Skip to content

Archive for June, 2010

Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kelantan : Terima Kasih PM!

Saya merujuk kepada tulisan Setiausaha Politik YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan, Saudara Wan Nik Wan Yussof di dalam Harakahdaily bertajuk “Kekecewaan Di Sebalik Lawatan PM Ke Kelantan”.

Saya tidak mahu menyentuh soal pertelingkahan politik PAS dan UMNO dan saya sudah juga jelaskan versi sebenar berhubung Fiesta Kelantan 2010 di dalam posting saya sebelum ini. Namun saya terpanggil untuk menulis sesuatu apabila membaca kalimah berikut yang ditulis oleh Setiausaha Politik MB Kelantan itu.

“…. pun begitu ada juga program sampingan yang bersifat kosmetik iaitu melibatkan penerimaan memorandum pemandu teksi…”

Saya berasa kesal bila Pegawai dari Pejabat Menteri Besar Kelantan merasakan program bersama pemandu teksi oleh YAB Perdana Menteri itu adalah ‘kosmetik’.

Nasib pemandu teksi dan kereta sewa di Kelantan adalah amat malang sekali. Sesungguhnya sebagai seorang yang pernah mendengar keluhan terus sewaktu berkhidmat di Kelantan, saya rasa amat bersyukur dan gembira apabila YAB Perdana Menteri sudi menjenguk mereka, menghabiskan sedetik dua bersama mereka dan sudi menerima memorandum  dari mereka.

Ramai yang akan merasa saya keterlaluan bila saya kata, itu semua adalah sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baru.

Sebagai buktinya, saya telah menyemak semula laporan yang saya tulis sewaktu mengiringi YB Dato’ Haji Husam ke Stesen Kereta Sewa PKDK Jalan Doktor Kota Bharu pada 20 Oktober 2009.

Berikut adalah rungutan mereka yang saya masukan ke dalam laporan saya waktu itu,

  1. YB. Dato’ dimaklumkan terdapat 16 persatuan pemandu kereta sewa di Kelantan dengan 2,100 orang pemandu.
  2. Kebanyakan kereta sewa tidak mempunyai penghawa dingin melainkan yang mengambil penumpang di hotel dan di lapangan terbang.
  3. Masalah utama yang dihadapi ialah kekurangan pelanggan akibat aktiviti kereta sewa haram atau prebet sapu dan kereta sewa bebas yang tidak berpesatuan.
  4. Sessi dialog telah diadakan dengan pihak berkuasa seperti JPJ dan Polis DiRaja Malaysia bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kereta sewa haram ini tetapi tiada hasil.
  5. Di Kota Bharu terdapat 3 buah stesen Teksi Kereta Sewa tetapi ianya terpisah daripada Stesen Bas Kota Bharu.
  6. Kereta Sewa haram memakir di sekitar Stesen Bas Kota Bharu sedangkan kereta sewa pula terpaksa memakir di stesen-stesen yang ditetapkan oleh MPKB dengan bayaran RM2,400 sebulan bagi stesen di Jalan Doktor dan RM1,200 sebulan setiap satu bagi dua stesen lain.
  7. Mohon bantuan Kerajaan Negeri supaya mengerahkan MPKB membantu mengurangkan kereta sewa haram dengan cara memberi teksi kereta sewa memakir di sekitar Stesen Bas Kota Bharu.
  8. Ini kerana sehingga kini, setiap penumpang bas yang turun akan berdepan dengan kereta sewa haram dahulu lantaran mereka menggunakan perkhidmatan kereta sewa haram itu walaupun lebih mahal.
  9. Dianggarkan ada 300 buah kereta sewa haram di Kelantan.
  10. Aktiviti kereta sewa haram ini benar-benar menekan pendapatan pemandu kereta sewa.
  11. Beberapa kali pemandu-pemandu berhasrat mengadakan tunjuk perasaan tetapi hasrat itu dibendung oleh persatuan-persatuan.

Saya mengesyaki isu yang sama jugalah yang dibisikan oleh mereka kepada YAB Perdana Menteri dan itulah juga isi kandungan memorandum mereka kepada Dato’ Seri Najib.

Mereka menyebut dengan jelas pada 20 Oktober 2009 itu nama dua orang Ahli Exco yang portfolio mereka jelas memberi ruang untuk mereka membantu menyelesaikan masalah pemandu kereta sewa itu. Tetapi, kedua-dua mereka enggan ambil peduli, kata mereka. Surat yang ditulis tidak berbalas, sessi dialog yang diminta terus ditolak.

Mereka juga menyebut dengan jelas nama ADUN dan Ahli Parlimen dari Parti PAS yang sepatutnya boleh membantu memajukan masalah mereka tetapi enggan membabitkan diri membantu mereka.

Bagaimana saya tidak gembira, apabila Perdana Menteri sendiri sanggup berjumpa mereka, mendengar keluhan mereka dan melihat sendiri masalah yang membelenggui mereka.

Seikhlasnya, saya merasakan pertemuan dengan pemandu teksi dan kereta sewa Kelantan itu, bukanlah satu program bersifat kosmetik seperti yang dirasai oleh saudara Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Ia adalah hari yang penuh erti.

New Arrival

At last, I have added new collection to my Tunku’s potrait in my office. The pic of Che Det, I was told the photo was taken during his last day in Jabatan Perdana Menteri. While the pic of Husam was taken during his ceramah in Johore.

Sandiwara Fiesta Kelantan

(Permohonan Maaf – Setelah menyelidiki semula tentang YB Dato’ Haji Takiyuddin Hassan, saya menyedari terdapat kesalahan fakta di dalam posting ini berhubung dengan ikatan hubungan perkahwinannya dengan ‘Anak AJK Bahagian UMNO’ dan hubungannya dengan Pemilik Red Carpet Worldwide Sdn Bhd. Kickdefella memohon maaf kepada YB Takiyuddin dan keluarganya di atas kesalahan yang dikesali ini.)

Mengapa mahu salahkan UMNO dan Red Carpet Worldwide Sdn Bhd? Itu perkara pertama para blogger pro PAS dan Ahli-ahli PAS perlu bertanya kepada diri mereka sebelum mereka membuka mulut berhubung isu Fiesta Kelantan 2010.

Mengapa pula exco-exco Kerajaan Negeri Kelantan juga seperti terkejut dengan apa yang terjadi? Apakah mereka tidur selama ini?

Bagi yang arif mengenai insiden ini tentu sekali melihat ini sebagai satu lagi sandiwara besar Kerajaan Kelantan Pimpinan Nik Aziz dan juga sandiwara besar PAS Kelantan.

Bagi yang arif tentang Fiesta Kelantan juga tahu bahawa orang penting disebalik pesta ini juga bernama Arif, iaitu Abdul Ariffahmi Ab Rahman. Fiesta Kelantan juga adalah salah satu punca pemberontakan dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Sila rujuk laman blog Suara Rakyat bagi melihat perjanjian antara PMBK dan Red Carpet serta lain-lain bukti penglibatan PMBK menerusi Ariffahmi.

Apabila Ariffahmi tersingkir daripada PMBK, beliau memberi tekanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif baru bahawa Fiesta Kelantan perlu diteruskan. Bahkan diperingkat awal pemecatannya, beliau meminta CEO baru PMBK melaporkan perkembangan pengurusan PMBK termasuk aktiviti-aktiviti yang perlu diteruskan secara mingguan, iaitu setiap hari sabtu kepadanya.

PMBK sudah membayar RM200,000 kepada Red Carpet sebagai pendahuluan untuk ‘soft-launch’ (ikut link laporan Urusetia Penerangan Negeri Kelantan) Fiesta Kelantan di Kuala Lumpur di mana YAB Tuan Guru Menteri Besar dan Dato’ Seri Mustapha Mohamed sebagai tetamu terhormat.

Walaupun dari segi luaran Fiesta Kelantan ini kelihatan sebagai satu jambatan penghubung PAS dan UMNO terutama di waktu Nik Aziz hebat membelasah Timbalan Presiden PAS kerana mahu PAS dan UMNO berdampingan, tetapi mereka yang berada di PMBK melihat ia hanyalah agenda peribadi Abdul Ariffahmi.

Fiesta Kelantan sebenarnya bertujuan mengangkat Ariffahmi dan supaya dia dilihat di dalam parti sebagai tokoh muda yang berkemampuan membawa perpaduan. Salahnya, tindakannya mengejar kejayaan peribadi telah membelakangkan banyak prosedur.

Dato’ Takiyuddin Haji Hassan di lantik oleh Ariffahmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur. Takiyuddin sendiri bersama beberapa exco tidak hadir di ‘soft-launch’ dan tidak hadir ke mesyuarat Jawantankuasa Penganjur ketika itu kerana menyedari banyak perkara yang tidak kena. Di antaranya ialah perlantikan Takiyuddin di buat oleh Ariffahmi bukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Majlis Fiesta Kelantan tidak pernah di angkat ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kelantan. Persetujuan Tuan Guru dan aturcara serta kehadiran Mustapha Mohamed tidak pernah di maklum kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ataupun Dewan Harian PAS Kelantan. Tahu-tahu kad jemputan tiba.

Hanya seorang exco muda yang belum sepenggal jadi ADUN dan berada di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengetahui secara penuh. Inipun kerana beliau tidak fasih dengan prosedur parti dan Kerajaan Negeri serta kerana masih baru beliau sering termakan dengan kata-kata Ariffahmi bahawa ‘Ayahanda dah setuju’ dalam semua benda yang terpancul dari mulut menantu MB itu.

Setelah tersingkir Ariffahmi dari PMBK, ruang untuk beliau menggunakan PMBK bagi menganjurkan Fiesta Kelantan menjadi pudar bersama pudarnya pengaruhnya di PMBK. Tetapi Ariffahmi mendapat rakan baru kerana dia telah berjaya menyakinkan banyak pihak bahawa pemecatannya adalah agenda Dato’ Husam Musa, Persuruhjaya II PAS Kelantan.

Antara yang menjadi sayang dan akrab tiba-tiba dengan Ariffahmi selepas itu ialah Takiyuddin Hassan yang sebelum ini merasakan dan memberitahu kepada beberapa pihak pemecatannya dari menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan adalah kerana permainan Dato’ Husam. Turut menjadi akrab dan ke hulu ke hilir membela Ariffahmi ialah Nik Abduh, anak Nik Aziz yang berdendam hebat dengan Husam kerana merasakan niatnya dan kuncu-kuncunya mendapat imbuhan dari penjualan Kelantan Waters kepada syarikat bernama Air Darulnaim Sdn Bhd telah di sekat Husam yang menjadi Setiausaha Politik MB Kelantan waktu itu. Air Darulnaim diterajui oleh orang kuat UMNO Kelantan waktu itu dan masih lagi seorang Timbalan Ketua Bahagian UMNO sekarang.

Kedua-dua ini adalah musuh utama Husam Musa dan kedua-dua ini ada pertalian dengan musuh nombor satu Husam di Kelantan iaitu Razak Abas, kroni besar MB Kelantan. Syarikat balak milik Roshaimi Razak banyak mendapat kelulusan balak sebelum Husam dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kemewahan yang dinikmati oleh Nik Abduh banyak berpunca dari kemakmuran yang dirasai oleh Roshaimi. Takiyuddin pula di ikat dengan Razak Abas menerusi perkahwinannya dengan anak AJK Bahagian UMNO Kelantan yang juga ayah kepada pemilik Red Carpet Worldwide Sdn Bhd.

Selepas PMBK hilang minat terhadap Fiesta Kelantan, PMBK berkemungkinan akan hangus wang sejumlah RM200,000 yang dilaburkan oleh bekas CEOnya yang juga menantu Nik Aziz itu.

Pada waktu yang sama Red Carpet tidak berdaya untuk meneruskan Fiesta Kelantan tanpa nama besar yang dapat memaksa banyak pihak menaja fiesta itu. Maka timbullah nama YAB Perdana Menteri. Hanya dengan kehadiran Dato’ Seri Najib Razak, Fiesta Kelantan akan dapat diselamatkan dan menjamin pihak Red Carpet dan Penganjur mendapat pulangan kewangan seperti yang dirancang menerusi pengiklanan dan lain-lain sumber.

Syahrul Nasrun Bin Dato’ Kamaruddin yang juga ipar kepada Takiyuddin Hassan telah menggunakan pengaruhnya untuk mendapat sokongan daripada UMNO Kelantan. Bagaimanapun, UMNO Kelantan yang telah sedar dan akur dengan kemelut politik PAS Kelantan yang sedang memuncak waktu itu dikatakan telah tidak selesa dengan cadangan kehadiran Presiden mereka untuk merasmikan Fiesta Kelantan. Tambahan pula nanah dari luka melihat bekas Presiden mereka, Abdullah Ahmad Badawi di perli, di hina oleh ucapan Tok Guru sewaktu merasmikan ECER masih berkuping parutnya.

Tentu sekali UMNO Kelantan mahu Presiden baru mereka hadir demi semangat Satu Malaysia tetapi tidak mahu Presdien mereka menerima semburan yang sama seperti Presiden lama mereka. Di dalam pada itu  kabel menantu Nik Aziz terus gagah melampaui UMNO Kelantan dan berjaya mendapat persetujuan PM untuk hadir.

Bagi Jabatan Perdana Menteri dan bagi Perdana Menteri sendiri, kehadirannya adalah sesuatu yang amat baik. Inilah Satu Malaysia. PM sendiri tentu  menanti peluang dia sepentas dengan Nik Aziz kerana itulah kepimpinan Satu Malaysianya dan ini dapat dirasai bila pada jam 9.14 am 16 Jun 2010 YAB Perdana Menteri menggunakan perkhidmatan twitter dan menghantar mesej ini,

‘Baru tiba di Kota Bharu untuk meluangkan masa sehari bersama rakyat di Kelantan, termasuk di Karnival Kelantan Fiesta malam nanti.’

Apa yang terjadi selepas itu sudah diketahui umum. Penyokong PAS dan peminat Nik Aziz tentu yakin kemungkaran besar telah berlaku. Nik Aziz telah dikecewakan maka ribut petir telah melanda Kota Bharu. PM kembali ke Kuala Lumpur tanpa hadir ke Majlis Perasmian Fiesta Kelantan.

Syahrul Nasrun telah menjelaskan keadaan kepada media sehari selepas kekecohan berlaku bila Kerajaan Negeri memulaukan Fiesta Kelantan ,

KOTA BHARU: Penganjur Karnival Kelantan Fiesta 2010, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd (Red Carpet) menafikan membelakangkan kerajaan negeri dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap sempena majlis perasmian karnival berkenaan, malam kelmarin.

Pengerusi penganjur, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata keputusan itu memang pada asalnya sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak iaitu Red Carpet dan kerajaan negeri untuk memberi penghormatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan ucapan perasmian.

Katanya, ia adalah cadangan sejak awal lagi dan kerajaan negeri turut memaklumkan kepada mereka bahawa Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dijemput hadir untuk merasmikan majlis.

“Red Carpet sudah mencadangkan sejak awal bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi ucapan dan seterusnya merasmikannya.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri memaklumkan Pemangku Raja dijemput hadir jadi kami bersetuju baginda yang akan merasmikan majlis namun ucapan perasmian tetap dilakukan Perdana Menteri.

“Jadi tidak timbul Red Carpet membelakangkan kerajaan negeri dan tidak membenarkan Menteri Besar berucap kerana ini memang keputusan kita dari awal dan turut dipersetujui kedua belah pihak,” katanya ditemui media selepas perasmian itu di sini, kelmarin.

Penganjur terbabit diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri memboikot majlis perasmian itu apabila mereka menarik balik beberapa acara dijadualkan. (Di sini)

Dan Sinar Harian melaporkan seperti berikut,

KOTA BHARU – Tidak pernah timbul isu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dibenarkan berucap pada majlis perasmian di Kelantan Fiesta 2010 kerana perjanjian asal hanya dua individu yang akan berucap pada majlis itu.

Penganjur Karnival Kelantan Fiesta 2010, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, dua pihak yang diberikan peluang untuk berucap pada majlis itu ialah wakil daripada penganjur iaitu RedCarpet Worldwide dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perasmi karnival.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah silap faham berhubung karnival empat hari yang menelan belanja RM1.8 juta itu apabila menganggap RedCarpet Worldwide sebagai pengurus projek (event manager) manakala Kerajaan Negeri sebagai penganjur program.

Beliau berkata, kekeliruan itu telah menyebabkan Kerajaan Negeri cuba bertindak sebagai penganjur dengan cuba mengatur setiap perjalanan program karnival itu termasuk jemputan tetamu kehormat pada malam perasmian.

“Saya difahamkan Kerajaan Negeri telah mensalahtafsirkan RedCarpet Worldwide sebagai pengurus projek dan Kerajaan Negeri sebagai penganjur yang berhak menentukan setiap perjalanan karnival,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 di sini, malam kelmarin.

Shahrul berkata, RedCarpet Worldwide adalah penganjur dan segala keputusan berhubung karnival itu termasuk jemputan tetamu kehormat adalah bidang tugas mereka dan mereka juga yang berhak menentukannya.

“Bagaimanapun setiap pendapat yang disuarakan oleh Kerajaan Negeri dalam karnival itu, seperti menjemput Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra merasmikan majlis itu tetap diambil kira oleh pihak kami,” katanya.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed sebagai wakil kepada Perdana Menteri yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan pegawai-pegawai agensi yang menyertai program tersebut.

Shahrul Nasrun berkata, isu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan tidak dibenarkan berucap pada majlis itu juga sepatutnya tidak timbul.

“Ini kerana mengikut perancangan asal majlis perasmian itu ialah hanya RedCarpet Worldwide yang akan berucap sebagai penganjur diikuti ucapan Perdana Menteri sebagai perasmi program,” katanya.

Bagaimanapun katanya hasil perbincangan sebelum ini Kerajaan Negeri telah menyuarakan pandangan untuk menjemput Pemangku Raja Kelantan sebagai merasmikan karnival itu dan RedCarpet Worldwide menerima pandangan itu selain bersedia mengubah perjalanan majlis perasmian dengan Tengku Mahkota Kelantan sebagai perasmi bagi memberi penghormatan.

“Kami (RedCarpet Worldwide) bersedia menerima cadangan kerajaan negeri itu dan sekiranya Tengku Mahkota Kelantan mencemar duli hadir ke majlis perasmian itu maka baginda yang akan menjadi perasmi termasuk menyempurnakan upacara perasmian dengan meletakkan replika tetapi ucapan perasmian tetap diberikan kepada Perdana Menteri.

“Tetapi pada hari terakhir sebelum perasmian (semalam) kami mendapat maklum bahawa Kerajaan Negeri memulaukan majlis perasmian dengan alasan pihak penganjur telah melanggar perjanjian asal dengan tidak membenarkan Menteri Besar berucap pada majlis perasmian dan pada saya kerajaan negeri mungkin keliru dengan perkara ini (perjalanan majlis perasmian),” katanya.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan seperti berikut,

KOTA BHARU 22 Jun – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pengurusan acara, Red Carpet Worldwide Sdn. Bhd. (Red Carpet) berhubung kenyataan syarikat itu terhadap kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sedang mengkaji semua aspek perundangan sebelum tindakan itu diambil.

Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil kerana syarikat berkenaan melanggar perjanjian dan mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjejaskan imej kerajaan negeri.

“Program yang dianjurkan ini adalah hasil persefahaman di antara agensi kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan Red Carpet.

“Hasilnya, pada 24 Julai tahun lalu diadakan pra pelancaran Kelantan Fiesta yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Selepas itu, satu perjanjian antara Red Cerpet dan kerajaan negeri dimeterai pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur yang menetapkan agensi kerajaan negeri PMBK sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010,” katanya menggulung perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri penggal ketiga di sini hari ini.

Sebelum ini, majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 pada 16 Jun lalu menimbulkan kontroversi apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak hadir kerana pengurusan Red Carpet tidak membenarkan Nik Aziz untuk berucap.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri terpaksa mengambil alih majlis perasmian program tersebut daripada PMBK kerana ia satu program yang besar melibatkan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apakah ini satu sandiwara? Sama-samalah kita lihat kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyaman Red Carpet ini. Atau Kerajaan Negeri Kelantan rupa-rupanya pandai bermain sandiwara. Saya sememangnya tahu PAS Kelantan hebat bermain sandiwara.

AirAsia Yang Tidak Bermoral, Tidak Patriotik

Siapakah yang berada dibelakang AirAsia sehingga Syarikat Penerbangan Tambang Murah itu sanggup melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak patriotik.

Pada 8 Jun 2010, YB Wee Choo Keong dalam postingnya memberikan soalan yang dikemukakannya di Parlimen seperti berikut,

Tuan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) minta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada Kementeriannya maklum tindakan AirAsia (AA) menyimpan cukai Lapangan Terbang (Airport Tax) yang telah dikutip dari penumpang sedangkan penumpang itu gagal menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Berapakah jumlah keseluruhan cukai tersebut yang disimpan oleh AA serta apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian bagi memastikan AA menyerahkan cukai yang dipungut itu kepada MAHB tanpa berlengah lagi.

Jawapan dari Kerajaan kepada YB Wee Choo Keong adalah seperti berikut,

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pengangkutan sedia maklum bahawa AirAsia menyimpan cukai lapangan terbang (Passenger Service Charge – PSC) yang telah dikutip daripada penumpang, sedangkan penumpang itu gagal menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Mengenai jumlah keseluruhan cukai lapangan terbang yang disimpan, Kementerian akan memberi maklumat tersebut secara bertulis memandangkan Kementerian masih menunggu maklumat tersebut daripada pihak AirAsia.

Berhubung penyerahan kutipan cukai lapangan terbang tersebut kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) / Kerajaan, Kementerian sedang merangka polisi dan prosedur yang baru supaya selaras dengan seksyen 8 Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002), untuk memastikan syarikat penerbangan Malaysia termasuk AirAsia memulangkan kutipan tersebut kepada MAHB/Kerajaan.

AirAsia tidak memulangkan kembali harga tiket kepada penumpang yang gagal menaiki pesawat atau tiba pada waktu yang ditetapkan. Terkandung di dalam harga tiket itu juga ialah Cukai Lapangan Terbang yang di bayar oleh penumpang. Cukai Lapangan Terbang itu bukan hak AirAsia oleh yang demikian, AirAsia sepatutnya tidak menyimpan wang tersebut. Ia ada dua pilihan iaitu memulangkan semula kepada penumpang memandangkan penumpang tidak menggunakan perkhidmatan seperti dijadualkan atau menyerahkannya kepada agensi kerajaan.

Mengapa tiada tindakan terhadap AirAsia dan pengarah-pengarahnya? Tindakan AirAsia ini yang Kerajaan Pusat sedia maklum adalah suatu yang amat tidak bermoral dan tidak patriotik.

Sebagai warganegara Malaysia, saya mendesak Kerajaan Malaysia supaya memaksa AirAsia menyerahkan wang itu segera kepada Kerajaan dan di masa hadapan, AirAsia hendaklah memulangkan segera kepada penumpang tanpa berlengah.

AirAsia tidak boleh dibenarkan mengguna atau mengaut keuntungan dari wang yang bukan hasilnya.

Mansuhkan UPSR Dan PMR, Bijak!

Jika benar Kerajaan Pusat mempunyai keberanian untuk memansuhkan dua peperiksaan awam ini, maka ini adalah satu reformasi pendidikan, revolusi yang dinantikan.

Saya yakin Kementerian Pendidikan boleh meyakinkan Kerajaan bahawa taraf pendidikan negara akan lebih baik tanpa dua peperiksaan awam yang dipaksa ke atas pelajar ketika berusia 12 tahun dan 15 tahun.

Peperiksaan di peringkat tahap enam sekolah rendah dan di peringkat tingkatan 3 sekolah menengah hanyalah untuk mendiskriminasikan di tahap nasional pelajar-pelajar. Supaya yang pandai dan yang tidak pandai boleh kategorikan secara nasional. Apa guna pendiskriminasian ini bila kita sendiri tahu bahawa taraf keintelektualan kanak-kanak dan remaja berkembang pada tahap yang berbeza-beza.

Pendiskriminasian untuk tujuan mengklasifikasikan supaya ilmu yang hendak diturunkan kepada mereka dapat dibuat sesuai dengan tahap penerimaan mereka, cukup boleh dibuat di peringkat sekolah menerusi peperiksaan dalam darjah dua kali setahun atau mungkin lebih baik hanya sekali setahun.

Pendiskriminasian nasional menerusi tahap enam dan tingkatan tiga juga telah meninggalkan parut psikologi yang tidak sihat kepada kanak-kanak dan remaja. Mereka akan tertekan dan tersisih jika mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan akibat persepsi keluarga dan masyarakat seterusnya mengakibatkan mereka turut diklasifikasikan oleh masyarakat.

Penghapusan dua peperiksaan awam ini juga sudah pasti dapat mengembalikan roh kanak-kanak dan remaja ke dalam diri para pelajar dan seterusnya mempertingkatkan tahap kreativiti mereka. Saya juga yakin mutu sukan negara juga pasti akan meningkat dengan penghapusan dua peperiksaan ini.

Tanpa dua peperiksaan ini, tidak boleh dibayangkan betapa bebanan yang dihapuskan dari dipikul oleh jiwa kecil itu. Bahkan tekanan yang amat besar juga dihapuskan dari dipikul oleh para pendidik. Bukankah dengan terhapusnya bebanan itu sekolah akan menjadi satu pusat ilmu yang ceria?

Tidakkah kita mahu anak-anak kita membesar di dalam suasana yang ceria?

6 juta Dan Baru Ada Line Streamyx

“Tanah ini Taman Rohani, Jasmani Ayah bersemadi, dan bunga berpuisi…” Taman Rohani, Iklim

Dua minggu lepas, kita telah mencecah hits ke enam juta. Kebetulan pula berdekatan dengan Musim World Cup. Kebetulan juga saya mula-mula blogging masa musim World Cup 2006. Empat tahun dan enam juta. Terima kasih kepada semua pengunjung.

Sekarang bulan Rejab. Bermula Isnin minggu yang lalu, ramai termasuk keluarga saya mula berpuasa Rejab. Ada yang akan berpuasa terus sehingga menjelang Syawal. Mengingatkan saya kepada arwah datuk saya, Syed Razak yang sekembalinya dari Mekah, berpuasa terus-terusan sehingga hampir tiga puluh tahun dan hanya berhenti pada hari-hari di haramkan berpuasa. Teringat Tok Imam Sallehuddin Masjid Paya Rambai pernah menegurnya di suatu majlis kenduri, kata Tok Imam Sallehuddin, “Tok Abiq weh, lama kan tak ada syurga nak letak Tok Abiq sebab puasa banyak sangat…” katanya nada berseloroh. Apa tidaknya, akibat berpuasa berterusan, hubungan sosialnya dengan masyarakat menjadi semakin terbatas. Tetapi saya dapati kerana berpuasa bukan sahaja dari lapar dan dahaga tetapi dari dalam banyak perkara lain juga, kesihatan menjadi begitu stabil sehingga ke akhir hayatnya.

Kebelakangan ini saya turut berpuasa dari memblog untuk beberapa ketika. Puasa protes kerana telah hampir 5 bulan memohon talian streamyx dimasukan ke kediaman saya tetapi terus mendapat respons yang pelik-pelik dari TM. Akhirnya berkat usaha seorang rakan yang tidak mahu melihat saya terus berpuasa, talian Streamyx disambungkan juga akhirnya. dan saya berazam untuk kembali blogging sekerap mungkin setiap kali saya berada di rumah.