Skip to content

Archive for July, 2010

Saladin, Satukan Anak-Bangsamu!

Pertemuan pertama kami berlangsung di kaki lima lanjuran rumah kedai di Segambut SPPK pada awal 2007. Sewaktu itu saya masih mengajar di Universiti Tunku Abdul Rahman, sebuah pusat pengajian tinggi milik MCA. Beliau pula bekas lepasan Kolej Tunku Abdul Rahman, ‘feeder’ kepada UTAR.

Beliau tidak datang menunggang kuda perang sambil membawa pedang panjang bersamanya, tetapi dia hadir bersama honda SUVnya yang turut memuatkan blogger tersohor Penarik Beca. Saat itu, saya hanya blogger cabut, beliau pula Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Ruang permainan saya hanya sembunyi-sembunyi di alam siber tetapi ruang permainannya ialah jalan-jalan terbuka di sekitar kota yang selalu menjadi mangsa kepada bala tentera Saladin berdemonstrasi.

Ah, Salahuddin Bin Haji Ayub, versi saya kepada Saladin Al Ayubi.

Apabila ramai penyokong PAS bertanya, mengapa UMNO hanya membuka pintu perpaduan Melayu melibatkan PAS dan UMNO apabila UMNO sudah lemah dan tidak ketika UMNO masih kuat, Salahuddin boleh menyangkal tuduhan tersebut. Itu tidak benar! Saya yakin Salahuddin boleh berkata begitu.

Kerana Salahuddin sendiri sewaktu menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS telah beberapa kali merancang, merangka dan merundingkan agar UMNO dan PAS dapat bekerjasama di dalam isu-isu yang sudah tentu menanfaatkan anak-bangsa, Melayu Islam.

Salahuddin adalah antara pemimpin PAS di Malaysia pasca Mahathir yang cuba menyatukan PAS dan UMNO menerusi kerjasama dalam isu-isu bersama. Ia berlaku semenjak tahun 2006 lagi. Hasil usaha Salahuddin membawa kepada beberapa pertemuan sepanjang 2006 hinggalah 2008 dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengikuti dengan serius perkembangan positif ini.

Di antara pertemuan-pertemuan yang diusahakan oleh Salahuddin turut melibatkan YB Mahfuz Omar, YB Dr. Hatta Ramli (kuat mempertahankan Anwar dan kritikal terhadap UMNO dalam siri pertemuan itu) dan Mohamad Bin Sabu. UMNO pula diwakili oleh Dato’ Badrudin Amiruddin, YBM Syed Razlan Ibni Syed Putra, Dr. Junaidi Wahad dan YB Dato’ Mohd Alwi  Che Ahmad. Kedua-dua pihak, UMNO dan PAS mendapat restu dari tahap pucuk pimpinan kepada pertemuan-pertemuan ini.

Siri pertemuan ini berterusan sehinggalah Pilihanraya Umum 2008.

Sebaik selepas PRU 12, pertemuan UMNO dan PAS menjadi lebih genting. Di dalam keadaan untuk menyelamatkan Kerajaan Negeri Perak supaya terus dikuasai oleh anak-bangsa kita, UMNO melalui beberapa siri rundingan telah bersetuju memberi jawatan Menteri Besar Perak kepada ADUN PAS Mohamad Nizar Jamaluddin. UMNO juga dilaporkan menawarkan kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak kepada Naib Presiden PAS ketika itu, Ahmad Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Apa yang amat dikesali ialah, apabila persetujuan konsesi antara UMNO-PAS itu dibawa PAS kepada DAP sebagai bahan untuk tawar-menawar. DAP ketika itu menekankan mahu ADUN PKR, Jamaluddin Bin Mohd Radzi, bekas posmen dengan POS Malaysia sebagai Menteri Besar Perak.

Keikhlasan dan kesungguhan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria untuk menyelamatkan Perak dari diperintah oleh Kerajaan Boneka DAP akhirnya hanya menjadi bahan untuk perunding yang diamanahkan oleh pimpinan PAS mengugut DAP.

Saya dapat merasakan kegelisahan yang mungkin melanda Salahuddin Ayub ketika drama itu terus terungkai. Apa tidaknya, Salahuddin sendiri pernah beberapa kali sebelum PRU 12 menyatakan kekesalannya terhadap Ahli-Ahli Parlimen DAP yang begitu ‘anti Melayu’ dalam perbahasan di Parlimen.

Malang bagi Melayu, malang bagi anak bangsa, apabila ada Perunding PAS ketika itu tidak kisah sikap ‘anti Melayu’ Teresa Kok, sebaliknya, lebih gembira bersalam dan menggenggam tangan Teressa Kok lama-lama.

Walaupun telah dipermainkan dalam insiden Perak, Presiden UMNO ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terus membuka pintu rundingan dengan PAS dan Salahuddin terus memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Pertemuan terakhir berlaku pada awal 2009 apabila Salahuddin Haji Ayub menghubungi salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri ketika itu meminta pertemuan di antara Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan Abdullah.

Pertemuan itu berlangsung di Seri Perdana agendanya ialah cadangan PAS menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Sebuah Kerajaan yang disokong oleh ahli-ahli Parlimen PAS dan dengan menggunakan mandat di Parlimen, mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau bukan lagi Presiden UMNO.

Bagi berlaku adil kepada Abdullah, eloklah untuk rekod saya tuliskan di sini bahawa, Abdullah dilaporkan secara peribadi menolak cadangan tersebut dan berkata bahawa keputusannya untuk turun dari teraju kepimpinan negara sudah muktamad. Abdullah juga meminta dua pimpinan tertinggi PAS menerima kepimpinan Najib Razak.

Dan di saat-saat itu, Abdullah meletakkan dirinya di tahap seorang negarawan dan bukan lagi sebagai ahli politik yang licik yang sering terselamat dari menjadi mangsa segala krisis politik yang berlegar disekelilingnya sepanjang kariernya.

Dan Abdullah juga bertanya kepada Presiden PAS, apakah jika PAS teruskan langkah perpaduan itu, ia akan terus melangkah tanpa perpecahan. Jawapan Tuan Guru Haji Hadi ialah 30% akan menentang. Abdullah kemudian bertanya mengenai Tuan Guru Nik Aziz. Dengan penuh kasih sayang, Tuan Guru Haji Hadi dilaporkan menyatakan pendirian Nik Aziz kepada Abdullah.

Abdullah menyatakan pendiriannya bahawa dia tidak mahu melihat perpecahan berlaku di dalam PAS dan demikianlah berakhirnya episod penyatuan Melayu.

Saya merasa kesal dengan kata-kata yang tidak manis terhadap Mufti Perak oleh Salahuddin dan Mahfuz. Lebih kesal apabila Salahuddin, seorang yang sejak 2006 menentang arus untuk mencari titik-titik yang boleh melihat tidak ada perpecahan politik di kalangan anak-bangsa tiba-tiba seolah beralih arah.

Saya cuba memahaminya. Mungkinkah dirinya sebagai anak dagang, menumpang di kerusi Parlimen Kubang Kerian, yang mana Dato’ Husam Musa adalah Yang DiPertua PAS sedikit sebanyak mengikat kehebatan libasan penyatuan Salahuddin? Ataukah kerana dia tidak mahu di lontarkan dengan kalimah ‘sampah yang menyusahkan pergi masuk UMNO’ oleh Nik Aziz, Pesuruhjaya PAS Kelantan? Mungkin.

Atau mungkin tidak. Mungkin Salahuddin sedang mencari jalan diplomasi. Apapun saya harap Salahuddin tidak akan mengenggam erat jari jemari Teresa Kok sehingga beberapa minit lamanya dan menentang perpaduan Melayu demi memperkasakan Islam bersama DAP.

Tergamakkah PAS Anjakkan Lagi Pintu Gol Mereka?

Saya membaca dua berita yang diterbitkan di HarakahDaily dengan penuh minat dan penuh insaf. Berita pertama berbunyi, Sasaran 60 Kerusi Parlimen Cerah dan berita keduanya bertajuk, Retreat Sahkan Sokongan Melayu Kekal Kepada PAS.

Berita pertama memetik kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Antara kandungannya ialah berhubung sasaran PAS untuk merampas 37 kerusi Parlimen daripada UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13, selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia ada.

“Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain,” kata Mohd Firdaus yang juga Pangarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat.

Di dalam berita kedua pula, memetik kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yang rumusannya menegaskan undi teras Melayu terhadap PAS tidak merosot seperti di dakwa oleh sesetengah pihak.

“Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet,” Harakahdaily memetik Mahfuz sebagai berkata demikian.

Kemudian Mahfuz dilaporkan menambah,

“Pada PRU 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.”

Di dalam laporan HarakahDaily turut tertulis berikut,

‘Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar menjadi calon.’

Saya gabungkan kedua-dua berita ini sebagai kononnya maklumat yang keluar daripada hasil pemukiman PAS di Port Dickson baru-baru ini.

Saya melihatnya sebagai tanda PAS sedang dalam satu keadaan yang tertekan. Kenyataan Firdaus dan Mahfuz bertentangan diantara satu sama lain.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Apakah Mohd Firdaus sedar kenyataan yang dibuat oleh Mahfuz? Biar saya jawab kenyataan Mohd Firdaus berdasarkan hujah Mahfuz,

  1. Kata Mahfuz, di dalam PRU 1995, PAS mendapat sekitar 38 hingga 40% undi Melayu. Itu diterjemahkan dalam Pilihanraya Parlimen bagi PAS di dalam PRU 1995 ialah PAS memenangi sebanyak 7 kerusi atau 3.8% dari jumlah keseluruhan kerusi yang dipertandingkan. Kerusi itu ialah 6 di Kelantan dan 1 di Kedah. Harus di ingat, kesemuanya di menangi hasil gabungan dengan Parti Melayu Semangat 46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah.
  2. Kata Mahfuz, pada PRU 1999, PAS memperolehi 55 peratus undi Melayu disebabkan faktor Anwar Ibrahim. Itu diterjemahkan dalam PRU 1999 dengan melihat PAS mendapat sejumlah 27 kerusi Parlimen atau 13.99 peratus dari kerusi di pertandingkan. PAS menang 8 kerusi di Kedah, 10 kerusi di Kelantan, 7 di Terengganu dan 2 di Perak. Ketika ini PAS bergabung di bawah platform longgar Barisan Alternatif.
  3. Kata Mahfuz, dalam PRU 2008 PAS mendapat 42 hingga 46 peratus undi Melayu. Itu diterjemahkan didalam PRU 12 sebagai PAS memperolehi 23 kerusi Parlimen atau sebanyak 10.36 peratus kerusi yang dipertandingkan.
  4. Kata Mahfuz dalam Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, PAS memperolehi 45 peratus undi Melayu. Jadi adakah bersandarkan kepada 45 peratus undi Melayu ini Mohd Firdaus merasakan PAS boleh menang 60 kerusi Parlimen? Sedangkan ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen?
  5. Sebenarnya, walaupun Mahfuz cuba berkias, tetapi hakikat semasa berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah kita lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Apa yang Mahfuz dan Mohd Firdaus tidak jelaskan di dalam kedua-dua berita itu ialah undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang, ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina.

Sebenarnya PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

‘Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam. Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.

Mengapa saya memilih perkatan melacur?

Jika dilihat perhubungan PAS dengan DAP dan dirujuk segala insiden yang berlaku ternyata DAP adalah sebuah Parti yang teguh dan seincipun tidak berganjak ideologi mereka di dalam perhubungan mereka dengan PAS.

DAP menolak Penubuhan Negara Islam kerana menurut Karpal, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di atas dasar itu, pada tahun 1990, ketika DAP bersama Parti Melayu Semangat 46 dan PBS di dalam Gagasan Rakyat, Karpal berkata,

“Langkah mayat saya dulu…”

Dan tiga minggu lepas, Karpal sekali lagi berkata,

“Langkah mayat saya dulu…”

Tetapi PAS yang sejak awal penubuhannya mahu menubuhkan Negara Islam hari ini sudah menggugurkan cadangannya itu. Bukan kerana mereka tidak berani untuk melangkah mayat Karpal Singh, tetapi kerana mereka melihat menggugurkan cadangan menubuhkan Negara Islam adalah lebih baik untuk masa depan mereka untuk memenangi undi pemilih Cina.

Sebahagian besar Ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan.

Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.

Lihat turutan konsesi yang terpaksa di buat oleh PAS menerusi kenyataan – kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS sendiri.

“Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram.” Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1993.

“Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS yang menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.” Harakah, 23 April 1994.

“Menentang PAS adalah haram mengikut Al Quran.” Berita Minggu, 24 April 1994.

Begitulah tegasnya Nik Aziz dan begitulah juga tegasnya pimpinan-pimpinan PAS lain di dalam menentang kerjasama dengan Parti-Parti Politik Bukan Islam.

Bahkan, kita tentu masih ingat laungan di tahun-tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan bahawa, PAS menentang UMNO bukan sebab namanya UMNO, tetapi sebab UMNO itu kafir, Perlembagaan UMNO adalah kafir dan UMNO berkerjasama dengan Parti-Parti Politik Kafir.

Di atas ketegasan PAS pada waktu itu jugalah, PAS tidak boleh bergabung di bawah Gagasan Rakyat di dalam pilihanraya 1990. Sebaliknya terpaksa ditubuhkan sebuah platform lain, bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk PAS bergabung dengan Semangat 46. Di dalam kempen pilihanraya 1990 itu jugalah, Karpal Singh telah mengeluarkan kata-kata keramat,

“… langkah mayat saya dulu.”

Tetapi bermula dengan pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan melihat kepada peluang yang ada bagi PAS untuk menunggang arus perubahan politik tempatan akibat insiden itu, PAS mula mengendurkan layarnya dalam pelayaran ke arah penubuhan sebuah Negara Islam.

Renungi kenyataan-kenyataan Nik Aziz berikut,

“Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan Negara Islam.” Berita Harian, 12 Mei 1999.

DAP yang berubah sikap atau PAS? Bukankah Nik Aziz mengakui bahawa ‘asalkan PAS tidak mendirikan Negara Islam’ sebagai alasan kesanggupan DAP.

Lebih sepuluh tahun selepas kenyataan Nik Aziz di atas, Karpal masih berpegang kepada kenyataannya pada tahun 1990,

“… langkah mayat saya dulu”.

Berikut adalah di antara kenyataan Karpal Singh seperti yang diterjemahkan dari berita yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider pada 28 Jun 2010.

Adalah mustahil bagi DAP untuk berkompromi dalam soal itu (Penubuhan Negara Islam). Kita tidak boleh kompromi untuk menjadikan Negara ini Negara Islam (sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan.)”

“Di dalam tahun 1990, semasa ceramah di Sungai Pinang, akhbar telah memetik saya sebagai berkata, “Islamic state over my dead body.”

“Mereka (wartawan) tidak melaporkan konteks kenyataan saya itu. (Konteks) Kenyataan saya adalah berdasarkan Perlembagaan. Tetapi pendirian saya waktu itu, sama seperti pendirian saya sekarang.”

Salahudin Ayub cuba membodohkan dirinya dengan mengatakan bahawa kenyataan Karpal itu adalah kenyataan peribadi.

Utusan Malaysia yang menghubungi Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS melaporkan pada 3 Julai 2010 kata-kata Salahudin seperti berikut,

“Ia adalah pandangan peribadi Karpal. Tidak semestinya apa yang keluar dari mulut beliau akan menjadi pandangan rasmi pembangkang.”

Satu-satunya pandangan peribadi Karpal hanyalah ungkapan ‘langkah mayat saya dulu.’ Tetapi jelas dari terjemahan di atas, penolakan penubuhan Negara Islam adalah pendirian rasmi DAP.

Jadi atas sebab pendirian tegas DAP yang tidak berubah itulah, PAS dipaksa untuk terus kendurkan lagi layarnya ke arah penubuhan Negara Islam sehingga akhirnya, layar itu dilipat dan disimpan.

Utusan Malaysia melaporkan pada 4 Ogos 2001 kenyataan Nik Aziz seperti berikut,

“Bukan sahaja dalam manifesto PAS, dalam Perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah Negara Islam.”

Akhir sekali, PAS dipaksa melacurkan dirinya ke tahap paling hina bila pada 12 Ogos 2009, Nik Aziz di laporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata,

“DAP kalau nak hina Islam (tidak apa) pasal dia bukan Islam.”

Pada 30 Jun 2010, HarakahDaily melaporkan Nik Aziz sebagai berkata,

“You (Karpal) sebut Islam tak betul dengan hujah yang tak pasti, tetapi selagi you tak boleh menyebut Islam ini tak betul sama ada dari segi akidah, muamalah, saya nak tinggal Islam pun tak boleh…”

Dan lebih memeranjatkan lagi ialah apabila New Straits Time melaporkan pada 9 Julai 2010 kenyataan Nik Aziz yang saya terjemahkan seperti berikut,

“Saya sudah sebut banyak kali. Kalau mereka yang tak boleh terima polisi kita boleh tunjukan saya bukti terdapat kesilapan dengan Islam, saya sendiri akan tolak Islam. Kalau tidak kamu tidak boleh bagi bukti, maka saya tidak ada alasan untuk meninggalkan Islam, (kenyataan asal, I have mentioned this many times. If those who cannot accept our policies can show me what is wrong with Islam, then I personally will reject Islam. If you cannot give proof, the I have no reason to leave my religion,”

Sudah tentulah DAP, sama ada Karpal Singh atau Lim Kit Siang merasakan mereka ada bukti bahawa ada yang tidak kena dengan Islam, jika tidak sudah tentu mereka sudah memeluk agama Islam apalagi Lim Guan Eng yang tidak habis-habis dengan Khalifah Umar Abdul Aziz. Tetapi ini adalah soal kepercayaan. Islam adalah agama dan agama adalah isu kepercayaan. Apapun yang Karpal Singh dan Lim Kit Siang kata tentang kelemahan Islam, tidak boleh menyebabkan kita meminda aqidah kita. Islam itu tetap sempurna, itu kepercayaan kita.

Bagaimanapun, saya yakin UMNO tidak akan mengatakan Islam itu tidak sempurna atau mencari kesilapan di dalam polisi Islam. Cuma UMNO adalah sama dengan PAS hari ini, hanya sekadar sebuah Parti Politik. Segala keputusan dan perubahan di dalam dasar-dasar yang hendak dilaksanakan hendaklah di ambil kira pelbagai pertimbangan politik dan daya tahan politik.

Melihat begitu banyak yang telah terpaksa PAS korbankan sedangkan DAP terus teguh dengan pendirian mereka, maka kenyataan Mahfuz dan Mohd Firdaus yang menjadi teras penulisan saya ini, begitu mengganggu saya.

Saya tidak mahu mempertikaikan sama ada PAS mampu atau tidak menang 60 kerusi Parlimen. Itu adalah persoalan lain. Tetapi saya masa melihat bagaimana kedudukan PAS dalam PRU ke 13 berdasarkan hujah-hujah kedua-dua mereka.

Pada Jun 2009, saya telah diarahkan untuk menyiapkan satu analisa bagi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam PRU 2008 lalu. Analisa itu dibuat bersempena Muktamar PAS pada tahun tersebut. Kenyataan Mohd Firdaus tidak bercanggah dengan analisa yang saya buat ketika itu.

Tetapi berdasarkan analisa itu, kesimpulannya ialah jika PAS mahu memenangi kerusi-kerusi Parlimen yang PAS tewas di dalam 2008,

  1. Mempertahankan sokongan pengundi Melayu yang diterima di dalam PRU 12.
  2. PAS harus mengaut sokongan daripada pengundi-pengundi Cina.
  3. Memperlengkapkan jentera di kawasan-kawasan Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, ianya datang dengan risiko yang besar. Ini kerana di dalam menambah sokongan pengundi Cina, PAS perlu memberi lebih banyak konsesi kepada mereka. Konsesi yang dimaksukan ialah untuk menggugurkan lebih banyak elemen-elemen perjuangan Islam di dalam PAS.

Jika ini berlaku, PAS berkemungkinan besar akan kehilangan pula pengundi teras mereka yang menyokong PAS kerana PAS memperjuangkan Islam. Ini akan menjadikan PAS hanya satu lagi replika kepada Parti Keadilan Rakyat yang berjuang untuk menentang apa yang lihat mereka sebagai ketidak adilan.

Kenyataan Mahfuz pula walaupun bertujuan untuk menyatakan bahawa undi Melayu terhadap PAS tidak merosot, tetapi sebenarnya Mahfuz telah mendedahkan bahawa undi Melayu terhadap PAS sudah merosot hampir 10 peratus dari tahun 1999. Kenyataan Mahfuz juga secara tidak langsung mendedahkan undi Melayu yang diterima PAS juga telah merosot hari ini berbanding dengan semasa PRU 2008.

Perlu diingat sewaktu berdepan dengan PRU 2008, PAS dan DAP tidak diikat oleh mana-mana gandingan politik melainkan memperjuangkan isu-isu bersama. Selepas PRU 2008 barulah PAS memeterai satu pakatan politik bersama DAP. Apakah ini yang mengakibatkan kemerosotan dari segi peratusan undi Melayu yang PAS terima?

Pengikut PAS harus sedar, jika benar PAS memperolehi hanya 45 peratus undi Melayu seperti yang dinyatakan oleh Mahfuz, tidak mustahil tragedi PRU 2004 akan berulang.

Jika hanya 45% pengundi Melayu memilih PAS pada hari ini, PAS akan berdepan dengan masalah bagi konstituensi-konstituensi dimana komposisi pengundi Melayunya melebihi 88 peratus. PAS juga akan bermasalah di konstituensi-konstituensi dimana pengundi Cinanya kurang daripada 18 peratus.

Ini bererti, PAS boleh kehilangan minimum 10 kerusi Parlimennya sekarang. Ini bagaimanapun tidak termasuk kerusi tradisi mereka di Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian serta Marang. Bagaimanapun harus diingat, PAS pernah terlucut Marang dalam PRU 2004.

Kerusi-kerusi yang PAS akan kehilangan ialah,

  1. P007 Padang Terap.
  2. P011 Pendang.
  3. P012 Jerai.
  4. P013 Sik.
  5. P016 Baling.

Kesemua kerusi di atas adalah di Kedah dan pada 2004, kerusi-kerusi tersebut dimenangi oleh BN UMNO melainkan Pendang dimana PAS pertahankannya dengan hanya 50 undi. Pada 1999 PAS menang Pendang dengan majoriti 2,939 undi atau 6.91 peratus. Pada Pilihanraya Kecil 2002, BN UMNO merampas Pendang dengan majoriti, 283 undi atau 0.62 peratus.

PAS juga akan kehilangan kerusi-kerusi berikut,

6. P019 Tumpat.

7.P023 Rantau Panjang.

8. P025 Bachok

9. P028 Pasir Puteh

10. P031 Kuala Krai.

Pada tahun 2004, PAS kehilangan Kuala Krai dengan majoriti 2,416 undi, Pasir Puteh dengan 3,810 undi dan Bachok dengan 6,272 undi. Bagaimanapun Rantau Panjang di menangi PAS dengan majoriti 723 undi dan Tumpat dengan majoriti 1,820 undi.

Jika benar PAS menikmati 45 peratus undi Melayu dan kekal menikmati lebih 80 peratus undi pemilih Cina, PAS seharusnya tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi berikut,

  1. P008 Pokok Sena.
  2. P021 Kota Bharu.
  3. P036 Kuala Terengganu.
  4. P057 Parit Buntar.
  5. P059 Bukit Gantang.
  6. P096 Kuala Selangor.
  7. P101 Hulu Langat.
  8. P108 Shah Alam.
  9. P111 Kota Raja.

10. P119 Titiwangsa.

Daripada jumlah 43 buah kerusi Parlimen yang PAS tewas dalam PRU 2008, saya mendapati PAS hanya mempunyai peluang untuk menawan 9 buah kerusi Parlimen sahaja. Konstituensi tersebut ialah,

  1. P081 Jerantut.
  2. P067 Kuala Kangsar.
  3. P042 Tasek Gelugor.
  4. P090 Bera.
  5. P095 Tanjung Karang.
  6. P093 Sungai Besar.
  7. P001 Padang Besar.
  8. P079 Lipis.
  9. P059 Lenggong.

Peluang PAS ini bagaimanapun banyak bergantung kepada calon yang akan diletakan oleh BN UMNO serta keupayaannya mendapatkan sekurang-kurangnya 45 peratus undi pemilih Melayu.

Bagi konstituensi seperti Arau, Kuala Terengganu, Kuala Nerus  dan Jerlun, walaupun PAS menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU 2008, tetapi PAS akan menemui laluan sukar kerana mereka perlu memenangi lebih dari 50 peratus undi Melayu untuk menang di sini.

Walaupun PAS mensasarkan untuk bertapak di beberapa kawasan Parlimen di Negeri Sembilan dan Johor di mana pengundi Melayu kurang daripada 80% dan jumlah pemilih Cina adalah tinggi, namun pengikut PAS harus sedar, secara realitinya ia adalah amat sukar. Ini kerana PAS tidak mempunyai jentera yang besar di negeri-negeri tersebut bagi menawan kerusi-kerusi Parlimen. Di dalam pilihanraya kecil di mana jentera PAS dari Kelantan dan Terengganu menumpu sepenuh perhatian pun, PAS masih menghadapi kesukaran apa lagi di dalam Pilihanraya Umum.

Sebenar-benarnya, PAS telah mengganjakkan pintu gol mereka untuk memudahkan DAP menjaringkan gol. Tetapi di dalam berbuat begitu, PAS telah menimbulkan kekeliruan kepada barisan pertahanan mereka.

Impak dari tindakkannya itu juga, PAS berpotensi untuk kehilangan kerusi-kerusi tradisinya kesan dari kemuncupan sokongan pengundi Melayu akibat keghairahan segelintir dari pimpinan PAS menari mengikut gendang perang oleh masyarakat cina.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa, berkemungkinan PRU ke 13 akan menjadi medan bagi pemilih Melayu menentukan hidup mati Ketuanan Melayu di bumi yang satu ketika dahulu di panggil Tanah Melayu. Jika ini benar berlaku, ia akan menyaksikan pengundian berdasarkan garisan perkauman dan PAS berkemungkinan akan tersepit di dalam pertembungan itu.

Menang Sorak, Perak Sudah Pernah Kita Gadai

(Sila rujuk tulisan sahabat saya di blog Muqabalah bertajuk Kenapa Sampai Ke Situ, ianya amat menarik sekali)

Saya berada bersama YB Dato’ Husam Musa di dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing pada awal Februari 2009. Sewaktu wakil dari Beijing Enterprise Development Corporation sedang memberi taklimat di hari terakhir lawatan sebelum kami menandatangani perjanjian sefahaman, talian handphone YB Husam tidak berhenti berdering. Tamat taklimat oleh orang besar BEDC, YB Husam memohon maaf di atas kebisingan telefon bimbitnya.

“I have to answered those calls….” lebih kurang begitu penjelasannya.

Perak sudah kembali kepada Barisan Nasional. Suasana dingin minus 6 dibawah paras beku di Kota Beijing tidak dapat menyamankan kami.

“Kita sembahyang hajat sampai ke Yemen…” Kata Husam kemudian, menjelaskan betapa sukarnya usaha untuk mendapat perkenan supaya YB Nizar Jamaluddin diangkat sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 12.

Ketika itu Husam adalah Naib Presiden PAS dan beliau ditugaskan menyelesaikan urusan penubuhan Kerajaan Campuran PAS, DAP dan PKR di Perak.

Setahun sebelum itu, jam 8.00 pagi, 9 March 2008, Husam membuat panggilan telefon kepada saya dan mengarahkan saya datang segera ke rumahnya. Lebih kurang jam sebelas pagi, Saifuddin Nasution Ismail tiba. Perbincangan berkisar kepada bagaimana menubuhkan sebuah kerajaan di Perak. Saifuddin dengan jelas di dalam pertemuan itu menyebut PKR tiada calon yang layak untuk dicadangkan sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Saifuddin mencadangkan nama Dr. Zambry, YB BN yang menang di Pangkor. Saifuddin nampak yakin bahawa YB Dr. Zambry Abdul Kadir akan sertai PKR untuk menjadi Menteri Besar Kerajaan Campuran di Perak.

Di dalam mesyuarat yang sama, saya menerima SMS dari seorang tokoh perniagaan yang juga sahabat Husam. SMS itu di antara lain menyebut bahawa ‘Wang sudah ada untuk pembelian wakil-wakil rakyat BN’.

Saya tidak pasti sama ada wakil-wakil rakyat itu adalah termasuk Dr. Zambry tetapi daripada konteks mesyuarat hari itu, sefaham saya ialah wang tersebut untuk membeli Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional secepat mungkin.

Sehingga hari ini saya tidak pasti mengapa sms itu dihantar kepada saya. Atau sms itu dihantar kepada orang lain dan di salin kepada saya.

Sepekara lagi yang dibincangkan pada hari itu ialah kedudukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saifuddin menimbulkan persoalan sama ada jika Anwar diangkat sebagai Senator, apakah dia boleh dipilih sebagai Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, segala pokok perbincangan hari itu tidak kemana kerana Saifuddin asyik mahu merujuk kepada Dato’ Seri Anwar di dalam segala hal.

Akhirnya, Husam bangkit membentang sejadah di ruang tamu rumah itu dan menunaikan sholat sunat tanpa berkata apa-apa lagi pada kami.

Hasil dari pembuangan undi pada 8 Mac 2008 untuk 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, keputusannya ialah BN UMNO dapat 27 kerusi DUN, BN MCA dapat 1 kerusi.

BN UMNO tewas 5 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada PAS menjadikan jumlah ADUN PAS ialah 6.

BN MCA tewas 14 kerusi, BN GERAKAN tewas 3 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada DAP menjadikan jumlah ADUN DAP ialah 18 semuanya.

BN UMNO tewas 2 kerusi, BN GERAKAN tewas 1 kerusi, BN MCA tewas 2 dan BN MIC tewas 2 kerusi kepada PKR. Ini menjadikan jumlah ADUN PKR ialah 7 semuanya.

Keputusannya, BN 28 kerusi, DAP 18 kerusi, PKR 7 kerusi dan PAS 6 kerusi. BN boleh menubuhkan kerajaan minoriti kerana pada ketika itu tiada platform yang mengikat ketika-tika parti pembangkang, tetapi memilih untuk menjemput PAS menyertai Kerajaan yang bakal ditubuhkan.

Secara rasminya, PAS menolak cadangan Kerajaan Campuran dengan BN, sebuah keputusan yang saya amat hargai pada waktu itu. Jika PAS menubuhkan Kerajaan bersama BN pada ketika itu, ia hanya akan menyukarkan semula usaha untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi dari tampuk pemerintahan negara. Abdullah adalah masalah besar kepada Malaysia.

Abdullah sudah membawa petaka itu kepada rakyat Malaysia. Usaha yang boleh membantu menyelamatkan Abdullah adalah usaha yang belot terhadap keputusan pengundi pada 8 Mac 2008 itu. Pendirian Husam amat jelas dalam soal ini, dan saya bangga sekali.

Tetapi menyertai Kerajaan Campuran bersama DAP adalah satu matlamat singkat dan merbahaya kepada bukan sahaja PAS, tetapi kepada umat Islam dan orang-orang Melayu di Malaysia. Tersingkirnya Abdullah  Ahmad Badawi sepatuntya membuka ruang penyatuan semula bagi orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai 59 buah kerusi Dewan Undangan Negeri. 38 kerusi DUN adalah kawasan di mana lebih 50% pemilihnya terdiri daripada orang-orang Melayu. Manakala 21 kerusi DUN nya mempunyai komposisi pemilih Melayu kurang daripada 50%.

Daripada 21 kerusi yang mana pemilih Melayu kurang daripada 50%, 19 daripadanya menunjukkan penguasaan pemilih Cina lebih daripada 50% dan kerusi-kerusi itu dimenangi secara total oleh Pembangkang.

Kawasan-kawasan tersebut ialah,

  1. Pokok Asam dengan 75% pemilih Cina. DAP tewaskan MCA di sini. Majoriti 865 atau 6.04%.
  2. Aulong dengan 58% pemilih Cina. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 2,808 atau 17.51%.
  3. Jalong dengan pemilih Cina seramai lebih 56.8%. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 5,495% atau 31,18%.
  4. Canning dengan pemilih Cina lebih 78%. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 5,666 atau 25.13%.
  5. Tebing Tinggi dengan pemilih Cina lebih 76.9%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 2,515 atau 21.07%.
  6. Pasir Pinji dengan pemilih Cina lebih 88.9%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,339 atau 33.72%.
  7. Bercham dengan pemilih Cina seramai 79.8%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,010 atau 30.48%.
  8. Kepayang dengan pemilih Cina seramai 63.6%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 490 atau 3.32%.
  9. Jelapang dengan pemilih Cina lebih 73.6%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,707 atau 35.29%.

10. Menglembu dengan pemilih Cina lebih 92.5%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,523 atau 32.47%.

11. Tronoh dengan pemilih Cina lebih 67%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 2,571 atau 15.96%.

12. Pantai Remis dengan pemilih Cina lebih 71.2. DAP tewaskan MCA. Majoriti 5,076 atau 26.22%.

13. Malim Nawar dengan pemilih Cina lebih 72.95. DAP tewaskan MCA. Majoriti 1,362 atau 9.54%.

14. Keranji dengan pemilih Cina lebih 79.2%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 4,435 atau 35.41%.

15. Sitiawan dengan pemilih Cina lebih 80.5%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 8,529 atau 52.38%.

16. Pasir Bedamar dengan pemilih Cina lebih 70.4%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 7,914 atau 40.71%.

17. Sungkai dengan pemilih Cina lebih 56.5%. DAP tewaskan MIC majoriti 1,454 atau 12.94%.

18. Simpang Pulai dengan pemilih Cina lebih 64%. PKR tewaskan MCA. Majoriti 3,386 atau 18.21%

19. Teja dengan pemilih Cina melebihi 75.72%. PKR tewaskan MCA. Majoriti 175 atau 1.36%.

Bagi kerusi-kerusi yang pemilih Melayu kurang daripada 50% juga terdapat 2 kerusi campuran iaitu kerusi yang pemilih Cina dan pemilih India di gabungkan melebihi 50% komposisi pemilih di konstituensi tersebut.

  1. Chenderiang dengan komposisi pemilih Cina 36.2% dan India 12.9% berbanding pemilih Melayu berjumlah 37.6%. MCA memenangi kerusi ini menewaskan PKR dengan majoriti 3,392 atau 29.47%.
  2. Buntong dengan komposisi pemilih Cina 47% dan India 46.2% berbanding pengundi Melayu sebanyak hanya 6.1%. DAP memenangi kerusi ini menewaskan MCA dengan majoriti 5,315 atau 34.72%.

Negeri Perak adalah satu kes klasik untuk melihat bagaimana sebuah negeri yang pembahagian politiknya menunjukkan kukuhnya kedudukan Melayu, tetapi runtuhnya penguasaan Melayu kerana perpecahan sesama Melayu.

64% konstituensi-konstituensi di DUN Perak di kuasai oleh Melayu. Jumlah ini bersamaan dengan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini membuktikan secara politik, kedudukan Melayu di Perak adalah amat-amat stabil, sehinggalah PAS memilih untuk memberi kuasa pemerintahan Negeri Perak kepada DAP.

PAS meletakkan 21 orang calon DUN di dalam PRU 12 yang lalu. dari jumlah itu, 20 calon PAS berhadapan dengan calon BN UMNO dan 1 berdepan dengan BN MIC. 15 daripada calon PAS tewas.

PKR meletakan 14 orang calon di dalam pilihanraya yang sama untuk menentang BN UMNO. PKR berjaya menumpaskan calon Melayu BN di 2 konstituensi. PKR bagaimanapun berjaya merampas kerusi majoriti Melayu yang BN serahkan kepada MIC bila calonnya Jamaluddin Mohd Radzi menang di Behrang. Ini membawa jumlah ADUN Melayu PKR kepada 3.

Ini bererti gabungan PAS dan PKR memiliki sejumlah 9 orang ADUN  Melayu selepas PRU ke 12. Maka 9 orang ADUN Melayu ini telah dipajakkan untuk menubuhkan kerajaan dengan 22 ADUN bukan Melayu dari DAP dan PKR.

Ini bermakna, Dewan Undangan Negeri Perak yang mengandungi seramai 36 orang ADUN Melayu, telah terpaksa tunduk kepada 22 ADUN Bukan Melayu yang 18 daripadanya dari DAP hanya kerana 9 orang ADUN Melayu.

Dayus mungkin tidak sesuai digunakan bagi menghuraikan kemelut waktu itu. Tetapi dalam suasana harian, tindakan itu adalah amat dayus.

Senario yang sama tidak mustahil akan kita lihat di dalam PRU ke 13 akan datang. Calon Melayu Islam, sudah tentu akan mengekalkan lebih kurang 130 konstituensi Parlimen yang di wakili oleh Melayu Islam sekarang. Tetapi kemungkinan kita akan melihat insiden yang sama berlaku seperti di Perak bila 130 orang Ahli Dewan Rakyat Melayu akan di kuasai oleh lebih 90 orang YB Bukan Melayu Bukan Islam. Ia tidak mustahil jika PAS berjaya merampas beberapa buah kerusi Melayu dari UMNO menerusi perang saudara antara sesama Melayu sesama Islam. Dan kerusi itu akan PAS berikan untuk menubuhkan kerajaan bersama DAP.

Perak pernah mendahului Negeri-Negeri Melayu lain di dalam menerima Residen Inggeris. Hanya Melayu yang dapat menjamin sejarah tidak berulang lagi. Jika Melayu mahu belajar dari Sejarah.

Dan di dalam kes Perak, saya sudah mendengar kegusaran dari dari segelintir pimpinan  PAS kerana DAP sudah pasti akan meletak calon Melayu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU akan datang. Pada waktu yang sama DAP sedang memindahkan pemilih-pemilih Cina di kawasan yang mereka fikir selesa ke konstituensi lain bagi memberi ruang untuk penguasaan lebih besar oleh mereka.

Ini bererti, jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak semula maka kita bakal berdepan dengan calon Menteri Besar DAP dari keturunan Melayu. Tidak juga mustahil, DAP akan meletakkan calon-calon Parlimen dari keturunan Melayu. Apakah kita juga akan mempunyai Perdana Menteri Melayu dari Parti DAP? Bukankah DAP adalah parti yang terbesar penguasaannya di dalam Pakatan Rakyat?

Saya merasakan masanya sudah tiba untuk UMNO dan PAS menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 di atas platform yang sama. Beberapa bulan atau mungkin tahun yang ada untuk menghadapi PRU itu boleh digunakan bagi merundingkan bentuk Kerajaan yang akan dibentuk.

Agenda Melayu: Menang Sorak, Semenanjung Tergadai

“Orang Melayu pernah tinggalkan Dato’ Onn dalam usaha membawa kemerdekaan, bukannya kerana orang Melayu tidak sayangkan beliau ataupun menyisihkan beliau,” katanya sambil menambah, jika perlu meninggalkan beberapa orang demi perpaduan “kita kena memikirkan perkara ini.”

“Tetapi lebih manis kalau Datuk Nik Aziz boleh dibawa bersama, tetapi tengok sejarah ada tokoh-tokoh yang baik, kita kena tinggalkan,” kata beliau. – Di petik dari artikel Perpaduan Melayu: Kickdefellanikaziz idea nakal, tak wajar sisih Nik Aziz oleh G Manimaran, The Malaysian Insider.

Sudah tiba masanya saya bercakap soal Perpaduan Melayu. Tidak! Saya tidak mahu bercakap soal menyelamatkan UMNO atau satu dua pemimpin yang ditolak massa. Dulu kita sebenarnya tidak bercakap soal Perpaduan Melayu, sebab agenda sebenarnya ialah untuk menyelamatkan kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO.

Kemudian kita bercakap soal Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Tanpa Pembangkang. Itu bukan agenda Melayu. Itu adalah agenda mengekalkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah beliau ‘dipaksa’ berundur sebagai Presiden UMNO.

Bagaimana agenda mempertahankan Yang Amat Berhormat Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap agenda Perpaduan Melayu? Bagaimana agenda yang hanya memanfaatkan Kamaluddin Abdullah dan YB Khairy Jamaluddin boleh di anggap membela Melayu?

Tetapi agenda Melayu hendaklah di lihat dari sudut-sudut lain. Daripada 222 orang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam Pilihanraya Umum Ke 12, komposisi Melayu dan Islam yang berada di dalam Kerajaan Pusat hanyalah 39% sahaja. Sedangkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat dari keturunan Melayu dan yang beragama Islam ialah 58% dari keseluruhan ahli dewan. Ini beerti hampir 19% Ahli Dewan Rakyat Melayu dan lain-lain Bumiputera Islam berada di luar Kerajaan bersama 17% Ahli Dewan Rakyat Bukan Melayu, Bukan Bumiputera dan Bukan Islam membentuk sebuah Pakatan yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan.

Dari segi matematiknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diyakinkan bahawa, paling banyak DAP dan PKR boleh menambah kerusi Dewan Rakyat di dalam PRU akan datang ialah 20 sahaja, iaitu 15 kerusi dari MCA, 3 kerusi dari MIC dan 2 kerusi dari GERAKAN. Ini kerana DAP sudah merampas 26 kerusi majoriti pengundi Bukan Melayu di Semenanjung Malaysia dan calon Bukan Melayu PKR pula sudah merampas 10 kerusi campuran.

PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat. UMNO pula memiliki 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenanginya di Semenanjung Malaysia. Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR. Tetapi itu adalah hanya kemungkinan.

Untuk memperolehi kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya kepada pemilih Bukan Melayu dan Bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua Al Quran kepada orang-orang Islam. Serta beberapa kerat ini menyelitkan pula satu dua nama pemimpin besar Islam dalam penjelasan polisi mereka. Tetapi yakinkah PAS bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan PAS menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai parti tunjang Pakatan Rakyat?

Selain 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi UMNO dan 23 yang dimenangi PAS, PKR pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Ibrahim Ali atas nama PAS. Ini beerti terdapat 109 buah kerusi yang akan menjadi perebutan orang-orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia.

Bayangkan betapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan berperang sesama Melayu. YB Husam Musa berkata dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu bahawa dia akan cari RM20 juta untuk memerangi UMNO supaya parti itu tumbang. Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya. Kalau seorang ekonomis seperti Husam mensasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ekonomis di dalam UMNO?

Berapa billionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh lawan calon Melayu dan tewaskan calon Melayu?

Saya ingin berhenti di sini dahulu buat kali ini. Isu ini sungguh menyayat hati untuk diteruskan penulisannya.

(Nota: Situasi semasa di Dewan Rakyat, GERAKAN 2, LDP 1, MCA 15, MIC 4, PBB 14, PBRS 1, PBS 3, PRS 6, SPDP 4, SUPP 5, UMNO 78, UPKO 4, DAP 29, PAS 23, PKR 24, PSM 1 dan BEBAS 8)

Tak Perlu Kopi Jantan

…. but we can still settle it like Jantan.

Zaini Hassan, Cuit (Utusan Malaysia) dan Syed Azidi, Kickdefella

And we do not try to cover up by claiming, ‘itu pandangan peribadi so and so….’. In fact we did not even discuss about the past. If two stranger can sms, talk and eat together, why must we look back and think that we are still stranger?

Talking about looking back, Anwar Ibrahim just pop up… must be from the back (of my mind, hopefully).

And I am amazed for what Wolfowitz had told Washington Post reporter,

“What Anwar did was wrong, but considering that he’s literally fighting for his life — physically as well as politically — against a government that attacks him as being ‘a puppet of the Jews,’ one should cut him some slack,” Wolfowitz told me .

Anwar’s statement yesterday was total nonsense. But maybe we should not care about what Anwar told his Jewish friend. Itu semua pandangan peribadi, perhaps.

Or perhaps we should read this,

‘Anwar Ibrahim used to be the shining archetype of a Muslim democrat and a figurative martyr for liberty. That was before he showed himself just another demagogue, willing to promulgate and exploit conspiracy theories not considered polite in the West since V-E Day. Now, the best argument for him is that he’s the least worst. He’s not even that, of course — but it’s still a remarkable fall. Anwar Ibrahim may wish to blame the Jews for it, but the sad truth is that he did it all to himself.’

Or this,

‘The proximate cause of Ibrahim’s descent into the foul rhetoric of anti-Semitism was his decision to exploit the government’s hiring of a Washington, D.C., public relations firm, APCO, to do minor communications work within Malaysia. Like many international firms, this one has done business within Israel, and even counts among its senior personnel persons of the Jewish faith.

Ibrahim has now effectively trashed his old friends in Washington and has used this PR contract as an excuse to spin a dark conspiracy theory of Jewish control, Zionist plots, and subversion.

Ibrahim’s lieutenants have charged, among other things, that the Malaysian government has “engag[ed] a company that has a close tie with the Zionist regime in Israel. Its advisory panels consist of former security chief of the Israeli government, and many of their staff are formerly from the Israel Security Agency,” and that “its operators in Tel Aviv have close links to the Zionist regime.”

Ibrahim himself has delved headlong into anti-Semitic theorizing, publicly alleging that there are “Israeli intelligence personnel in the Police IT unit.” Worse, he connected his anti-Semitism to his anti-Americanism, when he angrily denounced the Malaysian Prime Minister’s politically courageous decision to stand with President Obama and cut off oil supplies to an Iran seeking nuclear weapons. Ibrahim stood in the legislature to charge that the supposedly “Jewish-controlled” PR firm hired by the Prime Minister was, in fact, working to manipulate Malaysian policy on America’s behalf.

Ibrahim angrily demanded: “How can our foreign policy have changed dramatically,” unless Jews were controlling Malaysian affairs for America’s benefit? “Our policy on Iran shows how weak we are. Unprecedented in the history of our country, even Mahathir Mohamad himself never shifted in Afghanistan and the Palestinian question.’

Perhaps, some people just need Kopi Jantan.