Skip to content

Archive for January, 2010

Tahniah Zul, Takziah Rais

Saya ucapkan tahniah kepada YB. Zulkifli Noordin diatas ketegasannya mempertahankan pendirian dan prinsipnya terutama didalam hal-hal berhubung akidah sebagai seorang Islam.

Berkali-kali YB. Zulkifli telah dengan berani membelakangkan pendirian parti demi mempertahankan apa yang dipercayainya benar dan terbaik untuk Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Malaysia.

Di dalam suasana politik hari ini, berapa keratkah ahli politik yang mempunyai pendirian teguh seperti YB. Zulkifli? Tidak ramai, kerana mereka yang berpegang peguh kepada prinsip diri tidak akan selesa berada didalam mana-mana parti politik yang sering mahukan perjuangan untuk kepentingan parti lebih atas dari perjuangan membela rakyat.

Saya akan berjalan seiring dengan YB. Zulkifli Noordin dengan penuh rasa bangga kerana keutuhannya. Saya harap YB. Zulkifli akan terus tabah.

Malang pula dengan wakil rakyat dari BN yang juga Bapak Menteri bernama Rais Yatim. Saya teramat kesal mendengar sendiri di kaca TV kenyataan Rais apabila mengulas kes maki hamun dan tulisan tidak bertamadun blogger Aduka Taruna terhadap saudara seagama yang telah meninggal dunia.

Rais Yatim seharusnya lebih tahu bahawa dia tidak sepatutnya campur tangan didalam siasatan polis. Laporan polis telah dibuat ke atas blogger berkenaan. Blogger berkenaan telah menyerah diri untuk membantu siasatan polis terhadap tuduhan ke atasnya. Biarlah pihak polis yang menjalankan tugas.

Berdasarkan undang-undang Malaysia, kita pernah mendakwa beberapa orang kerana meninggalkan komen tidak manis kepada KDYMM Sultan Perak di ruang siber.  Mengapa pula kita harus menerima sahaja permohonan maaf Aduka Taruna?

Mungkin Rais harus berfikir semula dan seterusnya memohon maaf kepada pihak Polis, kepada Kaum Kerabat Al Marhum Sultan Johor dan rakyat Malaysia kerana cuba campur tangan di dalam siasatan polis dengan cadangannya semalam.

Saya yakin, Rais berniat jujur atau ingin menunjukkan sikap toleransi di dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia sekarang. Dan ini bukan kes Rais mahu meraih beberapa undi dari kaum kerabat Aduka Taruna di Negeri Sembilan.

Tetapi Rais mungkin terlupa, toleransi ada batasnya dan di dalam isu perundangan, biarlah proses perundangan berjalan tanpa diganggu gugat kedaulatannya oleh kenyataan Bapak Menteri.

Rumah Kelantan Jalan Stonor : Menantu Tak Jual, Dia Bagi Free Saja

Saya cuba untuk tidak mengkritik Menteri Besar Kelantan kerana dia seorang yang tidak boleh dikritik. Tetapi apakan daya, saya rasa Tuan Guru Menteri Besar Kelantan sudah tidak lagi sedar apa yang diperkatakannya dan sudah ingat-ingat lupa banyak benda.

Di dada akhbar-akhbar hari ini terbentang nasihat Nik Aziz kepada pimpinan Pakatan Rakyat seperti berikut, 

KOTA BARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yesterday reminded Pakatan Rakyat leaders that they risk losing their hold on power if they let corruption become their culture

He said Parti Keadilan Rakyat and DAP leaders, who controlled state governments in Selangor and Penang, should not use their position to enrich themselves or their cronies. 

“I have to remind them because they are new to governing the states. If they adopt the culture of corruption, I fear they will lose power as the people will reject them.” 

He said this after holding a reception for a group of 70 PKR members from the Indian community in Kapar, Selangor, at the menteri besar’s official residence here. Their two-day visit to Kelantan was organised by Kapar member of parliament S. Manikavasagam. 

Nik Aziz said his advice to his allies was based on his experience as a state government leader for almost 20 years. 

“They are new and at an early stage of tasting power. I hope that power will not lull them into complacency and self-indulgence at the expense of providing service to the people. 

“Pakatan Rakyat leaders should not be upset with my reminder because I am an old hand in politics.

”They have only been in power for about two years, whereas I have been running the state government for 20 years,” he said. 



Kenyataan Nik Aziz ini tentu meloyakan banyak pihak kerana kebelakangan ini telah terbongkar pelbagai kisah yang besertakan fakta-fakta berhubung amalan kronisme, nepotisme dan juga rasuah di dalam Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah hampir 20 tahun di terajui oleh Nik Aziz. Antaranya yang sudah terbongkar dan akan terus terbongkar ialah isu-isu berkaitan dengan Razak Abas, Roshaimi Razak, Nudin Awang dan anak menantu Nik Aziz sendiri seperti Nik Abduh dan Abdul Ariffahmi.

Sebelum ini heboh bagaimana Nik Aziz mendakwa Nudin Awang yang disebut akan menajanya, isterinya dan anaknya dengan pakej RM65 ribu sekepala ke Mekah, tidak pernah menerima sebarang projek dari Kerajaan Negeri. Malangnya, telah terbongkar seminggu kemudian bahawa syarikat di mana Nudin adalah Ahli Lembaga Pengarah telah menerima berpulu-puluh ribu ekar tanah balak dari Agensi Kerajaan di mana Nik Aziz adalah pengerusinya atas kapasitinya sebagai MB Kelantan. 

Kemudian kecoh pula soal menantunya yang Nik Aziz lantik sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Dan di dalam berita yang sama hari ini, Nik Aziz turut berkata seperti berikut, 

Nik Aziz also denied a claim that the state government has sold “Rumah Kelantan”, a state-owned official residence located in Kuala Lumpur’s Golden Triangle.

He said the Rumah Kelantan site in Jalan Conlay would be redeveloped into an 18-storey building.

 

Bernama yesterday published a report on its website quoting Kota Baru Umno chief Datuk Fatmi Che Salleh as saying that Rumah Kelantan had been sold to a businessman and the proceeds from the sale were used to cover the state government expenditure. 
 


He said it was a complicated process for the state government to get the project off the ground. 

”My son-in-law (Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, who is chief executive officer of Kelantan Menteri Besar Incorporated) had to shuttle between Kelantan and Kuala Lumpur many times to complete the various procedures regarding the project.“  di petik dari NST Online.

Yang jelas ialah Nik Aziz berkata, menantunya tidak menjual tanah tapak Rumah Kelantan di Jalan Stonor kepada pemaju. Apa yang Nik Aziz tidak kata atau nafikan bahawa menantunya telah memberi secara percuma tanah itu kepada pemaju seperti tanah tapak Bazar Tok Guru. 

Apakah ini benar? Saya suka mendengar bagaimana Exco-Exco Kelantan yang bijak Ekonomi memberi penjelasan terlebih dahulu.

Sejarah Dan Muzium

Barang yang dah tinggal sejarah, kalau masih elok, letakkan sahaja di dalam muzium. Cerita sejarah pula, elok juga dibukukan, ramai yang boleh baca dan cuba belajar dari sejarah. Anak kuli yang tinggal sejarah, kalau boleh di recycle, boleh buat jadi baja organik, supaya bukan sahaja dia kekal sebagai ‘mesra alam’ tetapi ia juga tidak akan makan tuan dengan sisa-sia toksik yang mungkin ada.

Tapi kini apa ‘kan daya,
 Aku hanya insan biasa,
 Pada Tuhan aku berserah, Menyerah diri di atas sejadah

Harimau mati meninggalkan belang.

Disebalik lafaz kepada Allah, bacaan Yassin dan Fatihah, terkenang saya lagu di atas bila tersebarnya berita kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar, yang mangkat malam Jumaat lalu pada usia 77 tahun. Almarhum Baginda adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyatnya.

Bila Artis Menafsir Angka

Selalunya lebih jujur dan peka daripada seorang ekonomis.

Karya seni lahir dari keikhlasan seorang seniman. Tanpa keikhlasan, sebuah karya itu tidak akan ke mana. Begitu kata guru saya di Universiti.

Bazar Tok Guru di bina di atas sebidang tanah seluas 5.9 ekar di Jalan Sultan Ibrahim di Kota Bharu yang turut dirancang untuk dibina Kompleks Madinatul Raudhah.

Seperti yang terkeluar dari mulut Tok Guru Nik Aziz pada 6 Mac 2008, “PMBK tidak berorientasikan keuntungan” sebaliknya bertujuan untuk membantu para peniaga dan penjaja sudah diarah berpindah dari pusat operasi mereka sekarang.

Hari ini pakar ekonomi berkata, Kerajaan Kerajaan tidak rugi,

“Mengeluarkan pendahuluan untuk membeli aset sebanyak 23 juta, bukan bermakna kerugian. Tidak sama sekali.

Perjanjian antara PMBK dengan Sensa Timur telah tertandatangani. Sensa Timur akan membina sebuah Bazar tiga tingkat dengan perbelanjaan syarikat. Tingkat satu dan dua yang dianggarkan bernilai RM 40 juta akan diserahkan kepada PMBK. Pulangan untuk Sensa ialah tanah seluas 6 ekar beserta tingkat bawah Bazar tersebut. Sebahagian tanah pula akan digunakan sebagai jalan untuk laluan baru dan juga kegunaan awam yang lain.

Nilai Bazar tingkat bawah itu ialah RM 23 juta.”

Berdasarkan perkiraan di atas Kerajaan akan memperolehi RM40 juta dari tingkat 1 dan 2 Bazaar itu dan akan memperolehi RM23 juta daripada tingkat bawah yang akan dibeli pada harga pasaran daripada pemaju yang dilantik oleh PMBK sendiri.

Maka Kerajaan akan memperolehi RM63 juta.

Kerajaan Kelantan dikata sebelum ini akan rugi RM50 juta. Ini adalah dengan kerana pembelian balik tingkat bawah dari pemaju dan pemberian tanah bernilai lebih kurang RM25 juta secara percuma selama 99 tahun kepada pemaju tanpa Kerajaan Negeri mendapat apa-apa daripada pembinaan di situ selain mungkin hasil mahsul biasa seperti cukai.

Maka angka RM63 juta dari di tolak angka RM50 juta dapatlah lebih RM13 juta.

RM13 juta di tolak pula RM4,750,000 premium, bererti projek itu membawa keuntungan berjumlah lebih RM8 juta untuk 99 tahun. Atau keuntungan bernilai RM83 ribu setahun atau lebih kurang RM7,000 sebulan atau RM233 sehari. Lebih kurang imbuhan purata seorang artis sederhana di Malaysia.

Semua keuntungan ini dipungut hasil pemberian wang dan tanah benilai lebih kurang RM50 juta itu kepada pemaju.

Karya seni juga lahir daripada jiwa sensitif seorang seniman didalam menafsirkan subjek yang berada dihadapan atau disekelilingnya.

Dari manakah keuntungan ini akan diperolehi? Adakah daripada pemaju yang kaya raya?

Malangnya tidak. Kerajaan Negeri memberi RM50 juta kepada pemaju yang sudah banyak mendapat wang dari Kerajaan Negeri tetapi mengaut keuntungan pula daripada para peniaga yang sudah ditimbuni pelbagai masalah.

Tingkat bawah Bazar Tok Guru akan menempatkan gerai-gerai berukuran lebih kurang 6 kaki kali 7 kaki. Sebanyak 383 buah unit semuanya. Kerajaan Negeri mensasar mendapat RM23 juta darinya. Bererti setiap unit perlu ditolak kepada peniaga dengan harga RM60 ribu setiap satu.

Tingkat satu menempatkan 255 unit gerai dengan keluasan 8 kaki kali 10 kaki setiap satu yang akan dijual dengan harga RM92 ribu seunit.

Tingkat dua pula menempatkan 242 unit dengan keluasan 8 kaki kali 10 kaki setiap satu. Ianya akan dijual kepada peniaga pada harga RM84 ribu setiap unit.

Apakah ini satu pembelaan untuk rakyat atau pembelaan untuk pemaju?

Saya hanya seorang artis.

Penjarakan Kickdefella Dibawah Akta Rahsia Rasmi

PAS akhirnya mahu memartabatkan Akta Rahsia Rasmi?

Satu-satunya peguam di dalam barisan exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga seorang yang saya amat sanjungi, YB. Dato’ Takiyuddin Haji Hassan hari ini menggesa satu disiasatan dibuat bagi mengenal pasti sumber pemberi maklumat berhubung ‘kesilapan teknikal’ menantu Tuan Guru yang mengakibatkan Kerajaan Negeri Kelantan rugi hampir RM50 juta.

Sebagai anak Kelantan yang cintakan rakyat Kelantan, saya bersetuju dengan saranan Dato’ Takiyuddin walaupun ini bererti saya berkemungkinan dipenjarakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Utusan Malaysia di sini melaporkan antara lain,

Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan bagaimana keputusan mesyuarat Exco negeri itu berhubung pembelian aras bawah Bazar Tok Guru di sini boleh bocor kepada pihak tertentu.

Beliau yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri turut hairan bagaimana pemilik laman blog Kickdefella memperoleh maklumat tersebut kerana keputusan mesyuarat pada Rabu lalu itu masih belum disahkan.

Justeru, beliau meminta Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjalankan siasatan tentang kebocoran maklumat tersebut kerana ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)

“Keputusan ini dibuat pada Rabu lepas dan minit mesyuaratnya pun belum disahkan lagi, soalnya bagaimana maklumat ini boleh bocor.

‘‘Saya minta Menteri Besar supaya menjalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat ini kerana kita bimbang akan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya pada masa depan,” katanya di sini hari ini.

Namun begitu saya ingin tahu adakah ini adalah kenyataan rasmi PAS Kelantan dan pendirian rasmi Parti PAS.

Setahu saya barisan pembangkang sudah lama menentang penggunaan Akta Rahsia Rasmi kerana sebab-sebab yang mereka sendiri mengetahuinya.

Apakah kali ini Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti PAS mahu bersembunyi disebalik tirai besi Akta-Akta yang mereka tentang sekian lama bagi menghalang rakyat mengetahui perkara yang sebenar?

Sebagaimana yang saya maklumkan, saya sedia disiasat dan saya sedia menerima hukuman cuma saya minta, demi kepentingan rakyat Kelantan, janganlah pula mereka yang ‘melakukan kesilapan teknikal’ hingga memaksa Kerajaan Negeri membayar pampasan untuk menjaga air muka Menteri Besar terlepas begitu sahaja sebab dia adalah Menantu Menteri Besar Kelantan.

Saya akrab dengan hampir semua barisan exco Kerajaan Negeri Kelantan dan hampir kesemua mereka mempunyai nombor telefon saya. Oleh yang demikian, hampir semua mereka boleh dituduh sebagai suspek yang membocorkan rahsia Kerajaan Negeri kepada saya termasuklah YB. Dato’ Takiyuddin Haji Hassan sendiri. Yang jelas, bukan YB. Dato’ Haji Husam Musa yang memberi maklumat itu kepada saya.

Rakyat Kelantan Kehilangan RM50 Juta Angkara Almenantunya Nik Aziz Bernama Ariffahmi

Akibat langsung daripada kepandaian terlampau Almenantunya Nik Abdul Aziz, mesyuarat exco Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya yang lalu telah memutuskan untuk membayar sejumlah RM23 juta ringgit dari wang hasil pendapatan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta.

Pembayaran yang telah dipersetujukan itu adalah bagi menyelamatkan beberapa titik air muka YAB Menteri Besar Kelantan daripada tertumpah akibat dituduh cakap tak serupa bikin.

Pada 6hb Mac 2008, iaitu dua hari sebelum pilihanraya umum ke 12, YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MOU) bagi pihak Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan 2 buah persatuan perniaga dan penjaja di sekitar Kota Bharu. Di antara lain, kandungan MOU itu menjanjikan bahawa Projek Bazaar Tok Guru yang akan dimajukan oleh PMBK adalah sebuah projek tidak berorientasikan keuntungan. Ia lebih kepada hasrat murni MB untuk melihat para penjaja dari pasar lambak arked UDA dan peniaga pasar lama MPKB mendapat tempat baru yang lebih selesa untuk meniaga.

Tetapi, seperti yang didedahkan didalam blog ini sebelum ini, Almenantunya Nik Abdul Aziz yang bernama Abdul Ariffahmi Ab Rahman telah dengan penuh rendah diri memperhambakan harta kerajaan kepada pemaju swasta bernama Sensa Timur Sdn Bhd.

Ariffahmi yang memakai gelaran Ir. tanpa ditauliahkan untuk menurunkan tandatangan sebagai seorang jurutera profesional telah masuk ke dalam rundingan dengan Sensa Timur Sdn Bhd bagi memajukan sebidang tanah Kerajaan Negeri di Jalan Sultan Ibrahim iaitu tapak lama Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. Tanah seluas 5.9 ekar itu pada asalnya dirancang untuk dimajukan sendiri oleh PMBK bagi pembinaan Hotel dan Servis Apartmen Madinatul Raudhah.

Di dalam perjanjian yang amat bijaksana oleh Almenantunya Nik Abdul Aziz, seluas 1.5 ekar diperuntukan untuk pembinaan Bazaar Tok Guru. Baki 4.4 ekar yang bernilai hampir RM30 juta pula dipindah milik selama 99 tahun kepada Sensa Timur Sdn Bhd sebaik sahaja Bazar Tok Guru disiapkan oleh Sensa Timur. Apa yang PMBK dapat daripada perjanjian itu, hanyalah tingkat 2 dan 3 bangunan Bazar Tok Guru itupun selepas PMBK membayar balik sepenuhnya pinjaman RM5.5 juta yang Almenantunya yang bijaksana pinjam bagi PMBK dari pemaju Sensa Timur itu. PMBK dan Kerajaan Negeri tidak akan mendapat apa-apa keuntungan daripada sebarang aktiviti pembangunan di tanah seluas 4.4 ekar tersebut selama hampir satu abad.
Apabila dipersoalkan oleh seorang exco kewarasan untuk masuk perjanjian dengan Sensa Timur, Almenantunya berkata ia adalah kerana Sensa Timur telah bersetuju untuk menderma bagi sekolah Tok Guru di Pulau Melaka. Sekolah tersebut diuruskan oleh anak-anak lelaki Nik Aziz.

Antara punca kecurigaan di dalam pemberian kontrak kepada Sensa Timur ialah kerana sebelum ini Sensa Timur telah membina Bazar Tengku Anis yang menghadapi banyak rungutan daripada peniaga. Diantara alasan mengapa peniaga tidak mahu berpindah ke situ ialah kerana ruang niaga yang amat sempit. Akibatnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam terpaksa mengambil tindakan ‘Islamik’ dengan satu aksi ‘bail out’ berjumlah lebih kurang RM18 juta kepada Sensa Timur berserta pemberian tapak dan bangunan Pasar Lama MPKB di tengah-tengah bandar kepada Sensa Timur dengan hanya berharga RM3.8 juta sahaja.

Urusan ‘Islamik’ MPKB Bandar Raya Islam kepada Sensa Timur ini menimbulkan seribu satu pertanyaan, kebetulan pula di dalam proses Membangun Bersama Islam, seorang mak Datin dari pihak Sensa Timur mempunyai hubungan amat intim dengan Datin Sabariah, isteri Tuan Guru Nik Aziz dan ibu mertua kepada Almenantunya. Apatah lagi abang ipar Almenantunya yang menjolok dirinya sebagai Al Fadhil Nik Abduh Bin Dato’ Nik Abdul Aziz duduk sebagai Ahli Majlis MPKB Bandar Raya Keluarga Islam Pulau Melaka.

Di dalam waktu yang sama, Al Fadhil abang ipar ini yang juga ahli lembaga pengarah sebuah lagi agensi milik Kerajaan Negeri telah memindah nombor pendaftaran PAS 17 miliknya dari SUV CRV ke sebuah MPV bernilai lebih kurang RM240,000. Al Fadhil juga dilaporkan baru membeli rumah kedai bernilai RM500,000 di Rantau Panjang.

Sebelum Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah bersetuju untuk memberikan tingkat 1 (tingkat bawah) Bazar Tok Guru sebagai tempat penempatan semula para penjaja dan peniaga yang akan berpindah ke situ dari tapak lama mereka di Arked UDA dan Pasar Lama MPKB. Apabila Almenantunya membuat perjanjian yang bijaksana yang berorientasikan keuntungan maha besar sebagai hantaran kasih sayang kepada Bapa Mertuanya, para peniaga ini telah diarahkan membeli ruang niaga di tingkat 2 dan 3 sahaja. Tingkat bawah telah Almenantunya berikan kepada Sensa Timur dan termaktub di dalam perjanjian.

Membangun Bersama Islam mesti cakap serupa bikin. Jadi para exco terpaksa bertungkus lumus mencari penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan air muka Tok Guru yang masih beranggapan Almenantunya adalah lelaki muda terhebat di Kelantan. Kemelut ini akhirnya terhumban ke atas bahu YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yacob.

MB berhadapan dengan tindakan saman oleh Sensa Timur jika ianya bertindak dengan tidak menghormati perjanjian PMBK dengan Sensa Timur. Almenantunya pula sudah mengambil deposit dari pihak-pihak yang diberi diskaun membeli ruang niaga di tingkat 2 dan 3 Bazar Tok Guru. Akhirnya Kerajaan PAS Kelantan yang dilantik oleh rakyat untuk membela rakyat terpaksalah mengambil RM23 juta dari kantung kecil Perbendaharaan Negeri untuk membayar pampasan kepada Sensa Timur Sdn Bhd.

Maka akan larilah bajet sebanyak RM23 yang sepatutnya digunakan untuk faedah rakyat yang mengundi dalam Pilihanraya Umum ke 12 lalu.

Kerajaan Negeri akan kehilangan hampir RM50 juta. Hampir RM30 juta ialah kehilangan dari hasil pemberian tanah Kerajaan Negeri kepada Sensa Timur dan RM23 juta kerana menebus maruah Tok Guru dengan mengambil balik tingkat bawah Bazar Tok Guru. Ini adalah jasa besar Almenantunya Nik Aziz yang bernama Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Siakap Senohong
Gelama Ikan Duri
Menantu kaki bohong
Namanya Ariffahmi.

Kapak Besi Terbang Untuk Kickdefella

Jam 10:50 malam tadi sebuah kenderaan berhenti dihadapan rumah saya dan melemparkan kapak besi ke arah kereta saya.

Kapak berukuran hampir 12 inci itu mengenai cermin belakang kereta saya dan terpelanting lebih 2 meter.

Ketua Polis Kota Bharu, Ketua Siasatan Jenayah Kota Bharu serta pihak media hadir untuk melihat tempat kejadian.

Tengahari tadi saya diberitahu oleh seorang ahli sebuah parti politik  berhubung ada pihak mencari saya dan mengugut untuk memukul saya kerana posting saya yang negatif terhadap keluarga Menteri Besar Kelantan dan sebuah syarikat swasta.

Saya sudah membuat laporan polis dan terserah kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

Usah Biarkan Husam Kosongkan DUN Salor

Sewaktu awal kemelut politik Kelantan setelah saya ditamatkan kontrak, khabar-khabar angin mula kencang tentang YB. Dato’ Haji Husam Musa akan mengosongkan jawatan exco yang disandangnya. Ia bermula setelah pertemuan Husam dengan Tuan Guru MB yang berakhir dengan kedua-dua mereka menangis dan Husam mengambil cuti beberapa hari.

Antara mesej yang Husam sampaikan kepada saya waktu awal-awal kemelut itu ialah, “langit belum runtuh, kalau runtuh, ambo pun tertimpa sama tak sempat angkat bendera putih.”

Jawapan saya pada Husam, “Dato’ yakin matlamat boleh menghalalkan cara, tetapi bagi saya yang haram tetap haram, kalau nak buat, buatlah tetapi jangan cakap ia tak haram.”

Di situlah tergendalanya persahabatan kami yang dibina untuk dunia dan akhirat sehinggalah ke detik ini. Bertemu kami tidak tidak lagi selain berkali-kali di dalam mimpi saya sahaja.

Beberapa hari yang lalu, saya bertemu seorang exco yang saya sanjung tinggi dan dia berkata pada saya, “Sheih, pergilah jumpa Husam, dia menangis tiap kali orang sebut nama Sheih depan dia…”

“Saya pun menangis sama Dato’….” kata saya.

Benar, sehingga hari ini bila melintas dihadapan restoran Jepun, air mata saya akan menitis dengan sendiri. Saya elakkan ke Surya KLCC dan ke Bangsar. Belum masanya saya menjadi Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku.

Saya masih ingat ketika kami melangkah keluar dari pejabatnya satu petang sebulan selepas saya bekerja dengannya, Husam bertanya tentang keadaan ibu saya setelah saya pulang bekerja di Kelantan, kata saya, “Kalau dia jumpa Dato’, mesti dia peluk cium Dato’ sebagai tanda terima kasih.”

Benar, urusan Husam dan saya bukan sekadar urusan dunia, ia urusan akhirat juga.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya berjaya lepasi segala cabaran kewangan kerana bekerja dengan Husam bukan untuk dunia tetapi untuk akhirat.

Pada awal-awal dulu, banyak pihak menawarkan saya pelbagai ganjaran termasuk imbuhan RM5,000 sebulan dan saya jawab pada mereka, “Tanya Husam, kalau Husam benarkan saya ambil, baru saya akan ambil.” Mereka tidak pernah lagi kembali kepada saya dengan isu yang sama.

Satu malam saya gempur Husam dirumahnya, “Dato’…” kata saya sambil letakkan sepucuh surat permohonan balak yang seorang anggota parti bawa ke rumah saya dengan alasan minta Husam minitkan dan menjanjikan saya lebih RM100, 000.

“Kalau ini cara Dato’ mahu menguji saya, tak perlu… kalau Dato’ nak berikan saya wang, saya akan akan ambil dari Dato’ sendiri. Saya tidak akan ambil yang bukan hak saya…”

“Orang ini bawak surat ni ke rumah saya, dia kata Dato’ dah setuju dan suruh datang jumpa saya. Dia tanya saya nak berapa duit? Saya tak suka cara macam ni Dato’. Dato’ boleh jawab dan boleh tidak jawab pada saya…” ujar saya lagi.

Husam tepis surat itu tanpa menelitinya langsung dan berkata, “Serah balik pada tuannya…”

Saya dapati amat mudah menghormati Husam. Saya merasakan amat bertuah dapat berkhidmat dengannya. Dan sehingga hari ini, saya masih merasa amat mudah membasahi pipi saya dengan airmata bila mengenangnya.

Pada 22 November 2009, Husam menafikan bercadang meletakan jawatan exco dan menulis di blognya,

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tetapi desas-desus itu tidak berakhir sehinggalah Husam akhirnya mengutus surat saman kepada pihak media.

Namun setelah tragedi yang menimpa Tuan Haji Anual Bakhri, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Husam buat pertama kalinya dalam sejarah politiknya telah mempertikaikan secara terbuka pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS.

Di dalam posting bertajuk Malaysia atau Diri yang dikarang jam tiga pagi, penghujung Disember 2009, Husam meluahkan persoalan yang menjadi kemelut menghantui dirinya,

“Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara family matters dan state matters. Bukan sahaja legally, tetapi juga morally.”

Husam telah melanggar segala prinsip perjuangannya di dalam mempertahankan Tuan Guru Nik Aziz. Mungkin yang tinggal hanyalah kasih sayang dan rasa kasihan kepada seorang tua, ayah politiknya.

Husam menghantar beberapa mesej kepada mereka yang terdekat dengannya dalam arena politik Kelantan. Mesej itu berlegar-legar dan satu darinya masuk ke peti mesej Blogger Penarik Beca.

Penarik Beca kemudiannya mengeluh dan meluahkan bahawa Husam akan mengosongkan Kerusi Dewan Undangan Negeri Salor yang bererti akan terlucut juga segala jawatannya di dalam kerajaan.

Husam tidak menghantar surat saman kepada Penarik Beca tetapi Tok Guru mengecap Penarik Beca sebagai celaka.

“Celako semua sekali ni, blog celako, blog celaka!”, Itulah ayat manis yang keluar dari mulut orang tua itu.

Mengkaji reaksi Penarik Beca setelah  posting celakonya, Penarik Beca telah kembalikan semula ungkapan itu dengan sinis kepada Tok Guru Nik Aziz. Celako, Celako dan Celako tulis Penarik Beca.

Di dalam kenyataan di sidang medianya Husam antara lain berkata bahawa beliau tidak berhasrat melepaskan jawatannya kerana masih fokus menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak Negeri Kelantan.

“Lainlah kalau dah dapat royalti besok tuan-tuan buat rumous macam tu,”, Husam dipetik oleh beberapa akhbar yang kali ini amat hati-hati memainkan isu ini.

Februari adalah antara tarikh yang disebut oleh sesetengah sahabat Husam.

10 Januari adalah antara tarikh yang dijolok kepada sahabat-sahabat dalam politik.

Husam sendiri terus senyap dan  fokus dengan misinya.

Husam memberi perhatian penuh kepada urusan tuntutan royalti minyak dan semalam rombongannya telah menemui Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Hassan Merican.

Husam amat gembira dengan pertemuan itu. Kerja keras Husam untuk Negeri Kelantan dan keadilan mendapatkan hak bagi yang berhak semakin sampai ke penghujung.

Pengiktirafan adalah penting. Dan walaupun isu ini tidak akan berakhir di dalam penggal Parlimen ini yang pasti berakhir dalam tempoh 18 ke 24 bulan lagi, tetapi Husam telah mendapat pengiktirafan bahawa perjuangannya di landasan yang betul.

Husam boleh meletakkan segala jawatan dan tinggalkan arena politik Malaysia untuk selamanya. Nama Husam akan terus dikenang oleh mereka yang pernah mengenalinya dan pernah membaca tentang perjuangannya akan terus mengkaguminya.

Tetapi kata orang, Husam akan selamanya jadi ‘putera yang tidak pernah menjadi raja’.

Ramai sahabat terdekat yang berada diluar arena politik mendesak Husam tinggalkan sahaja politik PAS Kelantan. Ia semakin cemar. Husam semakin tercemar oleh mereka yang cemar-cemar belaka. Apatah lagi, yang cemar itu datangya dari keluarga Tok Guru Nik Aziz sendiri.

Musykilnya, sedarkah Tok Guru  segala masalah antara Husam dan Tok Guru bermula kerana Husam menghalang beberapa kerat di dalam keluarga Tok Guru dari melakukan kerja-kerja yang akan memburukkan nama baik Tok Guru sendiri.

Hari ini kemelut Ariffahmi telah mencemar teruk nama baik Tok Guru.

Ramai tidak tahu bagaimana bermulanya kemelut perbalahan Nik Abduh dengan Husam. Plotnya tidak jauh berbeza dengan kemelut hari ini. Segalanya bermula dengan keberanian Husam menghalang ketamakan dipihak sana. Husam masih menyimpan segala dokumen-dokumen itu yang dikumpul semula pada Mei 2009 yang lalu.

Pada ketika itu, demi membersihkan nama baik anak-anaknya, adik beradiknya, isterinya dan dirinya sendiri, Husam pernah bercadang menulis sebuah buku kecil dan menceritakan segalanya berlandaskan fakta ditangannya. Tetapi niat itu terpadam oleh rasa sayang pada Tuan Guru Nik Aziz.

Jikalau Husam membela dirinya dengan membuktikan Nik Abduh memang ada dendam kesumat terhadap Husam, yang buruk namanya kelak ialah Nik Aziz kerana berdasarkan fakta pada Husam, orang boleh berkata, “Nik Aziz sebagai pemimpin telah gagal memimpin anak jantannya sendiri!”

Bagaimana kita hendak harapkan Nik Aziz memimpin ‘anak jantan’ dan ‘anak betina’ kita?

Nasib baik kita yang jahil ini hidup dalam sebuah kerajaan yang ‘Membangun Bersama Islam’ kerana di dalam Al Quran dan di dalam kisah para Rasul dan Nabi kita telah diajar betapa kisah anak, isteri dan saudara mara para pesuruh Allah sendiri tidak patuh kepada suruhan yang dibawa oleh ayahanda mereka. Jadi bagi kita tiada apa yang peliknya.

Kita tidak perlu mengajar Nik Abduh dan Nik Amalina kisah keluarga Nabi Nuh dan Nabi Lut, bukankah mereka ini dari keluarga yang mulia seperti dibanggakan oleh Nik Amalina.

Bukankan juga Iblis itu adalah makhluk yang mulia? Benar, Iblis seperti Nik Amalina juga begitu berbangga dengan kemuliaannya sehinggalah bongkak dan takabur memberinya visa penghuni tetap neraka jahaman.

Husam masih sayangkan Nik Aziz. Nik Aziz tidak perlu sayangkan Husam tetapi Nik Aziz perlu buktikan sayangnya pada rakyat Kelantan yang sudah 20 tahun berada dibawah naungannya.

Segala kemewahan yang dirasai oleh beberapa kerat anggota keluarga Nik Aziz adalah kerana sudah 5 pilihanraya rakyat Kelantan mengundi PAS.

Sanggupkah Nik Aziz matikan karier politik Husam yang disanjung oleh sahabat dan lawan itu sebagai balasan kepada rakyat Kelantan.

Ada baiknya bukan DUN Salor yang dikosongkan, tetapi DUN Chempaka yang patut dikosongkan. Bolehlah Nik Abduh, Nik Amalina atau Ariffahmi diletak sebagai calon disitu. Bolehlah kita dapat Menteri Besar baru dari kalangan keluarga yang mulia.

Husam, demi para sahabatmu di dalam parti, demi inspirasi yang kau berikan kepada mereka yang menyanjungmu dan demi sebuah wadah perjuangan tanpa hipokrisimu, kamu tidak boleh kosongkan DUN Salor.

Dan yang patut berundur bukan kamu.

Di dalam rakyat Kelantan mula berdoa Nik Aziz berundur atau berehat, rakyat Kelantan harus pertahankan Husam. Inilah pilihan terbaik yang kita ada.