Kenyataan Media

Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat pada hari ini 16 Zulkaedah 1430H bersamaan 4 November 2009, mengenai tuntutan royalti petroleum Kerajaan Negeri Kelantan.

1. Royalti atau Wang Ehsan?

Bersama kenyataan ini, saya kembarkan kenyataan media (media release) PETRONAS bertarikh 25 Jun 2009, yang juga boleh dilayari di laman web PETRONAS.

Saya petik apa yang ditulis;

Another RM6.2 bilion was paid in royalty payments to the state governments of Terengganu (RM3.0 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) and Sabah (RM0.9 bilion)

Perhatikan istilah yang digunakan – royalty payment to the state government of Terengganu, Sarawak and Sabah.

Pertama: Ianya ‘Royalty Payment’ termasuk kepada Terengganu dan bukannya ‘Wang Ehsan’

Kedua: ‘to the state governments’ bukannya diuruskan oleh ‘Kerajaan Persekutuan’.

Berasakan ‘media release’ rasmi PETRONAS ini, nyatalah kenyataan YAB Perdana Menteri di Parlimen bahawa bayaran kepada Terengganu sebagai ‘Wang Ehsan’ adalah salah dan ‘misleading’.

2. 3 Batu Nautikal

Pengeluaran petroleum di Sabah, Sarawak dan Terengganu juga berada di luar 3 batu nautikal.

Mengapa Sabah dibayar royalti, bukan ‘Wang Ehsan’?

Mengapa Sarawak dibayar royalti dan bukan ‘Wang Ehsan’?

Mengapa Terengganu juga dibayar royalti terus kepada Kerajaan Negeri?

Nyata asas yang disebut oleh YAB Perdana Menteri mengenai 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu. Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan Kerajaan dan Rakyat Kelantan.

3. Respon Kerajaan Negeri

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan hari ini bersetuju melantik panel rasmi guaman untuk menasihati Kerajaan Negeri mengenai langkah selanjutnya yang perlu diambil sehingga tuntutan royalti minyak ini dipenuhi.

Antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah;

  1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum di darat dan lautan Negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti tetap tidak dipatuhi.
  2. Kemungkinan untuk Kerajaan Negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA dan CAA yang melibatkan entiti dan syarikat antarabangsa.

Walaubagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut.

4. Mengapa ‘Wang Ehsan’ harus diurus oleh Kerajaan Pusat?

Pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa Kelantan hanya layak menerima ‘Wang Ehsan’ dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diurus oleh Kerajaan Pusat adalah satu keputusan politik. Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata.

Keberkesanan pengurusan oleh Kerajaan Pusat boleh dipertikaikan. Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membenteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu.

Kerajaan Negeri mencadangkan ‘Wang Ehsan’ ini dibayar kepada Kerajaan Negeri dan sebuah Badan Penyelaras Penggunaannya bolehlah ditubuhkan dan Kerajaan Pusat boleh menghantar wakil menyertainya untuk memantau penggunaan wang ini.

5. Sekali lagi kami berharap YAB Perdana Menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian Negara Malaysia.

YB. DATO’ HAJI HUSAM BIN HAJI MUSA

PENGERUSI JAWATANKUASA PERANCANGAN EKONOMI,

KEWANGAN DAN KEBAJIKAN

AHLI MAJLIS MESYUARAT

KERAJAAN NEGERI KELANTAN

16 ZULKAEDAH 1430H

04 NOVEMBER 2009