Skip to content

Archive for May, 2011

Kata Di Kota…

dan janji dilaksana.

Mengapa harus berjanji kalau sekadar menanam tebu dipinggir bibir. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang sudah membuat keputusan untuk tidak mengurangkan subsidi Petrol RON 95, Diesel dan LPG. Saya bersyukur mengenangkan nasib rakyat Malaysia yang bakal terjejas kualiti hidup mereka sekiranya harga bahan bakar itu naik akibat tindakan kerajaan mengurangkan subsidinya.

Walaupun ianya bersifat sementara dan ada pihak akan berkata, ianya membuktikan PRU13 sudah benar-benar hampir, tetapi ia sudah cukup untuk kita menarik nafas lega sambil memikirkan bagaimana untuk kita menyediakan diri dan isi rumah kita berdepan dengan kenaikan yang tidak dapat dielakkan sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat.

Di dalam tempoh ini juga, diharapkan Kerajaan Malaysia dapat bersikap telus dan mengumumkan keadaan sebenar rejim subsidi bahan bakar di Malaysia. Kerajaan yang mendahulukan rakyat harus sedar, rakyat bukan bodoh dan boleh disogok dengan apa sahaja maklumat yang dinginkan oleh pemerintah. Zaman tersebut sudah berubah.

Kerajaan yang mendahulukan rakyat juga harus sedar, sebuah kerajaan bukanlah sebuah syarikat korporat.

Keratan akhbar ini hanya hiasan

Apa guna berjanji kalau ia membuat rakyat sentiasa curiga bahawa janji itu akan dimungkiri.

Kenaikan RON95, Tidak Waras Sama Sekali

Tiada kewarasan bagi Kerajaan Malaysia menaikkan harga petrol RON95 dan lain-lain bahan api berteraskan petroleum sehingga Kerajaan mampu menjelaskan dengan benar dan jujur beberapa isu di bawah,

  1. Berapakah peningkatan pendapatan PETRONAS dan Kerajaan Malaysia sejak kenaikan harga petroleum dunia.
  2. Berapa tong minyak mentah TAPIS Blend 44° yang dikeluarkan oleh PETRONAS sehari.
  3. Berapa tong minyak mentah dan namakan jenis minyak mentah tersebut, yang diimport oleh PETRONAS untuk kegunaan tempatan.
  4. Dimanakah dalam dokumen-dokumen rasmi Kerajaan Malaysia yang tercatat dengan jelas jumlah ringgit yang dibayar bagi membiayai subsidi petroleum.

Menurut data rasmi harga pasaran minyak mentah dunia, minyak mentah Malaysia, dikenali sebagai Tapis Blend 44°, berikut adalah harga minyak mentah tersebut di pasaran global:

(i)             8 April 2011 – USD127.94

(ii)            15 April 2011 – USD131.20

(iii)           22 April 2011 – USD129.19

(iv)          29 April 2011 – USD132.26

(v)           6 Mei 2011 – USD130.74

(vi)          13 Mei 2011 – USD120.47

Sepanjang tempoh kenaikan harga minyak global ini, Malaysia, Tapis Blend 44° adalah minyak mentah tertinggi harganya di dunia.

Berikut adalah harga minyak mentah di pasaran dunia mengikut negara-negara pengeluar di Timur Tengah pada 13 Mei 2011.

(i)             Abu Dhabi, Murhan 39° – USD111.27

(ii)            Dubai, Fateh 32° – USD106.74

(iii)           Iran, Heavy 30° – USD105.87

(iv)          Iran, Light 34° – USD109.86

(v)           Iran, Kirkuk 36° – USD110.69

(vi)          Kuwait, Kuwait 31° – USD105.77

(vii)         Qatar, Dukhan 40° – USD109.92

(viii)        Saudi Arabia, Arabian Heavy 27° – USD103.59

(ix)          Saudi Arabia, Arabian Light 34° – USD108.84

(x)           Saudi Arabia, Arabian Arabian Medium 31° – USD108.84

(xi)          Oman, Oman Blend 34° – USD107.29

Pada pertengahan 2008, saya dan YB Dato’ Haji Husam bin Musa pernah menerbitkan sebuah buku bagi menjelaskan mengapa harga bahan bakar di Malaysia tidak perlu dinaikan. Saya juga ada menulis dan menyertakan data-data di blog ini bagi menyedarkan masyarakat mengapa Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak terjejas dari segi kewangan disebabkan peningkatan harga minyak global.

Secara umumnya, rejim petroleum Malaysia digerakkan dengan menjual minyak mentah berkualiti tinggi tempatan dan membeli minyak mentah berkualiti lebih rendah untuk kegunaan tempatan.

Saya bersetuju bahawa subsidi adalah tidak elok untuk ekonomi pada jangka panjang. Saya bersetuju bahawa tabiat memberi subsidi secara berpanjangan adalah tabiat yang tidak sihat. Tetapi adakah benar Kerajaan Malaysia menanggung subsidi bahan bakar? Jika benar, dimanakah dalam dokumen rasmi Kerajaan Malaysia menunjukkan jumlah tersebut. Atau ianya sebenarnya adalah kos lepas (opportunity lost).

Kerajaan Malaysia perlu dengan jelas, menerusi PETRONAS atau mana-mana agensinya mengeluarkan data jumlah tong minyak mentah yang diimport negara untuk kegunaan tempatan setiap hari dan jumlah tong minyak mentah tempatan yang dieksport keluar negara setiap hari. Mengapa harus rasa tergugat di dalam mengeluarkan data tersebut. Bagilah rakyat Malaysia lihat dengan mata mereka sendiri dan biarkan otak kami mencongak apakah kos mengimport minyak mentah untuk kegunaan tempatan dicampur dengan kos penapisannya tidak lagi tertanggung oleh wang yang diperolehi daripada menjual minyak mentah tempatan ke luar negara.

Kesan Kenaikan RON95

Sehingga maklumat dan data-data ini menjadi tatapan umum, wajib bagi kita mengandaikan bahawa tujuan Kerajaan mengkaji semula subsidi pada RON95 antara lain bertujuan untuk membuat Kerajaan memperolehi lebih faedah daripada keuntungan PETRONAS kesan daripada kenaikan harga minyak global.

Alasan kerajaan pula seandainya kerajaan dapat berjimat, maka wang hasil potongan subsidi RON95 itu akan dapat digunakan untuk faedah rakyat. Maaf, saya tidak dapat bersetuju sama sekali.

Sebab-sebabnya adalah seperti berikut,

  1. Andaikan RM30 billion adalah jumlah yang diperolehi kerajaan hasil ‘berjimat’ dengan mengurangkan subsidi, berapakah yang akan dinikmati semula oleh rakyat?
  2. RM30 billion yang digunakan untuk subsidi adalah lebih besar faedahnya daripada RM30 billion yang dilaburkan untuk projek-projek pembangunan untuk kebaikan rakyat. Ini kerana RM30 billion sudsidi RON95 akan dinikmati oleh semua rakyat samada mereka memiliki kenderaan atau tidak.
  3. Tetapi RM30 billion yang digunakan untuk menyiapkan projek untuk rakyat, mungkin menghasilkan projek yang bernilai RM10 billion sahaja, kerana RM20 billion lagi terpaksa dihabiskan untuk perkhidmatan perunding dan kajian serta hangus sebagai kos keuntungan satu dua syarikat.
  4. Kesan menjimatkan RM30 billion dari subsidi RON95 sudah pasti akan menyebabkan kenaikan harga semua jenis barangan keperluan. Kerajaan tidak perlu menipu dengan cuba menyakinkan rakyat bahawa mereka berupaya mengawal kenaikan harga barang. Itu alasan lapuk zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Shahrir Samad.
  5. Kesan paling menyedihkan ialah, akibat penjimatan subsidi RON95 akan menindas mereka yang sebenarnya tidak memiliki kenderaan sendiri dan orang-orang miskin akibat daripada kenaikan kos kehidupan kesan dari ‘penjimatan’ kerajaan.

Keputusan untuk berjimat tidak boleh dibuat di dalam makmal berhawa dingin dengan punggung berlapikan kerusi empuk. Tidakkah cukup kerajaan Barisan Nasional yang lampau sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi menyeksa golongan rakyat yang miskin dengan idea-idea yang bercambah dalam pejabat yang nyaman?

Kononya rakyat diberi pulangan daripada kenaikan harga bahan bakar menerusi pemberian rebat kepada pemilik kenderaan apabila memperbarui cukai jalan mereka. Siapa yang untung? Sudah tentu mereka yang memperolehi banyak kenderaan. Siapakah mereka yang memiliki banyak kenderaan? Apakah orang-orang miskin dikampung yang terpaksa terbeban akibat kenaikan kos barang keperluan itu memiliki banyak kenderaan?

Kesan beban kenaikan RON95 akan dirasai oleh semua rakyat Malaysia walaupun mereka yang tidak ke pam stesen untuk mengisi minyak. Ada yang mampu menanggungnya, ada yang terpaksa menanggungnya dan sudah pasti ramai juga yang tidak berupaya menanggungnya.

Apakah Barisan Nasional berupaya menanggungnya?

Kerajaan boleh berkempen supaya rakyat mengubah cara hidup mereka bagi berhadapan dengan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. Rakyat juga boleh berkempen untuk mengubah kerajaan bagi berhadapan dengan Pilihanraya Ke 13 kelak.

Maaf, saya merasakan pulangan yang diperolehi menerusi berjimat cara ini adalah sesuatu yang tidak waras buat masa ini.

Sila Baca :

Sheih on Sheih: Pariah Leadership and Death of an Economy

Data Bukti Kerajaan Selesa Dengan Kenaikan Harga Minyak Mentah

Kickdefella Bares All

Hassan, Husam and The Truth About Fuel Subsidy

Shahrir Confirmed Kickdefella’s Finding

Market Full Of Oil: The USD VS Crude Oil Experience

Shahrir to fire thousands of Petrol Kiosk Workers

Minyak oh Minyak


Roket Terakhir Ke Syurga

Pak Cu Keri berhadapan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sambil dikelilingi oleh beberapa orang ‘Malaikat’ yang telah berjaya membawa Pak Cu dari pintu neraka ke lobi syurga di Pejabat Menteri Besar Kelantan.

“Ambo dulu Pas, pastu ambo tubik masuk UMNO. Ambo ni Tok Guru, tak juruh. Ambo minum arak, ambo main tino, ambo buwi dadah ke budak-budak….” antara pengakuan yang terhambur dari mulut Pak Cu.

Tok Guru Nik Aziz memandang ke arah Pak Cu yang penuh gaya seorang samseng dan merupakan samseng peliharaan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini. Pak Cu adalah lagenda di Kok Lanas. Pengaruhnya di kalangan golongan belia dikatakan kuat sehingga berjaya membantu mencuri undi orang-orang muda dari PAS ke BN.

Perlahan-lahan Tok Guru menggerakkan tangannya ke kepala Pak Cu dan disentuhnya. Sambil tangannya masih di kepala Pak Cu, Tok Guru berkata,

“Tok soh runsing, selagi perjuangan Pak Cu dengan PAS lepas ni, selagi Pak Cu tolong PAS, syurgo doh untuk Pak Cu….” kata Nik Aziz menjaminkan syurga kepada Pak Cu.

Yang belum pasti ialah berapa hektar sisa-sisa balak di Kelantan yang akan tergadai untuk memberikan syurga tersebut. Sama-samalah kita nantikannya.

Pak Cu adalah diantara beberapa aktivis politik yang beruntung kerana sempat menempah tiket ke syurga menaiki roket. Ini kerana ramai aktivis-aktivis yang dari dahulu bersama PAS berbekalkan perjuangan Islam sejati masih lagi menanggung pelbagai hutang piutang dan ada yang sudah berdekad bangkrap tetapi tidak dapat ditebus-tebus lagi. Maklumlah, zaman mereka mula bersama PAS, belum ada roket untuk ke syurga.

Bagaimanapun, tahniahlah kepada mereka yang telah berjaya mencuri Pak Cu seminggu lepas dari Annuar Musa yang sudah tidak lagi dapat meluluskan projek-projek KADA kepada Pak Cu sejak ketiadaan kuasa eksekutif di KADA.

Suka saya menyingkap keluhan seorang ADUN BN Kelantan dua tiga hari lepas kepada saya.

Katanya, “Sheih, baru-baru ni, budak-budak ambo report ke ambo pasal kaji selidik hok demo tu buat, kata demo tu, mac cik pakcik kampung tu semua sayang ke ambo. Semua kata, Tok Wakil kita bagus, tak rajin kita boleh Tok wakil serupo ni…”

“kalau sakit, dia bawak ubat, kalu demam, dia hantar gi hospital, kalau tak dok pitih, dia kira bagi bantuan, kalau anak tak do kerja, dia tolong gi telefon sana sini cari kerja…” Sambung ADUN itu.

“Lepas tu budok ambo tanya, pastu mak cik ngundi sapa? Jawab mak cik pak cik tu semua, kito tetap undi PAS. Budok ambo tanya lagi, pastu ngundi akan datang, mak cik pak cik nak ngundi Tok Wakil hok baik ini la?”

“Tak leh awe wei… mak cik sayang ke Tok Wakil ni, tapi gak mak cik doh tua, pok cik mung tu pun dah tua doh… kita tak leh ngundi Tok Wakil ni, sebab dia dacing…. kalau dia masuk bulan, mak cik mesti doh ngundi dia.”

“Mak cik kata dia bagus, bakpo tok boleh ngundi dia? Budok ambo tanya lagi…” kata ADUN itu.

“Mak cik pok cik nok gi syurga awe….” ADUN itu meniru cara orang kampung itu memberi jawapan kepada pekerja partinya.

Saya hanya mampu tersenyum. Itulah kekuatan pengaruh janji syurga yang dijaja oleh PAS kepada orang-orang Melayu.

Untuk pilihanraya akan datang, sudah tentu, janji syurga PAS akan menjadi lebih kredibel dengan adanya roket DAP. Bagi mak cik dan pak cik di kampung-kampung yang tidak mendapat habuan syurga di dunia seperti yang akan diterima oleh Pak Cu dan beberapa orang-orang kuat UMNO Kelantan yang telah memasuki PAS terdahulu, sudah tentu tiada kereta Harrier atau Mercedes Benz untuk mereka nikmati sebelum hembusan nafas terakhir tetapi setidak-tidaknya, dapatlah mereka bermimpikan roket yang akan membawa mereka meneroka cakerawala sebelum mendarat di Putrajaya.

Satu undi untuk PAS ialah satu undi untuk DAP.

Majoriti masyarakat Cina menolak mengundi MCA, GERAKAN dan lain-lain parti Cina dalam BN kerana bagi mereka parti-parti Cina ini hanya berada di bawah telunjuk UMNO.

Hari ini mereka lebih suka mengundi DAP kerana bagi mereka DAP tidak berada dibawah telunjuk Parti PAS.

Mungkin masanya orang-orang Melayu pula belajar duduk di bawah telunjuk DAP sambil menanti syurga yang dijanjikan Nik Aziz.

Suka saya mengira berapa banyak rumah urut, pusat perjudian dan pusat penjualan arak serta kilang arak yang telah ditutup di Selangor dan Pulau Pinang sejak PAS bersama dengan DAP.

Setahu saya, usaha untuk menyekat arak dijual di kawasan majoriti Melayu dan usaha untuk menyekat orang-orang Melayu bekerja menghidang arak kepada pengunjung-pengunjung pusat hiburan juga telah gagal dilaksanakan di negeri-negeri tersebut. Tidak lain tidak bukan kerana DAP tidak duduk dibawah telunjuk PAS.

Apabila roket yang membawa cita-cita PAS itu mendarat di Putrajaya selepas PRU 13 kelak, saya tetap merasakan Genting Highlands akan terus menjadi pusat perjudian, begitu juga dengan kilang-kilang arak, loteri dan segala bentuk perjudian berlesen juga akan diteruskan.

Jika benar bahawa mengundi PAS akan membawa kita lebih dekat ke syurga, di dalam manifesto PRU akan datang hendaklah dimasukan pembubaran segala bentuk operasi maksiat di Malaysia terutama di negeri-negeri yang majoriti penduduknya adalah orang-orang beragama Islam.

Saya berharap tiada yang akan menjawab, “dekat Mekah pun ada maksiat” sebagai alasan. Saya juga berharap tiada yang menjawab, “maksiat ini semua diwarisi dari zaman UMNO”.

Kalau itulah alasannya, tidak perlulah Pak Cu berjumpa Nik Aziz untuk ke syurga kerana sewaktu bersama Annuar Musa pun beliau boleh mengambil inisiatif sendiri untuk ke syurga. Melainkanlah Pak Cu Keri melihat roket DAP itu umpama buraq yang membawa Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Al Aqsa dan ke Hadrathul Qudus.

Tetapi harus kita ingat, sudikah DAP membenarkan kita menggunakan roket itu sebagai Buraq?

Nyawa Azizah Terancam, Polis Harus Bertindak Segera

Petikan berita portal Malaysiakini bertarikh 10 Mei 2011 melaporkan bahawa pemandu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat membuat laporan polis berhubung kait dengan kemalangan jalanraya pada 19 April 2011 yang lalu.

Di dalam laporan itu, Abdullah Sani Said tidak menyebut sama ada beliau diliwat oleh suami Wan Azizah atau tidak tetapi mendakwa terdapat unsur sabotaj pada kereta Mercedes Benz S350 yang dipandunya dengan Wan Azizah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor sebagai penumpangnya.

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berharap pihak Polis segera menyita kereta Mercedes tersebut dan dibuat siasatan rapi ke atas kereta itu dan jika perlu, pakar-pakar dari Jerman dan Amerika Syarikat hendaklah dipanggil bagi memastikan siasatan dibuat secara profesional dan semua aspek disiasat dengan rapi. Pakar dari PROTON juga bolehlah diajak turut serta supaya mereka dapat melihat dengan lebih dekat teknologi cermin pintu otomatik Mercedes yang tidak bermasalah seperti PROTON.

Sekiranya siasatan itu mendapati ada unsur-unsur sabotaj, maka satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja hendaklah ditubuhkan. Sementara itu demi keselamatan Wan Azizah dan keluarganya, saya gesa Menteri Luar Malaysia segera menghubungi Duta Turki Ke Malaysia memohon disiapkan tempat penginapan sementara kepada keluarga berkenaan kerana rakyat Malaysia amat prihatinkan keselamatan mereka.

NGO Hak Asasi Wanita terkemuka di seluruh dunia juga hendaklah menghantar penyiasat mereka untuk menyiasat sekiranya terdapat masalah domestik dalam rumahtangga Wan Azizah yang memungkinkan ancaman ke atas nyawa Wan Azizah berpunca daripadanya.

Memandangkan Parti Keadilan Rakyat terkenal dengan taktik kotor dan suka mengamalkan taktik melukai diri sendiri demi menagih simpati, World Health Organisation (WHO) digesa segera menghantar sekumpulan pakar psikiatri bagi membuat diagnosis terhadap mereka yang terdekat dengan Wan Azizah.

Sementara menantikan kemungkinan ini semua berlaku, kita sebagai rakyat Malaysia hanya mampu menyaksikan video dibawah sambil  bersama-sama melihat elemen-elemen penting yang tersembunyi disebalik bait-bait yang dilagukan. Selain itu berdoalah kita agar keselamatan Wan Azizah terjamin. Hanya Wan Azizah sahaja saksi penting yang dapat menyelesaikan pelbagai kemelut termasuk isu jam OMEGA yang belum muncul-muncul dan isu siapakah pelakon dalam rakaman video sensasi masakini.

Selamatkan Wan Azizah!

Lubang Kubur Tok Guru Di Besarkan Untuk Kroni…

… dan peniaga Melayu terus rasa diri mereka di tipu.

Peniaga kemboja dikelek dan disusukan, diberi pelbagai keutamaan, bagaimanapun peniaga Melayu Kelantan, yang dijanjikan ruang niaga hebat dua hari sebelum Pilihanraya Umum 2008 terus dipinggirkan.

Begitulah rintihan ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB yang sudah tiada pilihan lain melainkan terpaksa berpindah juga ke Bazar Tok Guru dikini lebih terkenal dengan jolokan Lubang Kubur Tok Guru.

Pada 27hb April 2011, satu mesyuarat telah di adakan diantara Kerajaan PAS Kelantan dengan Wakil Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB bagi menyelesaikan kemelut perpindahan mereka ke Lubang Kubur Tok Guru. Kerajaan PAS Kelantan di wakili oleh YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Ahmad Yacob, YB Dato’ Anuar Tan dan YB Dato’ Takiyuddin Hassan. Bagaimanapun, wakil persatuan peniaga yang hadir sudah mula merasakan sesuatu yang tidak kena apabila majlis itu bermula dan berkesudahan bukan sebagai sebuah mesyuarat sebaliknya lebih kepada penjelasan segala yang telah diputuskan oleh Kerajaan PAS Kelantan.

Di dalam majlis tersebut Kerajaan PAS Kelantan memaklumkan bahawa pada 2hb Mei 2011, 300 ahli persatuan Pasar Lama MPKB akan dibenarkan memilih ruang tapak niaga pilihan mereka di Bazar Tok Guru.

Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang memiliki Bazar Tok Guru itu juga dilaporkan akan memecahkan lebih 30 buah tapak gerai bagi memastikan Lubang Kubur Tok Guru yang mempunyai karektoristik ruang laluan ‘berlaga punggung’ akibat sempit menjadi lebih luas untuk keselesaan para peniaga dan pengunjung.

Akibat tiada pilihan lain dan setelah tawaran seorang ahli perniagaan untuk membeli balik Pasar Lama MPKB tempat ahli persatuan berniaga sekarang tidak dilayan, maka mereka merasakan terpaksa bersetuju untuk masa depan periuk nasi mereka.

Apa yang mengejutkan ialah bila pada 30hb April 2011, dua hari sebelum tarikh pembahagian tapak dijadualkan, telah ada pihak-pihak tertentu membahagi-bahagikan lebih 100 buah tapak gerai kepada orang-orang lain tanpa pengetahuan persatuan peniaga.

Lebih menyedihkan bila persatuan peniaga mendapati, diantara yang diberi keistimewaan menempah tapak niaga lebih awal dari jadual itu ialah peniaga-peniaga kemboja yang didalangi oleh beberapa individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan.

Tapak-tapak gerai yang strategik telah habis diberikan kepada ‘golongan istimewa’ ini. Apa yang tinggal untuk pilihan peniaga ialah 250 tapak saki-baki yang tidak dianggap tapak niaga ‘strategik’ oleh ‘golongan istimewa’.

Individu-individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan ini juga didakwa menggunakan khidmat samseng bagi memastikan peniaga Melayu ini tidak membuat sebarang kekecohan kerana tidak berpuas hati.

Nampaknya budaya berjanji semata-mata untuk dimungkiri sudah menjadi resam dan identiti Kerajaan PAS Kelantan.

Pada 6hb Mac 2008, Tuan Guru Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berjanji kepada ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB ruang niaga yang selesa di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina jika PAS kembali dipilih memerintah Kelantan. Bagaimanapun, setelah  menang dan kekal menjadi MB, janji itu mula dimungkiri. Dari janji tingkat bawah, mereka diberikan tingkat satu dan dua oleh menantu Nik Aziz dan tingkat bawah diberi kepada pemaju projek itu.

Peniaga yang cuba berunding telah dihina dan ditekan oleh menantu Nik Aziz sehingga pendedahan dibuat di dalam blog ini. Kerajaan PAS Kelantan kemudian membuat keputusan membeli balik ruang niaga tingkat bawah dari pemaju dengan kos yang dianggarkan melebihi RM23 juta. Apabila Blog ini mendedahkan bagaimana angkara menantu Nik Aziz mengakibatkan kerugian melebihi RM50 juta, Nik Aziz mendakwa ianya disebabkan ‘kesilapan teknikal’ dan menantunya terpaksa mengundurkan diri.

Bagaimanapun kemelut yang dihadapi oleh peniaga terus menimpa-nimpa bila ruang niaga asal yang dijanjikan berukuran lebih 12 x 15 kaki bertukar ke saiz lubang kubur seluar 6 x 8 kaki sahaja. Kerajaan PAS Kelantan kemudian mengambil beberapa langkah yang tidak bertamadun termasuklah menggelarkan peniaga Melayu ini sebagai biawak pasir di dalam usaha memaksa mereka berpindah.

Hari ini, setelah ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar MPKB bersetuju mengalah dan berpindah, mereka seolah-olah ditipu pula.

Kerajaan PAS Kelantan harus telus dan menjelaskan sepenuhnya siapakah ‘golongan istimewa’ ini. Siapakah individu-individu disebalik ‘golongan istimewa’ ini dan mengapakah Bazar yang dijanjikan sebagai hadiah Nik Aziz kepada peniaga Melayu dua hari sebelum PRU 12 bertukar menjadi bahan sendaan kepada peniaga Melayu?

Saya cadangkan setiap exco yang terlibat dalam skandal Lubang Kubur Tok Guru ini, termasuklah Menteri Besarnya dan menantunya sekali mengambil ujian poligraf. Orang yang pertama perlu mengambil ujian yang boleh menentukan seseorang itu menipu ialah YB Dato’ Haji Husam Bin Musa.

Saya dan wakil-wakil persatuan peniaga yang terbabit bersedia untuk turut sama mengambil ujian ini.

PAS Akan Tercicir Kelantan Dalam PRU 13

Muktamar PAS pertengahan tahun ini akan menyaksikan ke arah manakah para perwakilan PAS ingin membawa komitmen Parti Islam Se Malaysia bagi berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke 13 akan datang.

Tiga keputusan yang bakal menyusur. Pertama, mengekalkan tekad PAS memperjuangkan Islam sepenuhnya dan mempertahankan kedudukannya di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu. Kedua, melebarkan arus tsunami 2008 dengan meneruskan usaha meraih sokongan pemilih-pemilih bukan Melayu dan bertapak di kerusi-kerusi campuran di bandar. Atau ketiga, mengekalkan momentum 2008 disamping mempertahankan kedudukannya di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu.

Pilihan yang pertama dan ke tiga boleh mencalari komitmennya terhadap Pakatan Rakyat. Pilihan yang kedua pula boleh mengakibatkan keciciran sokongan terhadap PAS di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu.

Perwakilan PAS harus sedar, walaupun hari ini mereka menikmati jentera Pakatan Rakyat tetapi di dalam berhadapan dengan PRU13 kelak, mereka tidak lagi menikmati kekuatan maya seperti PRU12.

Hari ini kekuatan media dan media maya PAS kembali kendur seperti asalnya sewaktu PRU1999 dan PRU2004. Kekuatan media dan media maya PAS hanya tertumpu kepada pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis parti yang dalam kata ringkas hanya mampu berhujah dengan cara totok, penuh kekerasan dan caci-maki menjurus kepada meraih sokongan dari pembaca yang sudah menyokong mereka.

Di Kelantan arus perubahan sudah mula menjadi gelombang. Penduduk di kawasan bandar dan pesisir bandar sudah mula jemu dengan kemelut yang mereka hadapi akibat kegagalan Kerajaan Negeri Pimpinan PAS menyelesaikan isu-isu asas seperti kemudahan air bersih dan sistem saliran yang baik dan kebersihan persekitaran. UMNO pula kembali menikmati sokongan yang meningkat di kerusi-kerusi tradisi mereka termasuk di kawasan-kawasan tanah rancangan yang terlepas dalam 2008.

Keputusan kajian peti-peti undi oleh PAS Kelantan sendiri menyaksikan satu pattern yang membimbangkan. PAS Kelantan sedar mereka berhadapan dengan kekalahan di Kelantan.

Nik Aziz yang putih bersih sudah tercemar dan menjadi orang biasa. Pengganti pilihan Nik Aziz, YB. Dato’ Husam Musa pula tidak mungkin dapat diletakkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri kerana tidak digemari oleh pihak Istana Kelantan yang baru. Calon popular untuk mengganti MB Kelantan itu pula, seperti YB. Dato’ Ahmad Yacob dan YB. Dato’ Mohammad Amar dirasai oleh Nik Aziz sebagai tidak memiliki kemampuan yang sewajarnya. Maka, di dalam keadaan begini, Nik Aziz tiada pilihan tetapi memilih untuk terus kekal sebagai tunggak PAS di Kelantan.

UMNO Kelantan mahu dua dari tiga pilihan yang ada pada PAS iaitu, sama ada Nik Aziz kekal sebagai tunggak PAS di Kelantan atau, sama ada Ahmad Yakob atau Nik Amar dipilih sebagai penyambung tradisi kepimpinan ulama’ di Kelantan. Salah satu daripada 2 pilihan ini, UMNO akan senyum lega.

Tetapi, jika Husam Musa yang dipilih sebagai pengganti Nik Aziz, UMNO akan merasa kelatnya. Apa tidaknya, kebanyakan pimpinan UMNO Kelantan sendiri mengakui kelebihan Husam. Penyokong-penyokong UMNO sendiri akan menyokong Husam.

Husam sendiri berusaha keras untuk memperbaiki hubungannya dengan Istana Kelantan bagaimanapun, pihaknya mendakwa penasihat kepada Al-Sultan Kelantan sebagai penghalangnya.

Kedudukan semasa di Kelantan menyaksikan UMNO berada di dalam kedudukan selesa untuk memenangi 16 buah kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ia di tambah dengan 5 kerusi yang dimenanginya pada 2004 tetapi tewas pada 2008 serta 3 kerusi yang mereka tewas kurang daripada 5% undi dalam tsunami 2008. Keseluruhannya, UMNO dilihat berpotensi memenangi minimum 24 daripada 45 kerusi DUN Kelantan. Kerusi-kerusi tersebut adalah seperti berikut,

A) Kumpulan pertama

  1. N01 Pengkalan Kubor
  2. N04 Wakaf Bharu
  3. N15 Gual Periok
  4. N16 Bukit Tuku
  5. N22 Jelawat
  6. N25 Kok Lanas
  7. N29 Selising
  8. N31 Semerak
  9. N36 Bukit Bunga

10. N37 Air Lanas

11. N38 Kuala Balah

12. N40 Guchil

13. N42 Dabong

14. N43 Nenggiri

15. N44 Paloh

16. N 45 Galas

B) Kumpunan kedua

  1. N11 Tendong
  2. N23 Melor
  3. N27 Gual Ipoh
  4. N39 Mengkebang
  5. N41 Manek Urai

C) Kumpulan ketiga

  1. N21 Perupok
  2. N34 Temangan
  3. N35 Kemuning

Sementara itu, jika arus pemilih Melayu yang dilihat mula kembali kepada UMNO di dalam beberapa siri pilihanraya kecil semenjak YAB Dato’ Seri Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia, PAS turut berkemungkinan besar akan tercicir kerusi-kerusi berikut.

D) Kumpulan keempat

  1. N11 Chetok
  2. N12 Pengkalan Pasir
  3. N20 Tawang
  4. N24 Kadok
  5. N30 Limbongan
  6. N32 Gaal
  7. N33 Pulai Chondong

Kewibaan UMNO Kelantan di bawah pimpinan Dato’ Sri Mustapa Mohamed juga dapat diukur dengan kemampuan ia mengembeling jenteranya menyakinkan pemilih bahawa Kelantan dibawahnya akan mampu memperbaiki kualiti hidup masyarakat. Jika pemilih yakin dengannya, kerusi-kerusi berikut juga boleh terus tercicir dari genggaman rapi PAS di Kelantan.

E) Kumpulan kelima

  1. N02 Kelaboran
  2. N05 Kijang
  3. N08 Tanjong Mas
  4. N09 Kota Lama
  5. N10 Bunut Payong
  6. N17 Salor
  7. N19 Demit

Ada eloknya, perwakilan ke Muktamar PAS sempat bertenang seketika dan menghayati kedudukan semasa dari perspektif yang lebih terbuka sebelum mereka membuang undi untuk menentukan arah tuju parti. Namun begitu, saya suka memetik kata-kata seorang sahabat baik dan bekas ADUN PAS Kelantan, kepada saya di dalam pertemuan baru-baru ini.

“Alo Pok Sheih, tak dok nak rusingnya kalau PAS kalah di Kelantan. Bukan kita tak biasa kalah. Bahkan ana masih yakin, PAS dan pimpinan kita lebih kuat dan lebih banyak benda yang kita buat semasa zaman kita kalah banding dengan zaman kita ada kuasa. PAS ni parti Islam, matlamat kita untuk perjuangkan Islam. Biar kalah asal kita jangan ubah matlamat kita….”

Saya hanya mampu tersenyum kagum dengan semangat tersebut.