Skip to content

Archive for March, 2010

Tu Diaaaaaaa Bhg 2 : Tauke ‘Derma’ Kekal Mursyidul Am PAS

“… Dan bahawasanya Jutapan Sdn Bhd dengan pendaftaran No: 156857-D adalah sebagai ‘Pemohon’ bagi tanah seluas 500 Ekar yang berada di Mukim Pulai daerah Galas Jajahan Gua Musang. Dan bahawasanya telah dipersetujui bersama diantara pihak tuan dan kami untuk memberi sumbangan derma seperti berikut:

  • Sumbangan tunai kepada “PASTI” dengan jumlah sebanyak RM 350,000 (tiga ratus lima puluh ribu genap).

Sumbangan derma ini akan diderma keluar bagi pihak tuan, setelah kelulusan oleh projek permohonan Jutapan Sdn Bhd dari pihak Jawatan Kuasa Pertanian Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa Negeri Kelantan. Dengannya persetujuan tersebut, syarikat kami berharap pihak tuan dapat memaklumkan surat persetujuan kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Pertanian Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa…”

Itulah cebisan daripada surat yang keluar daripada Mr. Pee Ching Chuan kepada Wan Mohd Jamil Bin Wan Mahmood, Pengarah PASTI Negeri Kelantan, yang pada 31 Oktober 2000. Pasti ialah Pusat Asuhan Tunas Islam, sebuah institusi dotrinasi anak-anak kecil oleh PAS.

Beratus-ratus pucuk surat dengan format yang sama juga dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang menjadi pemohon tanah balak kepada Pengarah Agensi Kerajaan Negeri, Pengarah Urusan NGO yang mesra kerajaan, Wakil-Wakil Rakyat, Exco bahkan Menteri Besar dan Timbalannya sepanjang 20 tahun pentadbiran ulamak bernama Nik Abdul Aziz di Kelantan.

Dalam bahasa pasar, ‘lu bagi gua itu balak, gua ‘derma’ lu duit untuk lu punya kocek…”

Lihat modus operandi ini,

  • Pemohon akan punya penaung.
  • Penaung akan bantu pemohon untuk dapat kelulusan.
  • Sebagai imbuhan kerana menolong, pemohon akan beri sejumlah wang kepada penaung.
  • Penaung ada hubungan rapat dengan pihak yang meluluskan permohonan.
  • Penaung dan pihak yang memberi kelulusan adalah entiti yang sama.

Bukankah itu rasuah namanya? Bersama-sama ini saya lampirkan beberapa pucuk surat yang ada diserahkan kepada saya oleh pembaca blog ini yang sudah muak dengan sikap hipokrit PAS Kelantan di bawah kepimpinan Nik Aziz.

Di dalam majalah Pengasuh bilangan 355 keluaran Jun 1967, Ustaz muda bernama Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat ada menulis,

“Islam sejak dulu sampailah sekarang, bahkan hingga bila-bila pun, tidak akan meletakkan taraf ekonomi sebagai perkara pertama dalam agenda pembangunan manusia…”

“Di atas dasar inilah maka Islam berjalan begitu lancar sekalipun perekonomian Muhajirin begitu meleset dan dikalangan Ansar sendiri begitu kucar kacir kerana sebagaimana diketahui dunia orang yang memegang tampuk ekonomi di zaman awal Islam dahulu ialah Yahudi yang menjadi musuh ketat Islam sejak dahulu sampai sekarang.”

Bergerak diatas premis inilah, Nik Aziz rela melihat rakyat Kelantan dirundung kemiskinan kerana baginya pembangunan ekonomi tidak penting. Tetapi yang peliknya, hasil mahsul kekayaan negeri di sifon keluar olehnya untuk Parti PAS dan jenteranya. Lebih buruk lagi, anak-anak kecil mereka pun rela mereka doktrinkan dengan menggunakan duit rasuah.

Apakah di atas kehebatan ini, PAS sekali lagi mengangkat Nik Aziz sebagai Mursyidul Amnya untuk tempoh lima tahun lagi?

Kickdefella Di Forum Terbuka

Saya akan bercakap di forum terbuka buat pertama kalinya setelah ditamatkan kontrak oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Semenjak selepas saya membuat sidang media berhubung penamatan lebih awal kontrak saya di pertengahan November 2010 saya telah menolak pelbagai pelawaan dari pelbagai pihak untuk memberi saya platfom baru meluahkan pandangan saya tentang pelbagai isu termasuk Menteri Besar Kelantan dan Pentadbiran PAS Kelantan.

Platform tersebut termasuklah memberi saya ruangan di akhbar tempatan, menjemput saya untuk ditemubual di televisyen dan memberi saya ruang di pentas ceramah politik dan bukan politik.

Saya juga mengelak untuk menemui mana-mana pimpinan dari pelbagai parti politik walaupun mendapat pelbagai jemputan terutama sekali dikalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Saya juga menolak tawaran untuk berkhidmat dengan sebuah Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya juga menolak untuk terlibat dengan perniagaan yang ditawarkan oleh beberapa ahli perniagaan yang rapat dengan pimpinan Pembangkang dan atas gesaan pimpinan parti tersebut.

Kali terakhir saya dilihat dalam ruangan politik secara terbuka ialah ketika saya mengiringi YB Dato’ Haji Husam untuk sidang media dibangunan Parlimen dan mengkoordinasi dan mengiringi beliau dan pimpinan-pimpinan iaitu YB. Sallahudin Ayub, YB Dr. Hatta Ramli dan YB Dr. Dzulkifli Ahmad untuk pertemuan dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Langgak Golf. Itu semua sehari sebelum kontrak saya ditamatkan. Ironinya, antara tugasan pertama saya bila berkhidmat dengan YB Husam ialah membina dan meluruskan laluan perhubungan diantara YB Husam dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Hari ini tamatlah tempoh edah yang saya kenakan ke atas diri saya. Minggu ini juga genaplah tiga tahun pertemuan sulong saya dengan YB Husam.

Oleh kerana saya ingin hidup di ruang aman ini, maka saya memaksa diri saya untuk berdiri di atas garisan kelabu. Insya Allah di atas garisan kelabu itu saya akan terus berdiri.

Malam ini saya akan bercakap disebuah forum berhubung Tuntutan Royalti Minyak Kelantan. Dan saya akan berkongsi cerita mengenai Kerbau dan Kucing bagi memulakan fasa baru ini.

Terima kasih diatas sokongan dari para pengunjung blog ini.

Kelantan Incapacitated

Apabila saya menulis bahawa Krisis Istana Kelantan yang tercetus adalah berpunca dari penafsiran perkataan ‘incapacitated’, banyak pihak mempersendakan saya. Bahkan ada yang mengajar saya melihat kamus.

Tafsiran incapacitated tidak boleh dibuat berdasarkan kamus, ia perlu berdasarkan tafsiran perundangan dan ia perlu konsisten dengan penggunaan perkataan tersebut didalam undang-undang dan jika ada precedent atau tafsiran yang telah dibuat terhadap kes-kes terdahulu. Oleh yang demikianlah saya menyeru tafsiran tersebut dibuat dari aspek perundangan.

Malangnya, pihak Kerajaan Negeri dan fraksi Tengku Mahkota Kelantan lebih suka mempertikaikan keadaan semasa KDYMM Tuanku Al Sultan. Keadaan semasa Al Sultan tidak boleh menjadi ukuran selagi kita tidak punya alat untuk mengukur. Alat untuk mengukur ialah tafsiran incapacitated.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, polemik yang berlaku adalah mutlak kerana tafsiran ‘incapacitated’ dan ia juga akan menjadi isu hujah-hujah cetek untuk 24 jam seterusnya.

Mengapa tafsiran itu penting? Lihatlah kenyataan-kenyataan oleh pihak Kerajaan Negeri dan fraksi Tengku Mahkota Kelantan.

“Berikutan daripada keingkaran Yang Maha Mulia Pemangku Raja mematuhi titah perintah Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sebarang bentuk perayaan termasuk penganugerahan darjah-darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan rasmi ke-60 baginda Sultan Kelantan serta di atas kegagalan Yang Maha Mulia Pemangku Raja memelihara, melindungi dan mempertahankan kehormatan diri dan Perlembagaan Negeri Kelantan, maka Duli Maha Mulia Sultan Kelantan dengan ini menamatkan pelantikan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja,” kata beliau pada sidang media di Istana Mahkota, Kubang Kerian.” (penuh di sini)

Itu adalah kenyataan bertulis yang dibaca oleh Setiausaha Sulit KDYMM Al Sultan Kelantan yang kini berada dalam tahanan polis Kelantan.

Apa yang berlaku selepas kenyataan itu diedarkan kepada media ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan,

“Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. (penuh di sini).

Apa yang di perkatakan oleh Artikel 11 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan adalah seperti berikut;

“No decision of the Council of Succession shall be valid and binding unless at least two-thirds of the members present and voting agree thereto.”

Masalahnya Setiausaha  Kerajaan Negeri Kelantan telah cuba mengaburi apa sebenar yang dimaksudkan oleh Artikel 11 (1) itu. Ini kerana Artikel 11 (1) merujuk kepada Artikel-artikel sebelumnya yang memperincikan peranan Majlis Perajaan apabila berhadapan dengan kemangkatan Al Sultan.

Ianya bermula di Artikel 8 (1) seperti berikut;

“Immediately after death or abdication of the Sovereign, or loss of his Sovereignty under the provision of this Part, as the case may be, the State Secretary shall, on the instruction of the President, convene by notice in writing to each Member, to be delivered at his address in the State, a meeting of the Council of Succession at a time and place to be stated in the notice and it shall be duty of each member of the Council to attend at such time and place unless his absence is excused by the President for such reason as the President shall deem to be good and sufficient.”

(artikel seterusnya dari 8 (2) hingga 10 (2) membicarakan hanya proses pengesahan waris menjadi Al Sultan yang baru, hak-hak Majlis Perajaan Negeri menolak waris dari ditabalkan, alternatif kepada waris yang boleh ditabalkan dan tanggungjawab ahli Majlis.)

Oleh yang demikian, ianya adalah terang dan jelas bahawa Artikel 11 (1) yang dirujuk oleh Setiausaha Kerajaan Negeri adalah merujuk kepada jika berlaku kekosongan kepada tahta.

Adakah berlaku kekosongan kepada tahta? Jawapannya tidak. Undang-undang tubuh negeri hanya mensyaratkan Majlis Perajaan Negeri bersidang ketika berlaku kekosongan terhadap tahta dan satu lagi seperti disebut di dalam Artikel 22A (3);

“In case of the incapacitation of the Sovereign the Council of Succession shall appoint a Regent or Council of regency as to them seem most expedient and if it shall be necessary to appoint a Council of Regency the provisions of Clauses (2) and (3) of Article XIX of this Part shall apply to such appointment.”

Tiada lain-lain peruntukan di dalam undang-undang tubuh negeri mengkehendaki Majlis Perajaan Negeri bersidang.

Halim Hamad Pengelola istana pula berkata kepada media,

“Pelantikan Tengku Abdul Aziz tidak ikut Perlembagaan negeri kerana untuk sebarang pelantikan dan pemecatan ianya memerlukan dua pertiga persetujuan daripada ahli Majlis Perajaan Negeri dan bukannya daripada seseorang,” katanya. (penuh di sini)

Saya keliru dari peruntukan mana di dalam undang-undang tubuh negeri yang dirujuk oleh Halim.

Undang-udang tubuh negeri tidak menjelaskan sebarang persidangan perlu dipanggil oleh Majlis Perajaan Negeri bagi menamatkan pemangkuan kerana Artikel 22 A (5) jelas berbunyi;

“Such Regent or Council of Regency shall cease to act upon the return of the Sovereign to the State or upon His recovery from incapacitation or His ceasing to hold the office or execise the functions of Yang di-Pertuan Agong as the case may be.”

Maka jelaslah bahawa apa yang dikatakan oleh Halim adalah tidak dituntut oleh Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan.

Apa yang harus kita pertikaikan bagi mengesahkan sama ada terlucut atau tidak Pemangkuan oleh Tengku Mahkota ialah menafsirkan maksud incapacitation dari aspek perundangan dan bukan dari aspek kamus Oxford atau kamus Dewan.

Ia harus dilakukan oleh pakar.

His recovery from incapacitation…” kalau ikut perundangan. Apakah Tuanku sudah pulih dari keadaan yang menyebabkan Majlis Perajaan Negeri terpaksa melantik Pemangkuan mengikut Artikel 22 A (3).

Jika KDYMM Sultan sudah pulih, siapakah yang akan perlu menentukannya kerana Majlis Perajaan Negeri tidak dikehendaki oleh undang-undang tubuh negeri menjadi pihak yang mengesahkan Sultan sudah pulih.

Pada 3 March 2010, Dr. Tang Kok Foo, Consultant Neurologist dan Physician   yang memantau keadaan Tuanku Al Sultan memberi laporan berikut terhadap status kesihatan Tuanku;

“(D) Full wakefulness and awareness with good speech, hearing, memory and Cognitive Skills.”

Tafsiran Cognitive Skills adalah

Cognitive skills are any mental skills that are used in the process of acquiring knowledge; these skills include reasoning, perception, and intuition. Mid-continent Research for Education and Learning (1998) describes the importance of cognitive skills in acquiring literacy skills:”

Majlis Perajaan Negeri akan bersidang hari ini. Saya berharap sebarang keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan ada pula pihak yang mempertikaikannya sehingga wujud pula 2 Majlis Perajaan Negeri.

Wujud Konspirasi?

Laporan polis pernah dibuat tetapi tidak tahu setakat mana siasatan pihak polis sehingga ke hari ini.

Nota

Posting ini tidak di tulis dengan sebarang niat untuk menghasut dan mempengaruhi mana-mana pihak supaya marah dan bertindak ganas dan melanggar undang-undang tubuh. Ia juga tidak berniat memperkecilkan mana-mana pihak. Ia ditulis berdasarkan pemahaman terhadap Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan.

Segala komen yang berunsur hasutan, mengeji atau menghina mana-mana pihak dan menggunakan loghat yang boleh menimbulkan kekeliruan tidak akan diluluskan.

Dua Pemangku Raja

Dan Setiausaha Sulit Tuanku ditahan polis. Sementara itu berikut adalah beberapa laporan berita menarik yang seperti telah saya jangkakan dan seperti yang terkandung dalam cakera padat rakaman audio oleh Shukri Mohamad.

KOTA BARU,  25 Mac — Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengadakan sidang khas dalam usaha menyelesaikan kemelut dalaman isu istana Kelantan yang semakin meruncing sekarang ini.

Pengerusinya, Abdullah Yaacob, berkata langkah itu penting memandangkan isu itu tidak berkesudahan walaupun ia berlarutan sejak sekian lama.

Beliau yang juga ADUN Air Lanas berkata, cadangan itu timbul berikutan pihaknya menerima pandangan pelbagai lapisan masyarakat supaya kemelut itu dapat diselesaikan segera.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan supaya DUN Kelantan mengadakan siding khas dalam usaha menyelasaikan isu berkenaan yang tidak berkesudahan hingga kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kemelut istana dikatakan tercetus selepas beberapa pihak mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra, selepas menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura 24 Mei tahun lalu dan selepas Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Menurut Abdullah, sudah sampai masanya pihak berkenaan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelesaikan kemelut dalaman istana itu memandangkan ia terus berlarutan dan tidak berkesudahan.

“Saya mencadangkan pihak kerajaan dan Speaker DUN (Kelantan) supaya membuat sidang DUN khas dalam waktu terdekat ini bagi menangani masaalah ini,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini rakyat juga ingin tahu suatu keputusan dibuat berasaskan kebenaran dan keadilan mengikut undang-undang.

Menurut beliau, BBC yakin bahawa Pemangku Raja berada di pihak yang benar.

Sehubungan itu, BBC juga turut menyokong dan sentiasa berada di belakang kepimpinanan kerajaan negeri yang menyatakan taat setia kepada pemerintah yang sah mengikut perlembagaan Negeri Kelantan.

“BBC mengharapkan dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) supaya keharmonian negeri dan rakyat Kelantan sentiasa terpelihara tanpa gangguan mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini,  kerajaan negeri telah melantik 10 pakar perubatan yang telah disahkan mempunyai kelayakan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Menurutnya, semua pakar yang dilantik itu telah melakukan pemeriksaan ke atas Sultan Kelantan dan telah memutuskan bahawa baginda masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas memerintah negeri.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sebarang keputusan yang dibuat oleh MPN adalah terpakai dan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan.

Abdullah berkata, setakat ini MPN masih bertegas Sultan Kelantan masih gering dan Pemangku Raja kekal memangku tugas sebagai pemerintah negeri Kelantan. — Bernama

Benarkah Pemangkuan Masih Wujud Dan Sultan Masih Tidak Boleh Memerintah? Satu Pemahaman Mudah Perundangan

Update

Petang semalam saya dimaklumkan bahawa, YBM Dato’ Seri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri dititah mengadap Kebawah Duli Tuanku. Bersaksikan Mufti Negeri Kelantan dan beberapa pihak lain, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra telah menitahkan agar pemangkuan fungsi Sultan oleh anakandanya Tengku Muhammad Faris Petra ditamatkan serta merta.

Tengku Abdul Aziz kemudian telah menghubungi Tengku Muhammad Faris bagi memaklumkan hal tersebut. Kemudiannya Tuanku sendiri telah bertitah kepada anakanda Baginda dan Tengku Faris diminta mengadap Ayahandanya selewat-lewatnya petang ini.

Pada petang kelmarin juga, Pengelola Istana Halim Hamad telah memanggil satu sidang media dan membaca apa yang dikatakan kenyataan media dari YTM Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Bernama menjelang senja.

Antara lain kenyataan itu mengatakan bahawa Tuanku masih gering dan Tengku Muhammad Faris masih Pemangku Raja. Pengelola Istana membaca kenyataan ini walaupun selepas Tuanku sudah bertitah bahawa pemangkuan telah tamat.

Hari ini, Dato’ Wan Hashim, Setiausaha Sulit KDYMM Al Sultan Kelantan, di dalam sidang media di Istana Mahkota Kubang Kerian di mana Al Sultan Kelantan bersemayam, membaca kenyataan bertulis yang antara lain menyebut sebab-sebab mengapa Tengku Mahkota ditamatkan dari pemangkuan fungsi Sultan.

Sejurus selepas membaca kenyataan bertulis itu, Setiausaha Sulit Tuanku mengumumkan bahawa Tuanku turut bertitah bahawa YBM Dato’ Seri Utama Raja Tengku Abdul Aziz telah dilantik sebagai Pemangku Raja yang baru.

Kepada Allah kita berserah semoga apa yang berlaku hari ini adalah penamat kepada satu polemik yang membingungkan rakyat bukannya satu permulaan kepada krisis undang-undang tubuh negeri yang akan berlarutan hingga ke Mahkamah.

Semoga Kelantan tidak akan mempunyai 2 Pemangku Raja dan 2 Tengku Mahkota.

Posting Asal

Saya setuju dengan kekanda blogger Mohd Sayuti Omar yang menggesa supaya ‘Semua Pihak Perlu Kembali Kepada Perlembagaan Tubuh Negeri’.

Tetapi saya hanya dapat bersetuju dengan tajuknya sahaja kerana kandungan postingnya menyeleweng daripada Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan Kelantan.

Artikel 1 undang-undang tubuh Negeri Kelantan mengatakan “… the Laws of The Constitution of Kelantan shall be read subject to Federal Constitution”.

Raja-Raja Melayu sudah bersetuju menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘the supreme law’ dan jika ada sebarang percanggahan di antara Perlembagaan Negeri, undang-undang atau enakmen yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan maka ia dengan sendirinya terbatal.

Bolehkan Sultan Diturunkan Dari Tahta

Di dalam Undang-Undang Pelembagaan Tuboh-Kerajaan Kelantan tidak ada satu artikel, atau peruntukan yang membenarkan seorang Sultan digugurkan tahta melainkan dengan kehendak dan kerelaan Tuanku Al Sultan sendiri.

Artikel 23 (1) menyebut antara lain, ‘Seorang Sultan tidak boleh berada di luar negeri untuk tempoh lebih 12 bulan berterusan dan sekiranya ini berlaku, pengganti harus di pilih sejajar dengan peruntukan perlembagaan melainkan Majlis Perajaan Negeri mendapati ianya mempunyai alasan  dan sebab yang kukuh dan boleh diterima’.

Artikel 23 (3) pula menyebut (1) tidak boleh digunapakai sekiranya beradanya Tuanku diluar negeri adalah kerana dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agung.

Artikel 24 (1) pula menyebut, ‘Sultan boleh secara sukarela mengosongkan dan turun dari tahtanya yang bererti menyerahkan segala hak dan kuasanya.

Tiada sebarang peruntukan yang membenarkan KDYMM Sultan diturunkan dari tahta tanpa kerelaannya. Sebaliknya Perlembagaan Persekutuan mempertahankan hak Raja-Raja Melayu dan undang-undang Malaysia mengenakan hukuman berat kepada sebarang usaha untuk menurunkan Yang DiPertuan Agung, Raja-Raja Melayu dan Yang DiPertua Negeri dari tahtanya.

Sebarang usaha menurunkan Sultan menerusi proses undang-undang iaitu menerusi Pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan di dalam Dewan Negeri, jika dilakukan akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan akan terbatal.

Bagaimana sekiranya Sultan itu hilang upaya fizikal dan mental?

Tiada sebarang peruntukan di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan yang menyebut bahawa seorang Sultan perlu atau boleh diturunkan dari tahta sekiranya Baginda mengalami sebarang kecacatan kekal, hilang keupayaan fizikal atau mental atau lumpuh sepenuh badan atau sebagainya.

Sebaliknya ada peruntukan yang membolehkan seorang pewaris Sultan tidak diangkat sebagai Sultan sekiranya Majlis Perajaan Negeri mendapati pewaris Sultan itu tidak sesuai diangkat kerana antara lain masalah fizikalnya dan lain-lain sebab yang tidak dibenarkan melalui Hukum Syarak.

Artikel 8 (2) antara lain menyebut Majlis Perajaan boleh menolak waris tersebut sekiranya, ‘…the council shall consider him to have some great and serious defect derogatory to the quality of a sovereign such as infirmity, blindness, dumbness or possessing some base qualities on account of which he would not be permitted by Hukum Shara’ to become Sovereign Ruler’.

Antara lain ini bererti Undang-Undang Tubuh Negeri melindungi seorang Sultan daripada didiskriminasikan dari terus menduduki tahtanya setelah perlantikannya sebagai Sultan disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.

Oleh yang demikian, dari sudut Undang-Undang Negeri, tiada pihak boleh mempertikaikan kesahihan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra adalah Al Sultan dan Yang Di Pertua Negeri Kelantan Darulnaim dan semua jajahan naungannya. Sebarang masalah kesihatan yang mengakibatkan Kebawah Duli Tuanku gering tidak boleh dari segi perundangan dijadikan pertikaian atas persemayaman Tuanku di tahtanya.

Majlis Perajaan Negeri

Sejak konflik istana Kelantan tercetus, kita sering mendengar sebutan Majlis Perajaan Negeri atau di dalam Bahasa Inggeris di panggil sebagai The Council of Succession of Kelantan.

Pentingnya Majlis Perajaan Negeri boleh dilihat dari segi kedudukannya di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh Negeri. Majlis ini mendahului lain-lain kerabat DiRaja di dalam undang-undang tubuh negeri.

Ini kerana Artikel 6 menyebut antara lain ‘tiada siapa boleh ditabalkan sebagai Sultan melainkan telah terlebih dahulu perlantikannya disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri’.

Oleh yang demikian, ianya adalah satu Majlis yang amat penting dalam sistem Raja Berpelembagaan di peringkat negeri.

Ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri adalah mengikut undang-undang tubuh terdiri daripada,

  • Presiden
  • Timbalan Presiden

Setiausaha Kerajaan negeri adalah menjadi Setiausaha Majlis Perajaan Negeri.

Ahli-ahli lain ialah 4 orang Kerabat D’Raja dan tidak kurang dari empat dan tidak lebih dari lapan orang yang hendaklah berketurunan Melayu dan rakyat kepada Sultan di negeri berkenaan.

Ahli Majlis Perajaan yang disebut diatas hendaklah dilantik oleh KDYMM Al Sultan sendiri dan bukan oleh pihak lain.

Peranan Majlis Perajaan Negeri adalah mengesahkan Sultan yang baru sebaik sahaja setelah kemangkatan Sultan sebelumnya. Artikel 11 (1) menyebut, ‘No decision of the Council of Succession shall be valid and binding unless at least two-thirds of the members present and voting shall agree thereto’.

Pemangkuan Raja

Artikel 22A (1) menjelaskan peruntukan-peruntukan yang membolehkan pemangkuan diwujudkan di dalam negeri, iaitu sebab-sebabnya,

a)    ‘If the Sovereign shall have occasion to be absent from the State for more than thirty days; or

b)   ‘If the Sovereign shall be incapacitated from attending to the affairs of the state; or

c)     ‘If the Sovereign is elected to the office, or exercise the functions, of the Yang di-Pertuan Agong for a period exceeding fifteen days’.

Peruntukan (a) dan peruntukan (c) dalam Artikel 22A(1) Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan adalah jelas tetapi peruntukan (b) adalah samar dan memerlukan tafsiran.

Apakah maknanya ‘…incapacitated from attending to the affairs of the state’? pelbagai pihak boleh memberi tafsirannya berdasarkan bias masing-masing. Oleh yang demikian, eloklah dibiarkan tafsiran dibuat oleh pihak yang diberi peruntukan untuk membuat tafsiran ini oleh undang-undang tubuh negeri ini.

Bagaimanapun, jika dibaca peruntukan seterusnya di dalam artikel yang sama kita mungkin dapat sedikit gambaran tafsiran incapacitated.

Artikel 22 A (2) antara lain menyebut jika Baginda Sultan bercadang keluar negara seperti tersebut dalam peruntukan (a) artikel ini, Tuanku hendaklah melantik Pemangku atau Majlis Pemangkuan untuk menjalankan ‘… His functions during His absence from the State’.

Tetapi Artikel 22 A (3) bagaimanapun menyerahkan tugas melantik Pemangku dalam kes Artikel 22A (1) (b) kepada Majlis Perajaan Negeri. Ia berbunyi;

In the case of the incapacitation of the Sovereign the Council of Succession shall appoint a Regent or Council of Regency as to them most expedient and if it shall be  necessary to appoint a Council of Regency the provisions of Clauses (2) and (3) of Article 19 of this Part shall apply to such appointment’.

Artikel 22 A (4) mengembalikan kuasa melantik Pemangku kepada Sultan dalam kes Artikel 22 A (1) (c) yang mana bila Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agung.

Berdasarkan ketiga-tiga klausa ini, beerti dari segi Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri salah satu keadaan incapacitated ialah dimana Tuanku tidak boleh bertitah di antara lainnya boleh dikatakan sebagai dalam koma atau tidak waras. Jika setakat itu sahaja tafsiran incapacitated di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh Negeri, bererti hari ini Tuanku sudah diluar keadaan tersebut berdasarkan surat daripada pihak Pakar dari Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Kegagalan berjalan atau berhadapan dengan umum disebabkan keadaan fizikal lain tidaklah boleh dijadikan alasan meneruskan pemangkuan kerana Artikel 22 A (5) jelas tercatat bahawa;

‘Such Regent or Council of Regency shall cease to act upon the return of the Sovereign to the State or upon His recovery from incapacitation or His ceasing to hold the office or exercise the functions of Yang di-Pertuan Agong as the case may be’.

Di dalam sepucuk surat bertarikh 15 Januari 2010 yang ditandatangani oleh YTM Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mahkota telah meminta Dr. Kelvin Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif  Hospital Mount Elizabeth menjelaskan keadaan kesihatan Tuanku, antara lainnya tertulis dalam surat tersebut;

‘I also wish to know if  the Sultan is presently competent to perform his duties as a ruler…’

‘I also wish to request the appropriate medical reports be furnished to me as the Regent …… as to the Sultan present competency to make informed decisions which a ruler has to make with regard to the affairs of the State of Kelantan.’

Untuk itu, pihak Hospital di Singapura menjawab pada 1 Februari 2010,

“ …the Sultan is currently capable of making His own decisions.’

Berdasarkan jawapan itu pada 18 Februari 2010, YTM Tengku Mahkota Kelantan mengarahkan peguamnya, Zul Rafique & Partners bertindak bagi pihaknya dalam mendapat lebih banyak maklumat dari pihak di Singapura.

Apakah Kuasa Sultan Dalam Negeri

Undang-Undang Perlembagaan Tuboh-Kerajaan menyebut dalam Artikel 10;

‘The executive authority of the State shall be vested in His Highness but executive functions may by law be conferred on other persons or authorities.

Antara lain ia jelas bermaksud, kuasa mentadbir negeri hanya ada pada Sultan tetapi kuasa melaksanakan hal-hal pentadbiran boleh diamanahkan kepada individu atau pihak lain.

Artikel 15 (2) antara lain menyebut, ‘Baginda boleh bertindak di atas pertimbangannya bagi fungsi-fungsi eksekutif…’ dan diantaranya ialah (e) perlantikan warisnya dan pemangku atau majlis pemangkuan.

Persoalannya ialah adakah dengan wujudnya pemangkuan, executive authority digalas oleh pemangku atau pemangku sekadar melaksanakan executive functions.

Pemahaman Kuasa Pemangku

Menurut Shukri Mohamad dalam rakaman audio yang telah tersiar di blog ini, individu yang diberi kuasa memangku mempunyai kuasa setaraf dengan individu yang dipangku jawatannya.

Secara peribadi saya merasakan jika itu benar, maka ia melanggar semangat dan prinsip pemangkuan.

Dalam rumusan kampung, kita boleh andaikan saya sebagai tuan punya sawah padi dan saya mempunyai barisan pekerja menjalankan tugas-tugas menanam padi. Geran dan hak milik tanah adalah diatas nama saya. Diatas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa meninggalkan kampung untuk suatu jangkamasa dan atas sebab demikian, saya melantik anak saya untuk menjalankan tugas saya.

Anak saya sudah tentu tidak ada kuasa mutlak untuk menjual tanah sawah saya kepada pemaju untuk aktiviti pembangunan walaupun dia memangku tugas saya. Ini kerana dia ‘memangku tugas’ dan bukannya mengambil alih peranan saya sebagai tuan punya sawah.

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa Pemangkuan adalah memangku tugas-tugas atau fungsi seorang Sultan tetapi dia tidak memangku kuasa seorang Sultan.

Di atas sebab itu juga undang-undang tubuh negeri di dalam artikel 22 B jelas menyebut antara lainnya, ‘imbuhan yang dibayar kepada Pemangku Raja tidak boleh melebihi imbuhan yang dibayar kepada seorang Sultan.’ Di dalam artikel yang sama juga memberi gambaran tugas pemangkuan sebagai, ‘… to exercise the prerogatives of and perform the duties of the Sovereign….’

Tambahan pula Al Sultan di panggil dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sedangkan pemangkunya sebagai Yang Maha Mulia. Ini sudah menunjukkan perbezaan di antara Sultan dan Pemangku Sultan.

Shukri Mohamad juga jelas mengelirukan kita dengan tafsirannya berhubung pewaris tahta dan jelas mendiskriminasikan pewaris-pewaris tahta yang lainnya.

Artikel 28 undang-undang tubuh negeri juga jelas menekankan bahawa, Tengku Mahkota atau pewaris tahta tidak mempunyai sebarang kuasa dengan ayat berikut;

“The Heir shall have no authority whatsoever to take part nor may interfere in any affairs of the State or Government, excepting only when he shall have the command of Sovereign generally or in any particular case or as may be authorised under this Part and this provision shall apply also to the other heirs.’

Pengurniaan Darjah Kebesaran

Artikel 43 (1) undang-undang tubuh negeri jelas menyebut bahawa;

‘KDYMM ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran dan kehormatan.”

Ini bagi saya adalah jelas Kuasa Eksekutif seorang Sultan. Sebaliknya menandatangani persetujuan terhadap undang-undang negeri adalah melaksanakan fungsi eksekutif.

Kesimpulan saya, Kuasa Eksekutif tidak boleh dipangku, sebaliknya apa yang boleh dipangku ialah fungsi-fungsi eksekutif seorang Sultan.

Kesimpulan

Tafsiran yang jelas perlu dibuat ke atas kalimah ‘incapacitated’ dan bukannya keadaan fizikal Tuanku Al Sultan Kelantan. Apabila jelas apa yang dimaksudkan dengan kalimah itu dalam undang-undang tubuh negeri, maka segala kekeliruan boleh diperjelaskan.

Segala yang tercatat didalam posting ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya setelah merujuk kepada beberapa pihak yang arif dengan institusi Raja di Kelantan. Suka saya ingatkan, semua pihak boleh membuat tafsiran berdasarkan pemahamannya tetapi tafsiran yang akan diambil kira ialah tafsiran Mahkamah.

Rakaman Audio Halim Dan Shukri

Berikut adalah pautan kepada rakaman audio majlis bersama media oleh Halim Hamad dan Shukri Mohamad yang intipatinya pernah saya catatkan didalam posting saya bertajuk “Usaha Menabalkan Sultan Yang Baru Dalam Proses”.  Pautan ini saya terima petang semalam.

Saya difahamkan rakaman yang sama didalam bentuk cakera padat juga sedang diedarkan dengan meluas di Negeri Kelantan setelah satu laporan polis dibuat ke atas penulis blog ini oleh pihak-pihak yang terbabit dengan Halim Hamad.

Tahu Tapi Tak Percaya

Memanda Menteri yang menderhaka. Itulah dia Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Sebelum saya siarkan surat di bawah, saya cabar Menteri Besar Kelantan untuk memberitahu apakah titah KDYMM Al Sultan Kelantan kepada MB dan barisan exconya sewaktu mereka diizinkan mengadap Tuanku Sultan pada minggu lepas.

Bukankah Tuanku Sultan ada bertitah sesuatu yang amat penting? Mengapa Nik Aziz dan barisan exconya senyap kelu seribu bahasa? Mengapa tidak dijunjung titah Tuanku itu? Itulah dia penderhaka.

Ini jawapan kepada Memanda menteri yang derhaka, iaitu daripada pakar perubatan yang membuat penilaian secara profesional dan yakin bahawa KDYMM Tuanku Al Sultan Kelantan mampu membuat keputusan sendiri. Kalau begitu, apa yang dititahkan oleh Tuanku kepada Menteri Besar dan barisan exconya minggu lepas perlulah di ambil kira.

Laporan Polis Terhadap Kickdefella

Kata orang, kalau takut dipukul ombak, mengapa berumah ditepi pantai?

Semalam beberapa laporan polis telah dibuat ke atas blog Kickdefella oleh Halim Bin Hamad dan seorang lagi pegawainya, Beberapa ketika yang lepas, laporan polis juga telah dibuat ke atas Halim Bin Hamad. Seeloknya kesemua laporan polis disiasat dengan telus dan adil. Ini kerana keselamatan tahta KDYMM Raja-Raja Melayu adalah tidak boleh digugat. Sebarang usaha untuk menurunkan Raja-Raja Melayu dari tahta adalah menjadi satu kesalahan besar. Oleh yang demikian sayugia saya bertanya berhubung segala yang disebut dan diperkatakan oleh Halim Bin Hamad dan Shukri Bin Mohamad kepada media pada malam rakaman suara seperti yang saya terima dalam cakera padat itu di buat,

(i) Adakah Halim Bin Hamad hadir dalam majlis itu atas kapasiti rasminya dan dengan arahan istana Kelantan.

(ii) Segala kenyataan yang dibuat oleh Shukri Bin Mohamad adakah atas kapasiti rasmi dan dengan kebenaran Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Ini kerana apa yang disebut dalam rakaman itu jelas menunjukkan satu penjelasan berhubung usaha

(i) yang sedang dibuat untuk menurunkan KDYMM Al Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dari tahta dan singgahsana Negeri Kelantan Darulnaim.

(ii) lalu Shukri Bin Mohamad telah menyeret sama nama baik YTM Tengku Mahkota Kelantan dengan kononnya dia (Shukri) terpaksa melakukan semua ini untuk menjamin kedudukan YTM Tengku Mahkota sebagai pewaris tahta.

(iii) Shukri Bin Mohamad menceritakan kepada pihak media-massa kononnya YTM Tengku Mahkota Kelantan merungut seolah tidak sabar untuk menaiki tahta dengan cara menyebut semula apa yang kononnya titah YTM Tengku Mahkota kepada beliau.

Kesimpulannya, menerusi rakaman cakera padat itu saya faham dengan jelas apa yang dipertuturkan oleh Shukri Bin Mohamad dan saya hairan mengapa Halim Bin Hamad beria-ria mahu nama mereka berdua tidak disabitkan dengan apa yang mereka lafazkan pada malam tersebut. Saya tidak menhina atau menulis sesuatu dengan tujuan mengelirukan mana-mana pihak. Saya menulis supaya semua pihak jelas faham apa yang berada dihadapan kita. Saya akan pertahankan kedaulatan istana Kelantan kerana itu adalah tanggungjawab rakyat Malaysia dan orang-orang Melayu. Jika kita mengharapkan institusi Raja untuk mempertahankan hak dan keistimewaan kita, maka kita perlu juga mempertahankan kedaulatan intitusi tersebut.

Undang-undang Malaysia jelas seperti berikut,

UNDANG- UNDANG MALAYSIA.

KANUN KESEKSAAN, AKTA 574

BAB VI

KESALAHAN TERHADAP NEGARA

Kesalahan-kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri

Barang siapa merancang, mengada-ada, mereka-reka, berikhtiar atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan Yang di-Pertuan Agong daripada pertuanan Malaysia atau perlucutan atau pemecatan Raja, bakal-bakal atau pengganti-penggantinya, atau Yang di-Pertua Negeri daripada pemerintahan sesebuah negeri, atau mempertakutkan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana negeri dengan jalan kekerasan jenayah atau dengan menunjukkan kekerasan jenayah, hendaklah diseksa dengan penjara seumur hidup dan bolehlah juga dikenakan denda.

Sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai kesalahan-kesalahan terhadap seksyen 121, 121A, 121B, 121C oleh seseorang yang terpaksa memberitahu.

Barang siapa yang ketahui atau yang ada sebab mempercayai bahawa apa-apa kesalahan yang boleh diseksa di bawah seksyen 121, 121A, 121B atau 121C telah dilakukan, dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan itu, yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 973 other followers