Sayang laksamana mati dibunuh,
Mati dibunuh Dato’Menteri,

Tuan umpama minyak yang penuh,
Sedikit pun tidak melimpah lagi.

 

“Perubahan pemerintahan boleh, tetapi perubahan reformasi sosial jauh daripada boleh.  Sebab kita lihat beberapa negeri Pakatan Rakyat ambil alih, tak berlaku reformasi sosial, hanya mengambil alih tempat.  Tukar MB, tukar Exco, tukar wakil rakyat… (tapi) cara projek, cara kehidupan Menteri Besar, cara penguasaan harta…serupa!”

Beliau menambah, “bahkan kadang-kala menguatkan lagi status quo terutama sekali kuasa raja berperlembagaan, taat setia tak tentu hala sekarang ini!”

“Sebab kita mahu berlaku perubahan, dan pada masa yang sama berlaku perubahan sosial.  Ini yang paling penting!”

“Oleh itu, kalau Pakatan Rakyat naik memerintah, jangan berangan nak memerintah 50 tahun.  Barangkali satu penggal pun payah, kerana rakyat sudah mula criticize…”  Mat Sabu menyusuli dengan penghargaan kepada mereka yang mengkritik Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz, yang diheret ke dalam pertikaian tajaan ke Mekah.  Sambil berseloroh Mat Sabu berkata, “bila ada tajaan, ada udang di sebalik mee…” – Abg Mat Sabu, AJK PAS PUSAT (Baca di sini)

 

Pada hari Ahad, 15 Novermber 2009, Ariffahmi telah mengarahkan kakitangan PMBK memusnahkan fail-fail yang dirasakannya boleh menggugat kedudukannya dan boleh membantu siasatan SPRM. Tindakan tergesa-gesa ini dibuat setelah beliau dimaklumkan bahawa Pemuda UMNO Kelantan mengadakan demonstrasi kecil dan menghantar memorandum kepada pihak SPRM Kelantan. Pada hari Khamis lalu pula kakitangan PMBK melaporkan mereka merasa amat-amat curiga apabila Ariffahmi menggesa mereka bekerja hingga lewat bagi menyiapkan perjanjian dengan anak bekas Allahyarham pimpinan tertinggi UMNO berhubung permohonan tanah berjumlah 10,000 ekar oleh beliau untuk projek tertentu yang sudah pasti akan melibatkan tanah hutan. Yang menghairankan ialah mengapa Ariffahmi tergesa-gesa mahu mengeluarkan perjanjian sedangkan tanah itupun belum dikenalpasti. Anak bekas nombor 2 UMNO itu  juga dilaporkan berada di bangunan PMBK pada hari Khamis tersebut.

Manakala bagi menutup urusan berhubung penajaan Haji Tuan Guru dan rombongannya, Pak Sanggup telah ditemui dan ini berjaya memisahkan Nudin Awang daripada tajaan kepada Tok Guru dan rombongannya. Nama baru yang muncul sebagai pembayar ialah seorang kakitangan Urusetia Penerangan Negeri Kelantan dan isterinya. Jika benar tiada siapa merasa salah di dalam hal ini seperti kata Tok Guru, Menantunya, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan juga beberapa orang Exco, mengapa nama Nudin Bin Awang yang begitu ikhlas sekali hendak bersama Tok Guru ke Mekah disingkirkan?

YB. Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS pula mengesahkan dakwaan saya bahawa wujudnya pertemuan di Hotel Perdana bagaimanapun berkata, “Seingatan saya perkara itu bukan topik untuk mengguling tapi membincangkan masa depan parti, pimpinan masa depan parti.”

Bagaimanapun Ariffahmi sebelum ini di dalam kenyataan kepada Malaysian Insider pada 15 Novermber 2009 berkata, “Tak betul, sila nafikan,”

Salahuddin dalam laporan Agenda Daily hari ini beranggapan apa yang dibincangkan pada hari itu tidak sampai ke peringkat menggulingkan dan turut dilaporkan berkata,

“Apa yang dia (Syed Azidi ) tulis tentang saya adalah betul. (sepanjang pertemuan itu) saya diam.”

Laporan Agenda Daily turut menulis bahawa Salahuddin berulang kali menyatakan beliau tidak dapat ingat semua yang dibincangkan pada pertemuan berkenaan tetapi “perkataan guling itu saya tidak ingat”.

“Benda dah lama saya tidak mampu ingati setiap patah perkataan perbincangan,” tambah beliau

Sila rujuk di sini untuk membaca penafian Ariffahmi dan baca di sini untuk temuramah dengan Salahuddin.

Saya bersyukur Yang Maha Kuasa memberi saya kekuatan untuk kekal konsisten dengan kehidupan dan nilai-nilai penghidupan.

Sewaktu saya masih ahli UMNO, saya terus cekal menentang kepimpinan UMNO ketika itu, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, anaknya dan menantunya apabila mereka melakukan onar kepada rakyat Malaysia.

Saya pulang ke Kelantan atas nilai yang sama. Ada seperkara yang tidak pernah saya lafazkan kepada umum apa yang saya lafazkan kepada Tuan Guru Nik Aziz sewaktu saya menemuinya buat kali terakhir bersaksikan Setiausaha Politiknya, lafaz saya padanya,

“Saya balik ke Kelantan untuk menyepak Pak Lah, Pak Lah dah lama rebah kita sama-sama sepak, jadi kalau kontrak saya tidak ditamatkan pun, tak ada sebab saya nak duduk di Kelantan lagi…”

Memang tiada sebab untuk saya duduk berjuang di Kelantan lagi, kalau Kepimpinan Tuan Guru sendiri kini sudah sama dengan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Mengata dulang paku serpih.

Dimana konsistensi saya?

Skala kecil kebobrokan yang dilakukan tidak boleh dijadikan alasan. Kalau dalam negeri yang miskin dengan belanjawan tahunan sekadar RM400 juta pun kita begitu kreatif membina empayar kita, bagaimana satu hari nanti bila kita berdepan dengan sumber kewangan berbillion-billion? Tak gelap matakah kita kalau dalam skala kecil pun sudah rabun.

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Kata seorang bekas Naib Canselor Universiti Tempatan, siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi… Menteri….

Ramai yang menasihati saya, Sheih, fikirlah Husam, fikirlah Tok Guru. Saya bertanya semula kenapa tidak Husam dan Tok Guru fikir pasal saya?

Kenapa mesti orang-orang kecil yang sentiasa kena berfikir pasal orang-orang besar? Kenapa bukan orang-orang besar yang berfikir tentang insan kerdil? Bukankah orang-orang besar diangkat dan dijunjung untuk membela insan kerdil? Bukankah orang-orang besar dibayar gaji untuk mengambil berat insan kerdil. Oleh itu orang-orang besar fikirlah sendiri.

Insan-insan kerdil itu yang saya mahu Tuan Guru Nik Abdul Aziz fikirkan. Bukan insan kerdil ahli PAS dan bukan insan kerdil ahli UMNO. Tetapi insan kerdil rakyat Kelantan!

Sedarkah Tuan Guru bahawa Tuan Guru sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan-Persatuan Peniaga dan Penjaja di Kota Bharu pada 6 Mac 2008, dua hari sebelum pilihanraya umum 2008.

Antara intipati memondum itu ialah Perbadanan Menteri Besar Kelantan akan membina Bazar Tok Guru di dalam Projek Madinatul Raudhah. Pembinaan Bazar Tok Guru adalah sebagai tanda penghargaan kepada peniaga-peniaga yang setia menyokong kepimpinan Tok Guru. Tok Guru juga berjanji di dalam memorandum tersebut bahawa Perbadanan Menteri Besar Kelantan sebagai pemaju tidak akan mementingkan keuntungan di dalam projek ini serta para peniaga akan diberi tingkat bawah di dalam Bazar tersebut.

Apabila menantu Tok Guru diberi kuasa, beliau telah merubah semua perjanjian tersebut dan menyerahkan projek itu kepada sebuah syarikat yang telah membina sebuah bazar di Kota Bharu tetapi terpaksa di ‘bail out’ oleh MPKB BRI apabila para peniaga enggan berpindah ke Bazar itu atas sebab-sebab yang amat munasabah.

Apabila ditekan mengapa projek itu diberikan kepada syarikat yang sama, alasan yang diberikan oleh Abdul Ariffahmi Ab. Rahman ialah, “sebab syarikat itu bersetuju derma wang untuk pembinaan sekolah agama milik Tok Guru.”

Kesan daripada pemberian projek kepada syarikat tersebut, segala intipati memorandum yang ditandatangani oleh Tok Guru dengan peniaga dan penjaja telah dibelakangkan. Harga dan saiz setiap lot telah berubah ke tahap yang tidak munasabah. Perjanjian untuk menetapkan kedudukan peniaga di tingkat bawah juga diubah ke tingkat atas kerana tingkat bawah telah diserahkan kepada pemaju.

Antara kesan kemenangan besar PAS di Kota Bharu yang di nikmati oleh YB Dato’ Anuar Tan dan YB Dato’ Abdul Rahim ialah sokongan padu para peniaga tetapi apabila peniaga merujuk kepada saluran politik, semua tidak mahu terlibat kerana ia melibatkan menantu Tok Guru.

Akhirnya peniaga mengugut untuk berdemonstrasi.

Satu  sessi dialog telah di atur pada 14 Oktober 2009, di Bilik Mesyuarat Perbadanan Menteri Besar Kelantan di antara CEO PMBK dan Persatuan Perniaga dan dikendalikan oleh YB. Dato’ Haji Husam. Tujuan diaturkan mesyuarat di PMBK adalah supaya CEO PMBK tidak dapat melarikan diri daripada berdepan dengan masalah yang diciptanya sendiri.

Bagaimanapun CEO PMBK telah melarikan diri dan lebih dari itu mengeluarkan surat membatalkan sessi dialog yang dipanggil oleh Exco.

Sebaliknya beliau mengatur pertemuan sendiri dua hari sebelumnya di dalam suasana yang penuh had dan syarat.

Pada 14 Oktober 2009, bilik Mesyuarat PMBK telah dikunci dan YB Dato’ Haji Husam telah dihalang oleh penyambut tetamu daripada menggunakan jalan alternatif masuk ke dalam bilik mesyuarat tersebut atas arahan daripada CEO. Ini adalah satu tindakan yang amat-amat biadap oleh seorang penjawat jawatan awam.

Selepas melepasi halangan, YB. Dato’ Haji Husam sendiri terpaksa membuka kunci dan menghidupkan lampu dan alat penghawa dingin.

Menyedari tindakannya menyekat Exco meneruskan sessi dialog itu telah gagal, Abdul Ariffahmi kemudian menghubungi Pengerusi Persatuan Penjaja menawarkan rasuah kepada Pengerusi itu sekiranya dia bersetuju tidak menyertai sessi dialog itu. Tawaran rasuah dan bentuk tawaran tersebut dijelaskan oleh Pengerusi Persatuan Penjaja itu di dalam sessi dialog tersebut.

Melihat kegagalannya untuk mengganggu mesyuarat itu, Ariffahmi memacu kemarahannya kepada saya. Dia mengarahkan seorang pegawai wanita dan seorang pegawai lelaki supaya memberitahu saya bahawa saya tidak dibenarkan memijak kaki ke premis PMBK dan mendesak saya keluar segera.

Apabila saya meminta kedua-dua pegawai itu memaklumkan arahan tersebut kepada Exco yang hadir, mereka berundur. Setelah mendapati pegawainya gagal mengusir saya keluar, Ariffahmi menalifon Pengerusi Persatuan Penjaja dan meminta beliau mengarahkan saya keluar dari premis PMBK.

“Suruh Sheih tubik, sheih tubik… suruh botak, hok botak tu tubik…” kata Ariffahmi.

“Syyyy… meeting ni… kami tengah meeting….” kata Pengerusi Persatuan Penjaja kepada Ariffahmi yang terus mendesak.

Begitulah sikap tidak profesional seorang CEO yang dilantik oleh bapa mertuanya sendiri.

Saya tidak pernah berkhidmat dengan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi tetapi saya adalah antara yang lantang menentang kepimpinannya. Bagaimana hendak saya bersubahat dengan kemungkaran yang dahulunya saya tentang? Skala kecil atau besar bukan alasan. Bukankan setiap yang besar bermula dari kecil. Samalah orang-orang besar pun satu ketika dahulu adalah orang-orang kecil.

Insan-insan kecil telah mengangkat dan meletakkan pemimpin-pemimpin di mana mereka berada sekarang. Janganlah dikhianati insan-insan kecil ini. Itu sahaja permintaan saya.

Sayang laksamana mati dibunuh,
Mati dibunuh Dato’Panglima,

Bukan tanaman tak mau tumbuh,
Kiranya bumi tidak menerima.