Skip to content

Archive for June, 2011

Selatan Selatan Untuk Anwar

Kompas politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan hanya menunjuk ke satu arah, iaitu Selatan. Karier politiknya belum akan berakhir tetapi perlahan-lahan menuju ke bawah pada kadar yang tidak akan digemarinya. Pertempuran politik Anwar cukup setakat dengan Dato’ Eskay dan rejimen Dato’ Trio sahaja.

Walaupun pertempuran-pertempuran seterusnya mungkin tidak lagi akan dapat menghangatkan Malaysia seperti pertama kali kemunculan video seks Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur Cina, tetapi ini bukan kerana masyarakat sudah tidak peduli kepada pendedahan seterusnya, sebalik adalah kerana ia sudah dijangkakan, soalnya, bila dan apa pula yang bakal terselak.

Sebenarnya sudah tidak ada lagi yang hendak diselak pun. Kalau dulu hanya beberapa kelompok manusia, pegawai perubatan dan isterinya sahaja yang berpeluang melihat Anwar Ibrahim di dalam keadaan berbogel, hari ini satu dunia boleh melihatnya secara terbuka.

Mengapakah Eskay memilih untuk mendedahkan video seks Anwar dengan pelacur Cina bagi membuka tirai peperangan terbaharu Anwar? Eskay sebenarnya mempunyai banyak pilihan. Mengapa Eskay pilih yang ini?

Jawapannya mudah. Aksi seks ini dibuat Anwar di Tanah Airnya sendiri. Ia dibuat Anwar sebaik meninggalkan rumahnya, isterinya dan anak-anaknya termasuklah orang-orang politiknya. Aksi seks ini juga mempunyai turutan bukti yang tidak putus, dari masa Anwar meminta Eskay ke rumahnya, Eskay menghantar Anwar pulang semula ke rumahnya, Anwar menghubungi Eskay bertanyakan mengenai jam OMEGAnya dan Anwar menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Eskay memaklumkan apa yang dikatakannya kepada Datin Seri Wan Azizah berhubung kehilangan jam tersebut.

Bagaimana pula dengan rakaman cctv di rumah Anwar sendiri? Sudah pasti rakaman cctv dan laporan keselamatan mencatatkan kehadiran Eskay ke rumah Anwar pada malam tersebut dan mencatatkan waktu yang tepat bila Eskay menghantar Anwar pulang. Apakah ia sudah dipadamkan? Atau yang ada hanya kelongsong kamera tanpa alat perakam?

Data daripada syarikat telekomunikasi boleh menunjukkan dengan jelas di manakah Anwar berada dalam tempoh-tempoh tersebut. Data telekomunikasi juga akan menunjukkan dengan jelas di manakah kedudukan Eskay. Setidak-tidaknya kita akan tahu bahawa telefon bimbit mereka menggunakan khidmat pencawang yang sama atau tidak pada detik tersebut.

Dengan perincian yang begitu rapi, Anwar sememangnya kelemasan.

Perlahan-lahan penyokong tegar Anwar bertukar angin. Daripada menafikan hakikat sebenar mereka mula mengiyakannya tetapi mendakwa Anwar sudah diperangkap oleh Eskay.

Ya, saya juga merasa sedemikian. Bagaimanapun, soal yang lebih besar ialah bukan mengapa Eskay memerangkap Anwar, tetapi mengapa Anwar boleh terperangkap.

Eskay tidak meletakan dadah di dalam beg Anwar dan Eskay tidak membawa Anwar ke tempat di mana seorang penembak upahan sedang menanti. Apa yang kita lihat ialah Eskay, Anwar dan seorang pelacur Cina berada di dalam satu bilik. Eskay kemudiannya keluar meninggalkan mereka berdua. Bukan Eskay yang menanggalkan pakaian Anwar dan bukan juga pelacur Cina itu yang menanggalkan pakaian Anwar. Semuanya Anwar buat sendiri.

Sebagai seorang pemimpin Islam, seorang pejuang masyarakat sivil, seorang suami dan seorang ayah, Anwar boleh memilih untuk meninggalkan bilik tersebut, namun pilihan itu hanya dibuatnya setelah selesai mengadakan aksi-aksi intim bersama pelacur itu. Apakah ini satu perangkap?

Ramai dikalangan mereka yang rapat dengan Anwar mengambil keputusan tidak bercakap dengan media tentang keputusan analisa video daripada 2 pakar Amerika Syarikat. Tidak seperti sebelumnya.

Ramai yang mula berwaspada apa lagi apabila semalam didedahkan pula video seorang individu yang menonton aksi seks Anwar bersama Dato’ Trio.

Individu itu adalah seorang yang sering berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Namanya Datuk Johari Abdul, ahli parlimen PKR bagi Sungai Petani. Sebelum ini Johari Abdul tidak pernah di ambil serius oleh Anwar dan mereka yang berada di puncak kuasa PKR. Bahkan kemenangan Johari Abdul dalam pilihanraya 2008 juga dianggap satu lawak jenaka.

‘Joe’ tersenyum puas melihat aksi bosnya

Daripada raja lawak, ‘Joe’ tiba-tiba menjadi penting dan sumbangannya amat-amat dihargai Anwar. Lantaran ‘Joe’ mengambil keputusan untuk memahkotakan sendiri dirinya menjadi ‘maharaja lawak’ dengan menerbitkan video menangkis kesahihan Anwar sebagai pelaku dalam video seks tersebut.

Bagi yang berkesempatan menonton video itu, pertama sekali kita semua perlu bersetuju bahawa jika kalah di dalam pilihanraya akan datang, Johari Abdul belum cukup layak untuk menggantikan Mazidul Akmal sebagai ‘anchor’ program TV terkemuka. Keduanya, kegagalan ‘Joe’ mengemukakan hujah-hujah saintifik sebaliknya hanya berpandukan derianya sahaja. Hanya perlu seseorang yang memahami asas-asas videografi untuk tersenyum dengan kecetekan hujah-hujah teknikal ‘Joe’.

Saya tidak berhasrat menjawab kelemahan pemahaman teknikal ‘Joe’ kerana 2 pakar dari institusi terkemuka dunia sudah mengesahkan bahawa video itu tulin tanpa ‘super impose’ atau ‘tampering’. Menerusi analisa imejan lelaki di dalam video tersebut dan setelah di ‘match’ kan dengan database mereka mengesahkan bahawa 99.99% lelaki X dalam video tersebut ialah Anwar.

Kegagalan ‘Joe’ memahami implikasi penggambaran video dalam keadaan ‘low light’ dan kesan terhadap pergerakkan menunjukkan kecetekkan hujahnya

Maka berbekalkan bukti rakaman-rakaman cctv yang menunjukkan Eskay bersama Anwar pada malam itu dan analisa imejan oleh 2 pakar itu tidak lagi timbul persoalan berhubung identiti lelaki tersebut.

Sedang Johari Abdul menghitung hari menanti pendedahan seterusnya tentang skandal tuntutan wang pelincir dan wang pampasan olehnya, pimpinan lain di dalam PKR menghitung hari pendedahan seterusnya tentang Anwar.

Apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh Eskay? Bila pula kita akan didedahkan aktiviti Anwar di Thailand? Apa pula aktiviti itu?

Satu cara untuk menyelamatkan Anwar ialah dengan memastikan perhimpunan Bersih pada 9 Julai akan datang berjaya membangkitkan penentangan massa terhadap Kerajaan Persekutuan sehingga berlaku sesuatu yang boleh membantu Anwar menyelamatkan dirinya. Itu sahaja pilihannya setakat ini.

Kebangkitan golongan ‘Erdogan’ didalam Muktamar PAS yang lalu juga sebenarnya meresahkan lebih dari melegakan Anwar. Pertama ialah pemilihan Mohamad Sabu yang memang tidak sebati dengan Anwar sebagai Timbalan Presiden PAS. Mohamad Sabu walaupun pro Pakatan tetapi tidak pernah sebulu dengan Anwar.

Tewasnya grup Ulama’ dan kebanjiran ‘Erdogans’ di dalam tampuk kuasa memberikan kumpulan ini mandat untuk berunding terus dengan DAP tanpa penentangan lantang dari grup Ulama’.

Gabungan Mohamad Sabu dan ‘Erdogans’ sebenarnya membuka lembaran baru didalam hubungan DAP-PAS. Pendek kata, PAS tidak lagi memerlukan Anwar Ibrahim untuk berunding secara langsung dengan DAP.

Menjunamnya Anwar Ibrahim dilihat dapat mengalihkan undi Melayu anti UMNO supaya bulat kepada PAS.

Apabila melihat Tan Sri Rahim Thamby Chik, Dato’ Shuib Lazim dan Dato’ Eskay melangkah keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu, saya dapat merasakan ini hanya permulaan. Keyakinan diri ‘Trio Patriot’ negara semakin meningkat. Strategi permainan mereka ada ‘class’ kata orang.

Sumpah seranah, cacian dan hinaan yang dilemparkan kepada mereka hanya akan ditangkis dengan lebih banyak pendedahan. Tetapi lebih penting daripada itu, mereka sebenarnya tahu bila masanya yang terbaik untuk membuat pendedahan-pendedahan mereka. Keupayaan mereka untuk tidak melatah dan emosi menamatkan prasangka bahawa ini tidak lain hanya sekadar ‘Rahim Thamby Chik’ hendak membalas dendam.

‘Trio Patriot’ bukan sahaja tahu ‘the art of war’ tetapi turut mengamalkannya. Memimjam bahasa orang muda hari ini, boleh saya katakan ini, ‘EPIC!”.

Naib Presiden PAS, Tolong Elak ‘Joke Babi’ dan Fahami Teknik Pengecaman Yang DiBuat.

Omar Mokhtar, Singa Padang Pasir

“Pas menyangkal kenyataan laporan pakar pengecaman wajah yang menyebut pelaku dalam video seks sebagaimana didedahkan, mirip 99.99 peratus Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, teknik mengubah wajah menyerupai individu tertentu telah dipraktikkan dalam industri penerbitan filem.

“Mereka hanya kata 99.99 peratus mirip, tidak semestinya bermaksud memang itu Anwar.

“Watak Omar Mukhtar yang dilakonkan Anthony Quinn dalam filem Lion of The Desert juga menyerupai Omar Mukhtar sebenar. Jadi, apa nak dihairankan, semua teknik begini boleh digunakan untuk memerangkap seseorang,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun isu itu diberi liputan media di negara ini, ia tidak menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat malahan mampu melonjakkan nama ketua pembangkang itu.

“Ia akan melariskan lagi publisiti Anwar seperti pertambahan undi dalam program realiti televisyen, Maharaja Lawak.

“Bagi saya, ini adalah sebahagian daripada cerita lucu zaman moden,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebarang dokumen dikemukakan berhubung perkara itu malah ia sekadar kenyataan lisan daripada peguam.

“Ia tiada kaitan mengenai kerjasama Pas dalam PR, kerana perjanjian parti dengan PR, bukan dengan Anwar.

“Justeru, isu Pas keluar PR tidak timbul kerana Pas masih tetap bekerjasama dengan PR,” katanya.” – Sinar Harian

Saudara Mahfuz, watak Omar Mukthar dan juga watak Saidina Hamzah, kedua-duanya lakonan Anthony Quinn, langsung tidak menyerupai wajah kedua-dua tokoh sejarah itu. Hakikat ini diakui sendiri di dalam pengarahnya, Allahyarham Moustapha Akkad di dalam beberapa tulisan dan temubualnya. Bagaimanapun, apa yang menjadi ingatan dan pujian ialah bagaimana Anthony Quinn menjayakan watak itu dari segi gerak lakunya sehinggakan ia menyakinkan sesetengah penonton bahawa kedua-kedua watak itu dilakonkan oleh seorang Islam.

Omar Mokhtar sewaktu ditahan oleh Tentera Fasis Itali

Mendiang Anthony Quinn selaku Omar Mokthar dalam Lion of The Desert

Mendiang Anthony Quinn selaku Saidina Hamzah bersama Pengarah Allahyarham Moustapha Akkad di lokasi The Message

Adegan Omar Mukhtar mengambil air sembahyang sebelum menjalani hukumannya dianggap oleh pengkritik sebagai adegan yang cukup melahirkan keinsafan.

Mendiang Anthony Quinn, seorang pelakon berketurunan Mexican-American membawa watak Saidina Hamzah di dalam filem The Message (1977) dan watak Omar Mokhtar di dalam filem Lion Of The Desert (1981).

Apa yang Mahfuz tidak faham ialah keberkesanan lakonan seseorang bukan di nilai dari sudut bentuk wajah dan fizikal tetapi dari sudut teknik di mana seseorang pelakon berjaya ‘make-believe’ atau membuat kita percaya kepada lakonannya.

Seorang lagi pelakon hebat, Anthony Hopkins yang berlakon dalam filem Nixon arahan pengarah besar Oliver Stone pada tahun 1995, sedekad selepas filem yang dikatakan Mahfuz turut mengakui bahawa kehebatan penataan-rias Holywood tidak berjaya menjadikan wajahnya seperti bekas Presiden Amerika itu.

Jika sebuah filem Hollywood yang berbajet besar pun tidak dapat melahirkan wajah yang seiras dengan tokoh sebenar, apakah lagi filem berbajet rendah diluar Hollywood seperti yang diperkatakan oleh pemimpin Pas itu?

Kata orang jangan bercakap sesedap mulut. Mahfuz Omar adalah Naib Presiden PAS dan tak usahlah bercakap seperti orang yang tidak berakal. Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam usah di duga.

 

Mahfuz ternyata tidak memahami bagaimana pengecaman di buat oleh dua pakar Amerika Syarikat dari Dartmouth College New Hampshire. Teknik pengecaman sebegini sudah biasa di Amerika Syarikat dan ianya digunakan untuk tujuan keselamatan dan perisikan. Ianya bukan berdasarkan keserupaan wajah tetapi berdasarkan elemen-elemen seperti kedudukan mata, saiznya, kedudukan mulut dan bibir dan lain-lain faktor lagi yang tidak boleh diubah dengan solekan, topeng dan sebagainya. Ianya digunakan dengan meluas oleh agensi-agensi terbabit bagi mengecam orang-orang yang dikehendaki ataupun yang dipercayai mempunyai motif subversif.

Di dalam kes mengesahkan lelaki di dalam video seks itu adalah Anwar Ibrahim, ia dibuat bukan sahaja dengan membandingkan elemen-elemen tersebut dengan Anwar Ibrahim sendiri tetapi dengan membandingkannya dengan data ribuan sample gambar yang diberikan.

Di dalam kata lain, menerusi teknik ini, walaupun Mahfuz Omar disolek sebiji menyerupai Mr. Bean, teknik pengecaman ini akan pasti dapat mengecam bahawa ‘Mr. Bean’ itu tetap Mahfuz. Ini kerana geometeri wajah yang dinilai.

Tiga teknik pengecaman wajah boleh dibuat adalah seperti berikut,

(1)  Teknik Tradisional -  mengecam wajah dengan menilai tanda-tanda pada wajah, atau bentuk dari imej yang dibekalkan. Contohnya ia akan membuat analisa posisi, size, bentuk mata, hidung, tulang pipi dan rahang. Ia kemudian di bandingkan dengan sample di dalam database.

(2)  Teknik 3-D – Teknik baru ini dikatakan berjaya membuat perbadingan pada aspek-aspek yang belum dapat dibuat oleh teknik sebelum ini iaitu menggunakan teknik pengecaman wajah secara tiga dimensi. Menerusi teknik ini, maklumat bentuk muka di perolehi dengan imbasan 3 dimensional ke atas imej. Ia akan mengenalpasti ‘distinctive feature’ pada permukaan wajah seperti ‘the contour of the eye sockets, nose, and chin’. Kelebihan teknik ini ialah penilaian tidak terjejas menerusi perubahan pencahayaan atau ia tetap berkesan walau dalam kekurangan cahaya. Wajah juga boleh dikenalpasti menerusi sudut-sudut yang sukar. Teknik tiga dimensional ini juga peka terhadap mimik muka dan reaksi wajah.

(3)  Teknik Tekstur Kulit – Ia merupakan teknik yang semakin digunapakai. Ia menggunakan visualisasi perincian kulit yang dirakamkan menerusi imej yang diimbas. Teknik ini akan menukarkan maklumat garis-garis kedutan, pattern dan titik-titik pada kulit kepada nilai matematik. Menerusi teknik ini, keberkesanan pengecaman ditingkatkan kepada 20 dan 25 peratus.

Penilaian terhadap imej Lelaki X dalam video seks yang dihantar ke Kolej yang merupakan top-notch Ivy League institution and among the most distinguished educational establishments in the world.

Dan seperti DNA Lelaki Y yang akhirnya disahkan secara saintifik adalah DNA milik Anwar Ibrahim, imej Lelaki X dalam video seks itu juga adalah imej Anwar Bin Ibrahim.

Keputusan ini tidak diharapkan mengubah pendirian penyokong-penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi di dalam membahaskan sesuatu yang telah dibuktikan secara saintifik, hendaklah menggunakan akal yang waras. Jika benar wujud pelakon pornografi dari Thailand yang wajahnya serupa dengan Anwar Ibrahim, saya berharap pihak yang enggan menerima keputusan ini akan membawa lelaki tersebut ke hadapan.

BERSIH dan Membersihkan Tindakan Pencegahan

Kebanyakan anggota Polis yang dikerah pada 10 November 2007 memahami mengapa rakyat keluar berhimpun pada hari itu. Mereka juga rakyat dan tertekan.

Beberapa hari lepas, ketika bertemu pakar mata, saya dinasihatkan supaya tidak menggunakan komputer melainkan jika benar-benar perlu. Semalam saya menerima keputusan ujian darah dan amat kecewa bila saya mendapati saya mengalami diabetes.

Selama seingat saya, saya sentiasa menghindari dari mengambil gula berlebihan dan sejak ibu saya meninggal dunia kesan dari diabetes, boleh dikatakan saya langsung tidak mengambil gula dalam minuman saya melainkan satu tin coca cola seminggu atau dua minggu sekali bila badan saya menggeletar kerana kekurangan gula. Sejak tahun 2005, kami di rumah sering menggunakan beras perang dan hingga ke baru-baru ini bertukar kepada pilihan yang lebih baik.

Di rumah kami, satu paket sekilo gula boleh bertahan lebih setahun melainkan jika ada tetamu dirumah. Kek atau cokelat lagi kurang disentuh.

Rupa-rupanya tindakan pencegahan awal oleh saya dapat akan menyekat apa yang sudah pasti berlaku kerana sistem tubuh badan kita yang mewarisi gen-gen yang bermasalah tersebut.

Apakah tindakan pencegahan awal terhadap rancangan Perhimpunan Bersih 2.0 turut akan menerima nasib seperti saya?

Apapun saya berharap tidak ada sesiapa di dalam Kerajaan Malaysia yang akan berkata, ‘Saya pantang di cabar’ seperti Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya ketika berdepan dengan perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 lalu.

Angka rasmi yang keluar pada hari tersebut dikatakan lebih 40,000 orang walaupun ada sesetengah pihak di dalam dalam kerajaan mendakwa sebenarnya jumlah sebenar ialah tiga kali ganda lebih besar. Menteri Penerangan Malaysia ketika itu menjerit-jerit di dalam siaran berita Al Jazera sebagai protes terhadap tindakan media antarabangsa memberi liputan yang dikatakan menyebelahi sebelah pihak sahaja. Masih terngiang-ngiang jeritan emosi Menteri Penerangan Malaysia yang didengari ramai seolah-olah berkata kepada dunia, ‘… in Malaysia we have erection every 5 years’.

Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada awal bulan hadapan bagi saya mengutarakan cabaran yang lebih utama kepada pihak pembangkang dan bukan kepada pihak Kerajaan, UMNO ataupun pihak polis.

Sesungguhnya jumlah yang akan keluar pada perhimpunan Bersih 2.0 boleh digunapakai sebagai indikasi sokongan kepada pembangkang dan kemarahan rakyat kepada pemerintah. Jika jumlah yang keluar adalah melebihi jumlah yang keluar pada 10 November 2007, maka Perdana Menteri Najib Razak perlu menerimanya sebagai satu cabaran untuk terus melakukan perubahan untuk ‘survival’ politik Barisan Nasional.

Sebaliknya, jika jumlah yang keluar untuk perhimpunan Bersih 2.0 adalah jauh kurang daripada yang keluar pada 10 November 2007 lalu, maka Najib Razak dan jentera Barisan Nasional bolehlah memanggil PRU13 dalam tempoh terdekat.

Pentadbiran Najib Razak adalah berbeza dengan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Peredaran masa hari ini juga jelas membuktikan kaedah-kaedah zaman Pemerintahan Tun Dr Mahathir sudah banyak tidak lagi sesuai digunapakai untuk zaman ini.

Di zaman Tun Dr. Mahathir, setidak-tidaknya kita perlu menanti keesokan harinya untuk menatap berita-berita terperinci tentang apa yang berlaku hari ini. Di zaman Najib Razak, foto pasukan polis melepaskan gas pemedih mata atau memukul perserta himpunan dengan belantan boleh ditatapi diseluruh dunia hanya beberapa saat selepas kejadian itu berlaku.

Di dalam perhimpunan Bersih 2007, pihak polis bertindak melerai dan menangkap orang ramai yang keluar ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan tersebut seawal jam 12 tengahari. Kemudiannya setelah bergelut selama lebih dua jam dengan rakyat yang keluar berhimpun dengan segala perisai, meriam air dan tembakan gas  yang menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur seolah-olah ‘ground zero’, pihak polis tiba-tiba menjadi tidak lebih sekadar trafik seiring dengan unit amal PAS mengawal keselamatan para peserta perhimpunan dengan memastikan laluan mereka ke Istana Negara tidak terganggu.

Peliknya, pasukan polis yang sama juga yang cuba menyekat rakyat daripada berarak ke Istana Negara sebelum itu.

Peserta perhimpunan akhirnya dibenarkan berarak ke Istana Negara setelah puas disekat dengan kekerasan.

Perhimpunan Bersih 2007 adalah satu perhimpunan rakyat sehinggalah beberapa gelintir ahli politik ‘merampas kuasa’ dihadapan Istana Negara. Perhimpunan Bersih 2011 bulan hadapan belum tentu satu perhimpunan rakyat walaupun yang sudah pasti, sudah ada ahli-ahli politik dari pembangkang, kerajaan dan bebas yang mahu ‘merampas kuasa’.

Saya berpendirian, Kerajaan Malaysia pimpinan Najib Razak perlu membenarkan perhimpunan ini berjalan dan apa yang pihak berkuasa perlu lakukan ialah memastikan perhimpunan sedemikian berjalan lancar dan pada waktu yang sama tidak menyusahkan orang ramai yang tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan 2007 adalah perhimpunan yang aman sehingga pihak polis dipaksa bertindak liar oleh pihak-pihak tertentu. Jumlah yang keluar pada 10 November 2007 sebenarnya boleh merekodkan jumlah perniagaan tertinggi bagi peniaga-peniaga tertentu di Kuala Lumpur sehingga pihak polis bertindak ganas mengakibatkan para peniaga terpaksa menghentikan perniagaan mereka.

Perhimpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini sebenarnya adalah satu ‘pilihanraya olok-olok’ yang baik bagi UMNO. Pemuda UMNO dan Puteri UMNO seharusnya mengambil kesempatan untuk memerhati jumlah yang keluar dan kompisisi yang keluar bukan untuk membuat perhimpunan bantahan dan menuang RON 97 yang baru turun harga ke atas bara semangat segelintir rakyat.

Najib Razak selaku Presiden UMNO harus berhati-hati dan memastikan beliau memantau bukan perkembangan mereka yang akan keluar berhimpun, tetapi anak-anak buahnya daripada mengeruhkan suasana. Nombor satu yang harus diperhatikan ialah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Jangan biar beliau mengulangi kebiadapannya dan kesamsengannya seperti yang dilakukannya bersama bapa mertuanya menjelang perhimpunan Bersih 2007 yang lepas.

Selain itu Najib Razak juga harus memastikan Menteri Penerangannya hari ini dapat membezakan di antara ‘erection’ dan election.

Saya suka untuk turut serta merakamkan detik-detik perhimpunan ini seperti yang saya lakukan pada 2007. Bagaimanapun ia bergantung kepada pembedahan kecil yang akan saya lalui pada minggu hadapan. Sekiranya diabetes yang saya alami tidak mengganggu proses pemulihan selepas pembedahan kaki saya dan rawatan mata saya juga mengizinkannya, Insya Allah.

Sehingga itu saya hanya mampu berharap Kerajaan Malaysia dapat membuat keputusan yang bijak. Kadang-kadang keputusan yang bijak bukanlah keputusan yang selalu diambil oleh kita. Adakalanya tindakan pencegahan awal perlu bersikap luar dari kebiasaan untuk memastikan ia berkesan.

Terima kasih di atas senyuman yang melegakan setelah puas bermandikan semburan air dan gas pemedih mata.

Tersesat Di Dalam Pelayaran

Ramai di antara kita telah menaiki bahtera tersebut. Belayar jauh mengharungi badai dan gelombang demi atas kepercayaan yang telah ditanam di dalam benak pemikiran kita. Di dalam menempuh berbagai cabaran itu, ramai juga yang terkorban.

Tiba-tiba baru kita sedari, nakhoda bahtera yang ada dikalangan kita naiki itu, sebenarnya tidak turut serta di dalam pelayaran tersebut. Habis siapa yang asyik mengemudi bahtera itu?

Itulah dia nasib ‘Negara Islam PAS’. Berkurun lamanya Parti Islam SeMalaysia terpekik terlolong memperjuangan penubuhan sebuah Negara Islam dan mengkafirkan negara sekular. Kita yang ikut serta di dalam perjuangan itu dijanjikan syurga di akhirat kelak.

Apa akan jadi kepada mereka yang selama sudah berkurun lamanya percaya bahawa bahtera yang mereka naiki itu ialah bahtera menuju ke arah penubuhan sebuah Negara Islam adalah tidak benar. Di dalam al Quran tiada Negara Islam kata nakhoda bahtera itu yang kini bersiap-siap untuk menaiki roket ke Negara Berkebajikan.

Negara Berkebajikan yang akan di tubuhkan bersama DAP dan PKR itu bukankah akan jadi sebuah negara sekular?

Apa itu Negara Sekular? Ringkas dan mudah, Negara Sekular ialah yang tidak memberi keutamaan kepada mana-mana agama. Negara Sekular tidak mempunyai agama rasmi. (rujuk di sini).

Apakah PAS akan mendukung sekularisme di dalam menubuhkan Negara Berkebajikan?

Atau PAS menerima bahawa ‘Agama Islam sebagai Agama Persekutuan’ seperti yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini sudah cukup? Kalau cukup, apakah ini bererti PAS akhirnya mengakui bahawa Perlembagaan yang dipengaruhi oleh tokoh-tokoh Penjajah Inggeris, UMNO, MCA dan MIC itu sebenarnya bukanlah kafir?

Pada 1981, Nakhoda itu, Ustaz Hadi Awang mengeluarkan amanatnya,

‘Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka. 

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.’

Kita menjadi kafir kerana mengamalkan politik suku agama suku! Adakah Negara Berkebajikan itu tidak akan membuat Ustaz Hadi dan kabinet PASnya menjadi kafir kerana mengasingkan politik dan agama.

Bagaimana dengan mereka yang terpedaya dengan laungan amanat Hadi dan terkorban di dalam proses untuk menubuhkan Negara Islam yang bertahun-tahun menjadi intipati perjuangan PAS.

Bagaimana dengan Allahyarham Ibrahim Libya dan korban Memali? Tidakkah PAS hari ini harus memohon maaf kepada anak cucuk korban Memali kerana telah memperdayakan mereka tentang Negara Islam.

Bagaimana dengan hubungan kekeluargaan yang terputus dan adik beradik, suami dan isteri, ayah dan anak yang tidak bertegur sapa sehingga ke akhir hayat mereka kerana dakyah ‘penubuhan Negara Islam PAS’.

Bagaimana dengan jemaah yang menghina dan menduakan Imam mereka? Bagaimana dengan ikatan kejiranan yang terputus hingga jemputan kenduri kendara menjadi begitu sukar untuk dipenuhi kerana pihak yang menjemput bukan pejuang ‘penubuhan Negara Islam PAS’.

Penjelasan Ustaz Hadi bahawa di dalam al Quran tidak ada menyebut tentang Negara Islam bagi membetulkan semula aqidah perjuangan PAS hanya mengiyakan tuduhan banyak pihak terhadap kesesatan didalam PAS.

Hari ini PAS tidak perlu membazirkan masa menjelaskan apa itu Negara Berkebajikan. Kita semua tahu, ‘Negara Berkebajikan’ ialah aqidah baru PAS supaya mereka tidak perlu melangkah mayat Karpal Singh.

‘Negara Berkebajikan’ ialah pengakuan bahawa PAS sebenarnya lemah. Tetapi kerana nafsu mahu menjadi pemerintah begitu membuak-buak, PAS rela menolak aqidah asalnya kerana untuk memuaskan nafsu mereka, ia hanya boleh tercapai dengan bersama DAP dan PKR. Kedua-dua, DAP dan PKR pula mahu menubuhkan sebuah negara sekular sepenuhnya.

Oleh yang demikian, saranan supaya PAS menggugurkan perkataan Islam dari nama parti tersebut adalah amat wajar. Apatah lagi, jika di dalam al Quran tidak menyebut Negara Islam, sudah tentu ‘Parti Islam’ juga tidak terdapat di dalam al Quran.

Melihat kepada insiden ini, kita terpaksa melahirkan kekaguman terhadap para nasionalis yang menubuhkan UMNO dan melakarkan aqidah perjuangan UMNO. Sebenarnya, nasionalis ini sudah memahami isi kandungan al Quran semenjak 1946 lagi. PAS pula baru memahaminya pada tahun 2011.

Bagaimana dengan mereka yang masih bersesak-sesak didalam bahtera itu? Apakah PAS akan berkata benar kepada mereka atau akan menjadi lembaga hitam berwajah dua?

Alhamdulillah Husam Menang

Saya amat bersyukur dengan kemenangan YB Dato Haji Husam Musa sebagai salah seorang Naib Presiden PAS di dalam pemilihan pucuk pimpinan yang baru berlalu.

Lega kerana kemelut beberapa hari ini jelas tidak mempengaruhi keputusan perwakilan. Syabas kepada para perwakilan. Seperti yang saya sebut sebelum ini, Husam adalah seorang yang istimewa. Saya tahu kemampuannya dan komitmennya di dalam perjuangan. Saya tahu apa yang Husam mampu lakukan dengan jawatan setinggi itu. Saya tahu hebat lebarnya langkah Husam dengan jawatan setinggi itu. Saya dengan Husam mungkin berlainan pendapat berhubung beberapa isu yang bagi saya Husam terlalu mementingkan politik dan meminggirkan yang terbaik untuk rakyat Kelantan di dalam hal-hal tertentu.

Saya amat berhati-hati di dalam kemelut ini kerana saya amat risau ia akan mempengaruhi tindakan perwakilan pada waktu yang sama, saya juga bertangunggjawab untuk membetulkan yang tidak betul.

Dalam waktu yang sama, saya juga yakin kemelut ini dan perselisihan kami akan berpanjangan. Itu juga akan menjadi bukti bahawa ianya bukan terfokus hanya pada waktu muktamar sahaja seperti yang diindikasikan oleh Husam di dalam kenyataannya.

Perwakilan ke Muktamar PAS kali ini juga telah memilih untuk mengukuhkan komitmen PAS kepada Pakatan Rakyat. Pemilihan Mohamad Sabu sebagai Naib Presiden dilihat jelas ke arah itu. Saya tidak melihat ianya kerana faktor perpecahan undi Ulama semata-mata. Ini kerana dalam persaingan untuk Naib Presiden, kedua-dua tokoh Ulama yang bertanding turut tercicir.

Ianya jelas menunjukkan pilihan perwakilan adalah politik dan masa depan PAS di dalam Pakatan Rakyat. Perwakilan yakin Pakatan Rakyat adalah jalan mereka untuk ke Putrajaya.

Apakah ini bererti PAS beransur-ansur menolak kepimpinan Ulama dalam pucuk pimpinan sebaliknya menyimpan ideologi kepimpinan Ulama sekadar di Majlis Syura iaiatu badan tertinggi dalam PAS? Saya merasa pilihan perwakilan adalah ke arah itu.

Satu indikasi yang membenarkan tekaan saya, ialah jika Menteri Besar baru PAS akan dipilih dari kalangan bukan Ulama.

Jika PAS menuju ke arah itu, PAS mampu melengkapkan dirinya sebagai parti politik alternatif kepada kebanyakan rakyat Malaysia.

UMNO yang menjadi cabaran terus kepada PAS dan UMNO  perlu bersedia berhadapan dengan dengan hakikat bahawa PAS bukan lagi parti yang memperjuangan Islam. PAS kini adalah parti politik yang menggunakan prinsip-prinsip di dalam Ajaran Islan untuk menegakkan fahaman politik mereka.

Bagi rakyat Malaysia beragama Islam pula, pertembungan PAS baru dan UMNO di masa hadapan, bukan lagi pertembungan untuk memilih syurga atau neraka di akhirat, tetapi syurga atau neraka di dunia.

Berbohong atau Tidak. Soalnya Siapa?

Kenyataan YB Dato’ Haji Husam Musa terhadap penjelasan saya membawa kita ke lebaran baru. Ia bukan lagi soal pemberian wang tetapi siapa berbohong.

Pada awalnya pegawai khas Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama majikannya.

Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan namanya.

Kemudian saya juga membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama saya.

Saya kemukakan bukti bahawa tidak berlaku perjumpaan di Republik Rakyat Cina. Saya juga memberi penjelasan yang jelas dan tepat bahawa saya tidak menerima wang untuk berkempen bagi pihak Husam. Tetapi saya tidak boleh menipu dengan berkata saya memang tidak menerima wang langsung dari Husam. Saya berpegang jika tiada angin masakan pohon bergoyang.

Husam melenting. Saya hairan. Di HarakahDaily, The Malaysian Insider dan di Malaysiakini saya digambarkan olehnya seolah-olah berbohong. “Bodohlah saya nak bagi duit pada dia…” antara kata-kata Husam.

Saya tidak mahu bercakap soal duit.

Husam juga menuduh seolah-olah saya membuat ‘pendedahan’ dalam tempoh 24 jam sebelum pemilihan pucuk pimpinan PAS dengan niat tertentu. Pelik.

Siapa yang memilih menimbulkan cerita ini begitu hampir dengan pemilihan itu?

Bukan saya.

Saya berdiam walaupun dicaci dan dimaki. Bukan Husam yang dicaci dan dimaki. Kenapa Husam tidak tanya kepada blogger-blogger yang menimbulkan isu ini 48 jam sebelum pemilihan, mengapa mereka memilih tempoh yang begitu hampir dengan pemilihan pucuk pimpinan PAS?

36 jam sebelum pemilihan Husam dan pegawainya memilih membersihkan nama mereka. Salahkan saya mengikut di belakang turut membersihkan nama saya?

Saya rakam segala kata-kata saya sepanjang sidang media tersebut dan Husam boleh memilih untuk mendengarnya. Saya boleh serahkan rakaman saya. Tiada sepatah pun saya memburukan Husam. Berkali-kali saya ditekan dan ditengking oleh seorang blogger supaya jelaskan dari mana sumber wang itu, saya berkali-kali menekankan bahawa saya tidak akan jawab soalan itu.

Saya diterkam dengan soalan-soalan yang berniat untuk memerangkap Husam. Saya teguh mengemudi soal pokok, tuduhan oleh blogger-blogger itu tidak tepat. Tiada ‘perjanjian syaitan’ antara Husam dan saya.

Soalnya siapa berbohong.

Saya tahu saya tidak berbohong. Pintu rumah saya terbuka untuk pimpinan PAS datang dan melihat rakaman bukti-bukti bahawa saya tidak berbohong. Bagaimanapun saya tidak berhasrat untuk menjadikan bukti-bukti itu sebagai tatapan umum. Itu dokumen peribadi. Ia juga melibatkan orang ketiga. Tetapi pintu rumah saya terbuka untuk tetamu dari PAS.

Bila-bila pun terbuka.

Husam Boleh Saman Saya Bila-Bila

Suka saya merujuk kepada kenyataan YB Dato’ Haji Husam Musa di dalam HarakahDaily.

Dengan penuh rasa rendah diri dan insaf, saya memaklumkan bahawa saya bersedia berhadapan dengan apa-apa tindakan undang-undang dari Dato’ Husam sekiranya ada maklumat yang saya siarkan di dalam kenyataan media saya hari ini adalah palsu.

Saya juga bersedia untuk memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Husam dan keluarganya jika Dato’ Husam boleh tunjukkan dimana di dalam kenyataan media saya hari ini yang tidak betul.

Berikut ialah petikan dari HarakahDaily (kenyataan saya tersiar di dalam posting sebelum ini)

Bodohnya nak sedekah kepada Syed Azidi – Husam

KUALA LUMPUR, 2 Jun: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menafikan beliau memberikan duit sebanyak RM350,000 kepada seorang blogger, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi.

“Adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat,” kata Husam dalam kenyuataannya kepada Harakdaily.

Husam mengulas kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan Online yang mengaku menerima wang sebanyak itu dari wakil Husam di China.

Kenyataan itu ekoran dakwaan para blogger Umno kononnya Husam memberikan duit sebanyak itu kepada Syed Azidi untuk membantu kempen beliau menjelang muktamar ini.

Selain isu memberi wang kepada Syed Azidi, hampir semua blogger Umno menyerang Husam menjelang pemilihan kali ini.

Husam bertanding naib presiden PAS dan baru pulang dari India dan China untuk urusan kerajaan negeri Kelantan.

Berikut kenyataan penuh Husam:.

“Saya merujuk kepada kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan online dan dijangka akan disiarkan edisi cetak Utusan besok.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kehairanan saya terhadap minat Utusan yang terlalu nyata untuk mencampuri pemilihan PAS sejak 2008 yang lalu.

“Mengenai dakwaan Syed Azidi, saya merasa hairan dakwaan ini dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS esok hari di mana saya ikut bertanding.

“Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu, ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini.
“Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat.

“Mengnenai kononnya saya ada berbual melalui talipon dengan beliau kebelakangan ini, juga adalah palsu. Rekod talipon saya dan beliau boleh disemak.

“Namun saya akui beliau ada menghantar beberapa mesej seminggu dua yang lalu memaklumkan beliau menulis mengenai kenaikan harga minyak dan saya membalasnya sekali dengan berkata tahniah.

“Syed Azidi telah beberapa kali menimbulkan sensasi tetapi setiap kali sensasi itu berlalu, kredibiliti beliau semakin pudar.”

Saya sudah memberi kenyataan yang sama dengan di atas kepada The Malaysia Insider dan Malaysiakini. Saya berharap mereka sudi menyiarkan kenyataan ringkas saya itu. Saya juga berharap HarakahDaily dengan rasa tangungjawab memetik kenyataan saya ini untuk membalas apa yang telah disiarkan oleh pihaknya.

Berikut pula petikan daripada Malay Mail

Kickdefella was paid for contract termination

Thursday, June 2nd, 2011 22:07:00

Blogger Kickdefella or his real name, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, today claimed that he received RM350,000 from Datuk Husam Musa as compensation for the termination of his service contract with Kelantan Menteri Besar Incorporated (PMBK) two years ago.

He said this happened in November 2009 and the money was to compensate him after his contract as public relations officer with PMBK was terminated on Nov 10, 2009.

He denied reports on a number of websites lately that he was paid by Husam, who is a Kelantan state executive councillor and candidate for a PAS vice-president post in the party election this week, to help him campaign.

Syed Azidi said the facts and time frame of the incident had been twisted. “The allegation that I had met Datuk Husam and received RM300,000 from him in China recently is not true,” he told a news conference in Kuala Lumpur.

“Datuk Husam and I have not met since Nov 9, 2009, but we have spoken over the phone and sent each other SMSes.”

Syed Azidi said after his service contract with PMBK was terminated following a misunderstanding with its chief executive, he had on Nov 18, 2009 met Husam’s aide who offered him a payment of RM350,000 and he agreed.

He said the money given was partly arrears amounting to RM50,000 and the remainder as compassionate payment, and not for “shutting my mouth”. The cash payment was made by the individual in stages within three months from November 2009,” he added, but declined to reveal the individual’s identity.

Syed Azidi who regards Husam as a special friend, said he did not know whether the money came personally from Husam.

He said the last time he visited China was in December 2009. “I believe the story that the money was given to me when I met Husam in China last week was purposely created by certain quarters.

“I also believe that the person responsible for relaying the information is closely linked to one of the candidates contesting for a party vice-president post,” he added.

Husam when contacted, however, denied that he had given the money (RM350,000) to Syed Azidi in 2009.

“I also don’t have an aide. If his (Syed Azidi’s) service had been terminated by PMBK, that’s his own matter. Why should I want to give him compensation money? I was not his employer,” he said.

In a statement sent through SMS to Bernama, Husam also denied having such an amount of money.

“Until today, I have not had that amount of money in my account, and it would have been stupid of me to donate such a big amount to a person like him (Syed Azidi) while I’ve never had that amount in my entire life,” he texted.

Husam was also surprised with Azidi’s action of making such a claim on the eve of the PAS election tomorrow.

He said it was also not true that they had communicated over the phone.

Kenyataan Saya Membalas Tomahan Blogger-Blogger

K E N Y A T A A N   M E D I A

 

“I have long feared that my sins would return to visit me… and the cost is more than I can bear” – Benjamin Martin dari  filem The Patriot.

Sejak 1hb Jun 2011, terdapat berita-berita yang tidak tepat telah disiarkan oleh beberapa laman blog di internet serta mencabar saya untuk tampil dan memberi pengakuan. Saya cuba untuk bertahan dan tidak memberi sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu terbabit di dalam sebarang permainan politik terutama menjelang pemilihan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia, esok.

Semalam, sahabat saya saudara Kamarulzaman Bin Abdullah telah membuat penafian di The Malaysian Insider bagi pihak majikannya. Pagi ini YB Dato’ Haji Husam Bin Musa sendiri telah membuat penafian dari India.

Oleh yang demikian saya merasakan ini adalah isyarat bagi saya turut membersihkan nama baik keluarga dan saya yang sedikit sebanyak tercemar akibat tulisan-tulisan tersebut.

Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di Republik Rakyat China daripada YB Dato’ Haji Husam baru-baru ini adalah tidak tepat.

Semenjak 9 November 2009, Dato’ Husam dan saya tidak pernah bertemu, melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan ringkas. Pada 10hb Novermber 2009, kontrak saya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dan semenjak itu saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan Dato’ Husam.

Pada 18hb November 2009, saya telah bertemu dengan seorang individu yang mewakili pihak Dato’ Husam. Persoalan pampasan untuk saya telah dibincangkan. Saya memohon pihak Dato’ Husam menjelaskan berberapa kos tertunggak yang berjumlah RM50,000.

Tengahari tersebut, saya dimaklumkan oleh individu itu bahawa Dato’ Husam bersetuju untuk menyelesaikan kos tertunggak itu. Saya juga ditanya sekiranya saya bersetuju dengan pampasan berjumlah RM300,000. Dengan rasa bersyukur saya bersetuju.

Pada 15hb Disember 2009 saya berlepas ke Singapura dan terus ke Republik Rakyat China di atas urusan penggambaran. Saya pulang ke Singapura pada 22hb Disember 2009. Itu adalah kunjungan terakhir saya ke Republik Rakyat China hingga ke hari ini.

Saya yakin, maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat siber saya, kononnya saya bertemu Dato’ Husam di Republik Rakyat China dan traksaksi dibuat di sana; kononnya pada minggu lepas.

Mereka yang menyalurkan maklumat ini adalah amat tidak bertangunggjawab dan dari sumber yang saya terima, ianya datang dari seorang individu dari luar Kelantan yang berkait rapat dengan seorang calon yang bertanding bersama Dato’ Husam bagi merebut jawatan Naib Presiden PAS.

Saya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap sahabat-sahabat siber saya. Saya juga tidak akan memohon mereka meminta maaf kepada saya. Sebagai seorang blogger, saya sentiasa sedar cabaran yang kita hadapi.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Kickdefella

2hb Jun 2011