Skip to content

Archive for October, 2010

My Galas Journal : Dinner in Pos Brooke

Last night we dined with the Orang Asli in Pos Brook, few minutes from Lojing and about one hour from Gua Musang town. The voting locality has 405 eligible voters.

Satu lawan satu di Galas

Pilihanraya Kecil kerusi Kelantan DUN N45 Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional dan calon PAS. Pengumuman dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang secara rasminya juga menandakan tempoh berkempen telah bermula.

Calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff akan ditentang oleh calon PAS Dr. Zulkefli Mohamad setelah bantahan yang dibuat oleh pihak PAS terhadap calon BN ditolak.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi ketidakpastian tentang kesahihan Dr. Zulkefli kekal sebagai calon PAS wujud akibat penentangan oleh segelintir pihak dalam PAS. Penentangan itu dikatakan berpunca daripada Dewan Pemuda PAS Gua Musang yang mahukan Ketua Dewan Pemuda mereka, Abdullah Hussain dipilih sebagai calon.

Ketidakpastian itu berterusan walaupun Abdullah dikatakan telah memberitahu penyokong-penyokongnya supaya menerima keputusan pucuk pimpinan parti. Abdullah juga telah bersetuju menjadi pencadang kepada pencalonan Dr. Zulkefli.

Bagaimanapun, beberapa pihak dimaklumkan oleh pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia lewat malam tadi bahawa mereka masih mengharapkan perubahan dibuat dan Abdullah dinamakan sebagai calon.

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar penolakan Dr. Zulkefli tetapi pihak luar dari PAS Kelantan membuat spekulasi berkisar kepada sentimen bahawa Dr. Zulkefli adalah calon yang sentiasa kalah di Gua Musang dan bukan anak tempatan Galas. Dr. Zulkefli selepas diumumkan sebagai calon PAS telah menolak dakwaan sebuah blog UMNO bahawa beliau pernah ditangkap basah.

Pihak media juga kebingungan dengan status perkahwinan Dr. Zulkefli kerana menurut mereka yang hadir sewaktu pengumuman nama calon PAS minggu lepas, Dr. Zulkefli dikatakan sebagai seorang bujang. Tetapi di dalam sidang media menafikan beliau pernah ditangkap basah, Dr. Zulkefli dikatakan menyebut nama seorang perempuan sebagai isterinya.

Sementara itu, sehingga pengumuman yang dibuat oleh SPR tadi masih terdapat ketidakpastian berhubung kesahihan PAS akan meletakan calon kerana terdapat desas-desus bahawa satu perjanjian yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan dan bersaksikan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan dengan pihak BN yang antara lain menyatakan persetujuan PAS untuk tidak meletakkan calon sekiranya BN menerima beberapa syarat yang ditetapkan. (Sini)

Bagaimanapun, dengan pengumuman SPR tadi, kedua-dua pihak yang bertanding sudah boleh menggerakkan sepenuhnya jentera kempen mereka dan pemilih berdaftar di DUN Galas akan membuang undi pada 4 November 2010.

 

S/U UMNO Galas Transformasi

Calon BN, tengah di apit oleh Ku Li dan Chor Chee Heung, Naib Presiden MCA

Saudara Abdul Aziz Bin Yusoff, 47 tahun dipilih bagi membawa panji harapan Barisan Nasional bagi Pilihanraya Kecil DUN N45 Galas. Beliau juga yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang menjadi pilihan BN setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Pengumuman dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN di Bukit Cekati Gua Musang lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Saudara Abdul Aziz Bin Yusoff dikatakan sebagai orang kepercayaan Tengku Razaleigh Hamzah, Pengarah Jentera Pilihanraya BN dan juga Ketua Bahagian UMNO Gua Musang.

Sebelum itu Tengku Razaleigh di dalam ucapannya berharap, pemilih di Galas akan memberi kejayaan besar kepada BN. Perubahan di Galas menurut Ku Li, akan membawa kepada perubahan di Kelantan dan perubahan di Kelantan dapat membantu perubahan di Malaysia.

Sementara itu di dalam sidang media sejurus selepas majlis pengumuman calon selesai, Tan Sri Muhyiddin di tanya berhubung dengan latar belakang pendidikan calon BN tersebut yang merupakan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun cuba untuk tidak menjadikan latar belakang Aziz sebagai isu walaupun diingatkan oleh pihak media bahawa semasa pilihanraya di Manek Urai, ketika PAS meletakkan seorang peraih ikan sebagai calonnya, beberapa pihak di dalam BN telah menjadikan ia isu besar. Kali ini PAS bagaimanapun mengumumkan seorang pakar perubatan lulusan Universiti Malaya sebagai calonnya.

Isu taraf pendidikan Aziz sudah pasti akan dieksploitasi oleh PAS yang pada saat-saat akhir menjangkakan BN akan meletakan calon anak tempatan yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Gua Musang.

Penamaan Calon akan berlangsung pada 26 Oktober 2010 dan sekiranya terdapat pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 4 November 2010.

Kedua-dua calon, dari BN dan PAS merupakan orang luar dari DUN Galas.

Pimpinan UMNO mendoakan keberkatan

Pelajar-Pelajar Sekolah yang dikerah pihak tidak bertanggungjawab ke kancah politik

Sementara itu adalah diharapkan Barisan Nasional lebih berhati-hati di dalam menggunakan pelajar-pelajar sekolah untuk aktivitinya. Sewaktu di dalam perjalanan ke Bukit Cekati tengahari tadi, saya telah terlihat sekumpulan pelajar-pelajar sekolah bermotosikal menukar pakaian sekolah di tepi jalan. Mereka kemudiannya memakai pakaian bertulis “Ambo Nok Parti Ku Li” dan menunggang motorsikal beramai-ramai ke Bilik Gerakan Barisan Nasional.

Tindakan menggunakan pelajar-pelajar sekolah yang dicurigai kesemuanya memiliki lesen memandu motorsikal yang sah mungkin di dalangi oleh Pemuda UMNO. Ini merupakan sesuatu yang tidak cermat untuk melibatkan pelajar sekolah dengan parti politik apatah lagi ketika Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan merupakan tetamu terhormat di majlis tersebut.

Ia juga sudah pasti bukan transformasi yang ingin dibawa Ku Li di dalam PRK ini selaku Pegarah Jentera Pilihanraya dan sudah tentu sekali tidak juga dikongsi oleh Presiden UMNO.

Jelas, masih terdapat pihak-pihak di dalam barisan muda UMNO yang tidak mendapat manfaat dan keinsafan daripada ucapan penggulungan Presiden UMNO semalam.

Adalah diharapkan perkara ini tidak akan berulang lagi pada hari penamaan calon nanti.

 

Transformasi, Reformasi dan Penetrasi.

“Tiada pula sesiapa mahu mengingatkan orang-orang Melayu bahawa hak keistimewaan yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjamin tanpa kuasa. Memang benar orang-orang Melayu masih ada barisan pertahanan terakhir mereka iaitu Raja-Raja Melayu, tetapi bukankah hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu yang terdapat dalam Perlembagaan juga pernah dipinda. Lantas terpaksa juga diterima oleh Raja-Raja Melayu.”

Ucapan dasar Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu di Perhimpunan Agung UMNO semalam disambut baik oleh majoriti senyap Melayu dan Bukan Melayu. Ia dianggap sebagai satu penegasan yang seharusnya membuang segala keraguan dan segala kerisauan mereka terhadap kedudukan dan hak-hak keistimewaan Melayu dan jaminan hak-hak keturunan Bukan Melayu akan terus terpelihara dengan adilnya, walaupun negara di dalam suasana Darurat.

Utusan Malaysia memetik Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia sebagai berkata,

“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang raja Melayu.

“Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit-pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,”

Apa yang menariknya ialah amanat Perdana Menteri semalam adalah satu pengesahan daripada UMNO bahawa apa yang diselama ini dinyanyikan oleh Anwar Ibrahim adalah benar sama sekali.

Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bayangan Pakatan Rakyat berkali-kali mengingatkan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak perlu risau tentang kedudukan mereka jika mereka memilih Pakatan Rakyat yang parti tunjangnya ialah DAP, kerana hak dan segala keistimewaan mereka terus terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam Presiden UMNO menepis segala kritikan dan tekanan daripada cendikiawan dan usahawan bumiputera, mungkinkah beliau telah memerangkap dirinya dan partinya? Pemikiran politik Presiden UMNO semakin seirama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu undi Melayu bukan lagi cukup untuk dibawa ke syurga kuasa. Sebaliknya, yang perlu dikejar ialah undi Bukan Melayu terutama sekali undi pemilih Cina.

Di dalam usaha mengejar undi pemilih Cina, jerit-pekik Melayu perlu berhenti. Melayu jangan jadi kacau daun. Melayu jangan jadi bara dalam sekam.

Maka jika itu benar, apakah Melayu perlu lagi menggaru kepala untuk memilih antara yang bernama Najib Razak, Anwar Ibrahim atau Nik Aziz? Mereka seolah senada dan seirama cuma berbeza sebutan dengu dan sabdu lenggok nyanyian mereka sahaja.

Tiada pula sesiapa mahu mengingatkan orang-orang Melayu bahawa hak keistimewaan yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjamin tanpa kuasa. Memang benar orang-orang Melayu masih ada barisan pertahanan terakhir mereka iaitu Raja-Raja Melayu, tetapi bukankah hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu yang terdapat dalam Perlembagaan juga pernah dipinda. Lantas terpaksa juga diterima oleh Raja-Raja Melayu.

Apakah Raja-Raja di Negeri Melayu sendiri terjamin kedudukannya untuk menjamin kedudukan Melayu? Negeri Kelantan lewat kini menyaksikan bagaimana Raja Melayu juga mampu diturunkan dari tahta secara perlembagaan.

Apa yang kita perlu hanyalah barisan peguam-peguam yang hebat. Parti manakah yang bersepah dengan peguam-peguam hebat? UMNO, PKR, PAS atau DAP?

Saya melihat apa yang terkandung di dalam ucapan dasar Presiden UMNO semalam adalah lafaz kejujurannya. Walaupun mesejnya berjaya melegakan orang-orang Melayu dan meredakan mana-mana ketegangan antara kaum yang terdapat lewat kini di Malaysia tetapi orang-orang Melayu tidak seharusnya merasa benar-benar lega.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Najib Razak mahu membawa Malaysia dan khasnya orang-orang Melayu kehadapan di dalam menuju wawasan. Ia tidak akan berlaku sekiranya orang-orang Melayu sendiri tidak berganjak dari berbahas persoalan akademik semata-mata. Saya boleh lihat sayangnya Najib Razak pada Melayu sehingga beliau tidak tergamak mengambil pilihan untuk mengkritik bangsanya sendiri. Sebaliknya mengambil pilihan diplomasi.

Bagaimanapun malang bagi orang Melayu hari ini, bila parti-parti politik orang Melayu sendiri sudah menerima perpecahan Melayu sebagai satu hakikat. Oleh yang demikian, nasib dan masa depan parti-parti Melayu kini terpaksa ditentukan oleh pemilih Bukan Melayu.

Walaupun bersandarkan amanat Presiden UMNO semalam, orang-orang Melayu usahlah kembali tidur lena. Ini sebenarnya masa untuk kita bangkit, berdiri dan berlari mengejar kejayaan. Jika kita ketinggalan, kesannya bukan sahaja pada anak keturunan kita, tetapi Malaysia seluruhnya.

Dan janganlah kita tersenyum kerana hak dan keistimewaan kita telah terjamin. Ingatlah, selagi ada bulan, bintang dan matahari, selagi dunia ini berputar di paksinya, apa sahaja boleh terjadi.

Bukankah apa yang akan kita hadapi, akan mampu kita hadapi dengan lebih baik bila kita bersatu. Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh.

Itukah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Najib Razak?

Bukan Agenda Melayu, Tetapi Khairy Jamaluddin Yang Perlu Dilupakan

Khairy Jamaluddin telah memain peranan besar di dalam mengakibatkan kebencian melampau para pengundi Melayu terhadap UMNO dan sebelum Presiden UMNO Najib Razak meneliti apa yang disarankan oleh KJ dalam ucapannya semalam, beliau perlu ingat apa yang terjadi kepada Presiden UMNO sebelumnya.

Khairy Jamaluddin juga telah memainkan peranan di dalam mengakibatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati dan kecewa dengan Barisan Nasional dan sebelum Perdana Menteri Najib Razak cuba memahami apa yang disampaikan oleh KJ di dalam ucapannya semalam, ada baiknya Perdana Menteri kita ambil iktibar dari apa yang telah terjadi kepada Perdana Menteri Malaysia sebelumnya.

Khairy Jamaluddin dipetik media sebagai menyarankan supaya UMNO melupakan sahaja agenda perpaduan Melayu sebaliknya menumpukan kepada memenangi undi bukan Melayu.

Sebenarnya, apa yang perlu dilupakan ialah Khairy Jamaluddin, bukannya Agenda Perpaduan Melayu.

 

BOMBA Perlu Bersedia Memadamkan Kebakaran Di Jambatan

foto diambil dari sini

Perdana Menteri Najib Razak dilaporkan oleh beberapa blogger sebagai ‘terkilan’ dengan kemelut yang melanda akibat tindakan Menteri Kabinetnya membuat laporan polis terhadap tiga orang blogger.

Menteri tersebut  pada tahun 1990 ketika blog belum wujud pernah menulis di sebuah akhbar mendakwa ‘jambatan telah dibakar’ setelah beliau tewas di dalam PRU 1990. Menteri tersebut ialah Rais Yatim dan ketika itu adalah Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46.

Bagaimanapun nampaknya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak berkongsi rasa ‘terkilan’ Perdana Menteri apabila pada hari ini meneruskan siasatan ke atas Datuk Ahirudin Attan a.k.a Rocky Bru. Rocky dipanggil untuk memberi keterangan buat kali ke dua hari ini dan diarahkan menyerahkan password kepada blognya kepada pihak Suruhanjaya.

Kickdefella dimaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya sedia maklum dengan kenyataan PM semalam tetapi wakil Suruhanjaya menerima arahan dari pihak ‘atasan’ untuk meneruskan siasatan.

Siapakah pihak ‘atasan’ tersebut? Mungkin Rais Yatim lebih maklum. Pada tahun 2008 Rais Yatim memanggil blogger Kickdefella sebagai ‘BIADAP’ tetapi kali ini saya rasa tindakan pihak ‘atasan’ ini lebih biadap kerana tidak mengambil kira rasa ‘terkilan’ Perdana Menteri.

Sehubungan itu adalah diharapkan pihak BOMBA dapat bersiap sedia kerana kemungkinan kepanasan yang sedang menyelubungi Rais Yatim boleh mengakibatkan mana-mana jambatan yang dilaluinya akan terbakar. Oleh yang demikian, demi keselamatan pengguna adalah elok sekiranya buat sementara waktu, Rais Yatim tidak dibenarkan menggunakan mana-mana jambatan.

Manakala sekiranya berlaku rombakan kabinet dan Rais Yatim digugurkan, beliau boleh menjadi blogger sepenuh masa. Nama yang paling sesuai untuk blognya ialah ‘Jambatan Yang Terbakar’.

Rais, Adios You: Lap Top Untuk RockyBru

Kempen untuk membeli lap top baru bagi Dato’ Ahirudin Attan atau lebih terkenal sebagai blogger tersohor Rocky Bru sedang berjalan di ruang siber.

Kempen ini bukan bertujuan mengutip derma bagi Dato’ Ahirudin membeli lap top baru. Dato’ Ahirudin mampu membeli lap top baru tanpa derma kita. Tetapi kempen ini bertujuan membuktikan kepada Rais Yatim dan bapak-bapak Menteri, korporat dan keparat bahawa satu lap top blogger yang dirampasnya, lebih dari itu akan kita beli supaya blogger dapat terus menjalankan tanggungjawabnya.

Bagi pembaca dan pelayar blog yang sudi untuk turut serta, boleh menghantar email kepada bigdogdotcom@gmail.com atau terus ke blognya di sini.

Dato’ Ahirudin sentiasa berdiri memberi sokongan moral kepada mana-mana blogger bertangungjawab yang berhadapan dengan masalah dan sebagaimana beliau pernah berdiri untuk Nathaniel Tan, Bakaq Haq Penarik Beca, Bernard Zorro dan lain-lain blogger termasuk saya sendiri, kita akan berdiri bersamanya.

Lap Top Untuk Rocky, Adios Untuk Rais!

Rais Yatim, Adios You!

Perdana Menteri Najib Razak wajib meminta Rais Yatim meletakkan jawatan sebagai Menteri Penerangan serta merta bagi membersihkan kabinetnya daripada anasir-anasir subversif yang boleh merosakan perancangan mulia Perdana Menteri untuk membawa transformasi di peringkat nasional. Rais Yatim adalah batu penghalang utama. Beliau adalah ubat luput tarikh yang kini sudah menjadi racun.

Rais Yatim berisiko tinggi terhadap komitmen transformasi Kerajaan Persekutuan yang boleh menyebabkan pemilih-pemilih muda yakin bahawa UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional tidak mungkin mampu hidup berdua mati bersama dengan rakyat yang cintakan perubahan positif di Malaysia.

Hari ini sudah ada barisan blogger-blogger memanggil supaya semua blogger memboikot Pilihanraya Kecil Galas dan Batu Sapi sebagai protes kepada tindakan tidak bermaruah Rais Yatim membuat laporan polis terhadap penulis blog Ahirudin Attan atau lebih terkenal dengan panggilan Rocky Bru.

Saya menggesa Kabinet mengeluarkan arahan serta-merta kepada Kementerian Penerangan supaya menyiarkan semua senarai syarikat-syarikat swasta yang menerima habuan sama ada didalam bentuk geran, projek atau kontrak daripada Kementerian Penerangan di bawah Rais Yatim.

Saya juga menggesa supaya satu siasatan menyeluruh dibuat terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau FINAS di bawah pentadbiran Rais Yatim terutama di dalam hal perlantikan Ketua Pengarah baru.

Rais Yatim telah berkali-kali gagal membuktikan beliau tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan negara apabila berdepan dengan kemelut komposer Namewee yang berketurunan Cina. Bahkan Rais Yatim pernah bukan sekali tetapi berkali-kali meminta supaya Namewee dimaafkan. Tetapi beliau segera membuat laporan polis berhubung isu yang mempertikaikan integritinya. Jelas di sini Rais Yatim lebih mengutamakan dirinya sendiri daripada Negara Malaysia.

Pada tahun 1990, selepas tewas di dalam pilihanraya umum, Rais pernah mengutus sepucuk surat kepada akhbar dan antara lain menuduh ‘jambatan sudah dibakar’. Hari ini saya ingin menyatakan kepada Rais Yatim,

‘Ya, jambatan sudah dibakar dan kamu tolong berhenti menyeberang ke mari!’