Mereka yang berkecimpung di dalam industri penerbitan program televisyen terutama dari waktu awal penubuhan ASTRO lagi tentu arif dengan nama dan perangai Ralph Marshall. Beliau merupakan orang kepercayaan Jutawan Ananda Krishnan. Semalam The Malaysia Insider memetik pihak berkuasa Indonesia yang meletakan secara rasmi Ralph Marshall di dalam senarai orang yang dikehendaki kerana dakwaan penipuan dan pengubahan wang haram. Polis Republik Indonesia dikatakan telah memasukan nama Ralph Marshall ke dalam senarai ‘daftar pencarian orang’ pada 22 April lalu. Peguam Astro dari firma Soemadipradja & Taher bagaimanapun bertegas bahawa Ralph Marshall tidak akan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Indonesia. Tindakan untuk tidak menyerahkan diri ini bererti anak guamnya enggan membersihkan namanya dari pertuduhan yang dibuat.