Maxis dan Menteri Telekomunikasi India menafikan sebarang salahlaku.

Seperti di Malaysia, di Indonesia dan juga India mengamalkan bahawa seseorang yang tertuduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga didapati sebaliknya oleh mahkamah.

Bagaimanapun penglibatan Ralph Marshall dalam dua kes di dua negara itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tanah air. Terutamanya bila sebelum ini sendiri banyak desas-desus mengenai rasuah yang berleluasa di Astro. Penerbit-penerbit tempatan ada dalam diam mendakwa bahawa mereka terpaksa memasukan wang ke dalam akaun individu-individu tertentu sebagai pampasan diberi slot di rangkaian tertentu milik stesyen TV satelit itu. Bagaimanapun kebanyakan penerbit ini enggan untuk tampil ke hadapan kerana rezeki mereka bergantung kepada hubungan baik dengan individu-individu tertentu di dalam stesen TV.

David Teoh - pengaruhnya amat kuat dalam kementerian dan agensi berkaitan.

Rasuah di dalam stesen-stesen TV tempatan bukanlah sesuatu yang amat asing. Bagaimanapun memandangkan industri penyiaran tempatan adalah kecil dan melibatkan usahawan yang bermodal kecil dan pinjaman bank yang tinggi, kebanyakannya tidak berani untuk mengambil risiko kerana sedar pendedahan mereka hanya ibarat anjing menyalak bukit.

Bagaimanapun ini telah menimbulkan suasana yang amat tidak sihat sehingga menyebabkan kualiti penerbitan tempatan merosot dan menimbulkan rasa tidak puas hati ketara dikalangan karyawan. Kebanyakan karyawan yang sudah lama makan hati dengan amalan tidak sihat di stesen TV swasta maupun kerajaan di Malaysia akhirnya menjadi lebih mesra dengan parti-parti politik pembangkang sejak 1998.

Kamaruddin Siaraf - Bila Menteri kurang ambil perhatian dengan kementerian Penerangan, KSU lah yang terpaksa berkuasa penuh.

Amalan tidak sihat ini juga menyebabkan generasi muda yang berbakat besar gagal menembusi pasaran tempatan dan akhirnya bakat-bakat mereka yang boleh membanggakan negara hanyut begitu sahaja.

Amalan rasuah di stesen-stesen TV tempatan bukan sahaja melibatkan mereka yang berpangkat besar, tetapi juga pegawai bawahan dan juga eksekutif penerbitan. Pelbagai bentuk rasuah yang menjadi pilihan ini termasuklah memastikan syarikat penerbitan, artis dan tenaga kerja membayar komisen kepada individu-individu tertentu untuk mendapat kerja dalam satu-satu penerbitan.

Ada juga rasuah yang melibatkan penerbit-penerbit terkemuka yang diletak sebagai orang penting dalam satu-satu lembaga dibawah agensi kerajaan.

Naguib Razak - mengisi kerusi panas FINAS yang penuh tengkorak di dalam almari.

Budaya rasuah ini juga telah lama menular ke segelintir wartawan hiburan. Ada syarikat-syarikat penerbitan yang membayar imbuhan khas kepada wartawan-wartawan hiburan bagi mendapat liputan yang baik di media massa.

Selain daripada wang ringgit, rasuah di dalam industri ini turut melibatkan tiket penerbangan, barang kemas dan kosmetik, sewa hotel dan juga pelacuran.

Perdana Menteri Najib Razak perlu memastikan ada satu transfromasi sihat di dalam industri hiburan tanah air dengan memberi sasaran utama kepada stesen-stesen televisyen milik kerajaan dan swasta. Budaya tidak sihat yang sudah beronar sekian lama jika tidak banteras dan dibuat transformasi akan mengakibatkan bakat-bakat muda tercicir dari mainstream dan lebih banyak yang akan memilih haluan kiri. Bakat-bakat muda adalah anugerah kepada negara dan pihak yang bertanggungjawab hendaklah memastikan amanah ini tidak ditelan kanser rasuah dalam industri berkaitan.